Semakan kehakiman PH terhadap RoS didengar 5 April ini
Permohonan semakan kehakiman oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) telah dipanggil untuk pengurusan kes pada hari ini di hadapan Hakim Datuk Azizah Nawawi.
Pengerusi Biro Undang-undang PH Gobind Singh Deo berkata, PH (pemohon) diwakili Michelle Ng manakala Shamsul Bolhassan dari Kamar Peguam Negara hadir wakili RoS (responden).
“Pihak pemohon-pemohon (PH) telah memohon untuk satu tarikh perbicaraan awal memandangkan pilihan raya umum menjelang, dan memandangkan bahawa Parlimen akan bersidang hingga 5 April 2018,” jelas Gobind dalam satu kenyataan.
Mahkamah, katanya telah menetapkan 5 April hadapan jam 3 petang untuk memulakan perbicaraan.
PH pada 21 Feb memfailkan saman terhadap RoS selepas jabatan kerajaan itu didakwa gagal memberi maklum balas terhadap permohonan gabungan itu untuk didaftarkan secara rasmi.
Saman-saman itu difailkan oleh peguam Gobind Singh Deo, yang juga ketua biro guaman DAP, bagi pihak pemimpin-pemimpin kanan empat parti komponen PH.
Mereka ialah Ketua Sekretariat PH Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Seri Shaharuddin Md Salleh dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
PH berhasrat menggunakan logo tunggal bagi berhadapan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Penggunaan logo bersama itu penting bagi memudahkan pengundi selain menunjukkan kebersamaan gabungan pembangkang.
Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.
0 comments:
Post a Comment