Mereka yang berpendapatan tinggi mungkin tidak terkesan sangat dengan cukai GST tetapi bayangkan mereka yang berpendapatan rendah dan hidup dalam keadaan susah. Golongan ini tidak sepatutnya dikenakan GST.
HARGA TANAH 1MDB YANG DIJUAL KEPADA MULIA GROUP BERBEZA SEBANYAK RM261 JUTA DARI YANG DIUMUMKAN
Saya telah menimbulkan isu pembelian kembali pegangan di dalam pemaju The Exchange 106 oleh Kerajaan Malaysia yang sehingga kini belum dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak atau pengurusan 1MDB.
The Exchange 106 adalah bangunan komersial yang ketiga tertinggi di Malaysia (apabila siap) yang dibangunkan di atas tapak tanah Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada 1MDB. Tanah ini kemudiannya dijual kepada Mulia Group, sebuah kumpulan pemaju dari Indonesia untuk dibangunkan menjadi menara mercu tanda projek 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) yang diberi nama TRX.
Penjualan tanah ini diumumkan melalui satu kenyataan media oleh 1MDB bertarikh 13 Mei 2015 yang disertakan di bawah:
Semasa saya menyemak laporan-laporan mengenai pembelian semula pegangan di dalam pemaju The Exchange 106 dari Indonesia ini, saya juga telah mengenal pasti satu lagi kontroversi yang sangat memalukan Kerajaan Malaysia.
Pengumuman mengenai penjualan tanah oleh 1MDB kepada Mulia Group ini dibuat pada 13 Mei 2015, iaitu seminggu selepas kontroversi penjualan tanah oleh 1MDB kepada Tabung Haji meletup.
Semakan saya menunjukkan media perdana melaporkan mengenai penjualan tanah 1MDB kepada Tabung Haji bermula 7 Mei dan mendapat kecaman keras dari rakyat dalam minggu itu:
Seminggu selepas berita penjualan tanah kepada 1MDB mendapat kecaman hebat dari rakyat, 1MDB mengumumkan penjualan tanah di TRX kepada Mulia Group pada harga RM655 juta, iaitu pada premium yang lebih tinggi yang dibayar oleh Tabung Haji.
Laporan sebelum itu menyebut Tabung Haji membayar RM2,773 satu kaki persegi (rujuk https://www.thestar.com.my/…/tabung-haji-defends-decision-…/) di dalam pembelian yang diumumkan pada 7 Mei 2015 itu.
Pada harga RM655 juta seperti yang diumumkan oleh 1MDB, harga jualan kepada Mulia Group adalah sebanyak RM4,490 satu kaki persegi menjadikan jualan itu sebagai harga yang paling mahal setakat ia dilaporkan.
Ini dilaporkan oleh The Star pada 2 Mei 2016 dalam laporan khusus mempromosikan pembangunan The Exchange 106 (rujuk https://www.thestar.com.my/…/…/mulia-to-make-signature-mark/)
Penjualan lot tanah TRX oleh 1MDB kepada Mulia Group seminggu selepas kontroversi penjualan tanah kepada Tabung Haji, pada harga yang 62% lebih mahal dari yang dibayar oleh Tabung Haji, sudah tentu memberi gambaran sebenarnya Tabung Haji telah mendapat diskaun dari jualan tanah oleh 1MDB itu.
Ia boleh membantu meredakan kemarahan rakyat dan memberi gambaran 1MDB sebenarnya membantu Tabung Haji dengan memberi diskaun atas jualan tanah, dalam keadaan kemarahan rakyat terhadap 1MDB sedang memuncak.
Semua sandiwara ini telah berlalu dan sepatutnya tidak diketahui umum.
Sehinggalah saya meneliti penyata kewangan anak syarikat Mulia Group yang ditubuhkan khusus untuk memajukan The Exchange 106. Sebaik membeli tanah tersebut, Mulia Group menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia yang bernama Mulia Property Development Sdn Bhd dengan pendaftaran bernombor 1139949-K.
Saya telah mendapatkan keseluruhan pemfailan Mulia Property Development Sdn Bhd sejak ditubuhkan untuk mengenal pasti harga sebenar yang dibayar untuk tanah yang dijual oleh 1MDB seperti yang disahkan oleh juru audit dalam laporan kewangan tahunannya.
Saya sertakan muka surat pertama laporan kewangan diaudit Mulia Property Development Sdn Bhd dan Nota 5: Hartanah Pelaburan (Note 5: Investment Property):
Nota 5 di dalam penyata kewangan Mulia Property Development Sdn Bhd secara jelas menunjukkan bahawa syarikat itu membayar hanya RM403,900,000 untuk sebidang tanah yang sedang dibangunkan, bukannya RM655 juta seperti yang diumumkan oleh 1MDB dan pihak Kerajaan Malaysia.
Pada harga RM403,900,000 yang dibayar, itu menjadikan harga jualan adalah sebanyak RM2,769 satu kaki persegi (berdasarkan kiraan: jika RM655 juta dibayar pada harga RM4,490 satu kaki persegi, itu bermakna keluasan 145,880 kaki persegi).
Pada harga RM2,769 satu kaki persegi, tanah kepada Mulia Group yang diumumkan dijual pada harga 62% lebih mahal yang dibayar oleh Tabung Haji dalam tahun 2015; sebenarnya dijual pada harga yang lebih murah dari harga yang dibeli oleh Tabung Haji.
Berdasarkan maklumat-maklumat yang saya tunjukkan setakat ini, ia menggambarkan:
Tabung Haji bukannya membeli tanah di TRX pada harga yang mendapat diskaun seperti yang dijelaskan dalam tahun 2015, sebaliknya lebih mahal jika dibandingkan dengan harga jualan kepada Mulia Group dari Indonesia (Tabung Haji membayar RM2,773 satu kaki persegi berbanding Mulia Group membayar RM2,769 satu kaki persegi)
Pengumuman 1MDB dan Kerajaan Malaysia sebelum ini bahawa tanah dijual kepada Mulia Group pada harga premium sehingga 62% lebih mahal dari harga hartanah berdekatan, adalah bercanggah dengan harga yang dilaporkan di dalam penyata kewangan diaudit pemaju The Exchange 106 sendiri
Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak: adakah pengumuman 1MDB dalam tahun 2015, iaitu semasa beliau masih menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – adalah satu pembohongan yang bertujuan menipu rakyat kononnya Tabung Haji membeli tanah pada harga diskaun dari 1MDB untuk meredakan kemarahan rakyat?
Saya akan menyambung pendedahan ini esok sementara menunggu maklum balas 1MDB dan Dato’ Seri Najib.
Dapatkan kenyataan penuh bersama lampiran di : https://t.co/TaCSF5pIDi
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
0 comments:
Post a Comment