Task force Anak-Bersatu bahas mekanisma tangani hutang peneroka pada Konvensyen PH
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dijangka membawa beberapa cadangan dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan nasib peneroka dan generasi kedua Felda lebih terjamin di masa hadapan sekiranya Pakatan Harapan berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Presidennya Mazlan Aliman berkata, melalui task force Anak dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak setahun lalu telah mengatur strategi untuk memastikan nasib peneroka Felda terbela.
“Sejak setahun lalu task force ini dilaksanakan banyak program kami adakan antaranya Jelajah Semarak Kasih Felda yang turut hadiri Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden) dan Datuk Seri Mukhriz (Timbalan Presiden).
“Bahkan Anak juga dijemput hadir dalam beberapa program seperti dialog, sembang santai yang dianjurkan PPBM.
“Melalui kerjasama ini, info dan kesedaran kepada masyarakat Felda dapat dijayakan bersama antara Anak dan PPBM,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Beliau diminta menjelaskan mengenai tular dimedia sosial sekeping surat yang dipercayai dihantar oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad kepada beliau bertarikh 3 Januari 2018 lalu.
Surat yang ringkas itu menunjukkan Dr Mahathir melahirkan rasa gembiranya kerana jalinan kerjasama parti dengan Anak dalam usaha untuk memulihkan dan menyelamatkan Felda.
Dr Mahathir berjanji bahawa pihaknya akan memastikan peneroka Felda terselamat daripada penipuan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak) dan konco-konconya.
Katanya lagi, perkara ini akan dilakukan sekiranya peneroka Felda menolong menjayakan usaha kami (PH) untuk memenangi PRU dan menubuhkan kerajaan PH yang prihatin terhadap masalah peneroka.
Dr Mahathir juga sempat menulis ucapan ‘Selamat Tahun Baru’ kepada Mazlan.
Ketika diminta penjelasan lanjut mengenai rentetan surat itu sama ada terdapat cadangan daripada taske force Anak-Bersatu dalam Konvensyen PH yang akan diadakan pada Ahad ini, Mazlan memberitahu, beberapa isu dicadangkan untuk dibahaskan dalam konvensyen berkenaan yang mungkin boleh diangkat sebagai sebahagian daripada cadangan manifesto PH khusus untuk warga Felda.
” Itu memang surat yang dihantar Tun Dr Mahathir kepada saya.
“Kita ada cadangan bersama ke konvensyen ini, antaranya mekanisma tangani hutang peneroka dan menstabilkan pendapatan peneroka.
“Ini asas utama yang membelenggu kehidupan peneroka selama ini,” ujarnya tanpa mahu mendedahkan beberapa cadangan lain.
Konvensyen PH yang akan diadakan nanti, apa yang menariknya kali ini terdapat beberapa wakil dijemput untuk berbahas seperti wakil dari bekas tentera, Penjawat Awam, Felda, Artis, Petani dan bekas Wartawan.
Dimaklumkan juga pada konvensyen ini, wakil dari Felda akan diwakili oleh pembahas Abdul Rahman Ramli, Peneroka Felda Raja Alias dari Negeri Sembilan.
MD.
0 comments:
Post a Comment