Rusuhan kuil: 38 lagi saksi dicari polis
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Polis sedang mengesan 38 individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dekat sini pada 26 November lalu.
Jumlah terbaharu itu menjadikan sebanyak 66 orang dicari bagi membantu siasatan setakat ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pihaknya meminta kerjasama individu yang gambarnya disiarkan untuk tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka juga diminta untuk menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Deputi Superintenden G.K. Gopal di talian 019-2714387.
“Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Asisten Superintenden (ASP) Siasatan Perundangan JSJ Selangor, ASP S. Neeraj Durai di talian 016-3565622 atau Pegawai Siasatan Databank DNA JSJ Selangor, Inspektor Norsiah Hussin di talian 012-7989973 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, sebanyak 28 individu dicari bagi membantu siasatan berhubung insiden terbabit.
Dalam kejadian pada 26 November lalu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.
Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh.
Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh. - UTUSAN ONLINE
Saya tak tahu – Aziz Bari
Spekulasi jadi MB Perak baharu
ABDUL AZIZ BARI
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, beliau sama sekali tidak tahu namanya disebut-sebut bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.
Katanya, desas-desus tersebut tiada kaitan dengan beliau kerana ia sudah lama diperkatakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi.
“Biarlah dia orang cakap, saya tidak tahu. Ini bukan hal saya. Cuma saya ada visi saya, dalam dua tiga perkara banyak kita kena baiki. Saya rasa rakyat berhak mendapat sesuatu yang terbaik,’’ katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Abdul Aziz turut menyifatkan, dakwaan wujudnya gerakan bagi menyingkirkan Ahmad Faizal Azumu melalui undi tidak percaya pada sidang DUN yang bermula esok sebagai mengarut.
“Perkara itu datang daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad. Dia yang dakwa, jadi dia kena jawablah tentang tawaran tersebut.
“Bagi saya, amat pelik bila dia kata perkara ini datang daripada kerajaan sedangkan yang kita lihat, Ahli Parlimen dan ADUN BN yang lari daripada parti mereka sekarang ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri.
Tegas beliau, adalah pelik apabila anggota kerajaan dikatakan mahu melakukan perkara tersebut terhadap ketuanya sendiri, sedangkan kebiasaannya ia datang daripada pihak pembangkang.
Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang gerakan menyingkirkan Ahmad Faizal dan usul undi tidak percaya berkenaan.
“Jadi nak kata saya terlibat, merancang, bagi hadiah atau menawar...saya kata ini mengarutlah,’’ tegasnya.
Isu kedudukan Menteri Besar Perak kembali diperkatakan apabila timbul desas-desus yang mendakwa kedudukan Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dikatakan semakin meruncing apabila beliau didakwa tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN di Perak termasuk dalam komponen Pakatan Harapan sendiri.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ahmad Faizal yang merupakan satu-satunya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi DUN Chenderiang dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Choong Shin Heng dan calon Pas, Nordin Hassan dengan majoriti 39 undi.
Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar setelah mendapat majoriti sokongan 31 ADUN termasuk dua ADUN BN yang mengisytihar menjadi calon Bebas.
Selain dua ADUN Bebas itu dan Ahmad Faizal, DUN Perak yang mempunyai 59 kerusi menyaksikan DAP menguasai 18 kerusi, Amanah (enam kerusi), PKR (empat kerusi), BN (25 kerusi) dan Pas (tiga kerusi).
0 comments:
Post a Comment