KALAU BETUL NAK DITUTUP, KENAPA 1MDB TERUS MENAMBAH HUTANG?
Dalam diam-diam, 1MDB dilaporkan menambah hutangnya lagi sebanyak RM2 bilion, manakala hutang-hutang lama masih lagi puluhan bilion jumlahnya.
Sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi Ramli, hutang 1MDB kali ini ialah untuk membeli kepentingan 51 peratus dalam pembangunan projek Exchange 106 di tapak TRX, Jalan Imbi, Kuala Lumpur.
Di sebalik tiada soalan boleh ditanyakan di Parlimen berkaitan 1MDB, rupa-rupanya menambah hutang bagaikan dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh syarikat pelaburan itu.
Oleh kerana 1MDB adalah syarikat yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, tambahan hutang itu bermakna bertambah jugalah tanggungan rakyat dan pembayar cukai terhadap beban syarikat tersebut.
Apabila semakin banyak wang kerajaan diguna untuk membayar hutang, bermakna berkurang jugalah pelbagai peruntukan untuk pembangunan dan kemudahan-kemudahan yang lain.
Sebelum ini, Pengerusi 1MDB, Irwan Siregar dilaporkan memberitahu, syarikat tersebut akan ditutup sebaik saja hutang-hutangnya selesai dilangsaikan.
Bilakah hutang 1MDB boleh dilangsaikan jika ia terus dan terus menambah hutangnya lagi?
Jika benar mahu ditutup, kenapa terus menambah hutang?
Tidakkah lebih baik berhenti daripada berhutang dan membayar saja segala hutang-hutang lama?
Apakah sebelum ditutup, 1MDB memang mahu membuat hutang sebanyak-banyaknya kerana ia akan ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai?
Jika terus kekurangan wang, apakah tidak mustahil pilihan yang ternampak di mata kerajaan ialah menaikkan lagi kadar cukai GST?
Mahu tidak mahu, bahaya sebenarnya semakin jelas di depan mata kita jika Najib, UMNO dan BN dapat mengekalkan lagi kuasanya. (ShahbudinHusin 08/03/2018)
0 comments:
Post a Comment