PAS mampu menang PRK Kuala Besut
Oleh Noor Jaafar
SERAMAI 17,683 pengundi berdaftar iaitu 98.71 peratus Melayu, Cina (0.80 peratus), India (0.08 peratus) dan lain-lain (0.41 peratus) akan menentukan nasib calon yang bertanding, sama ada Endot@Azlan Yusof (PAS) atau Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (BN) yang dipilih menjadi wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Rabu ini.
Jentera kedua-dua parti yang bertanding sudah bekerja keras dan berhempas pulas sejak hari penamaan calon 12 Julai lalu bagi memastikan calon masing-masing memenangi PRK Kuala Besut itu pada 24 Julai ini.
Pelbagai isu dibangkitkan kedua-dua parti yang bertanding itu, termasuk isu tanah yang dikurniakan Kerajaan BN Terengganu kepada empat wakil rakyatnya sedangkan rakyat yang miskin tidak terbela dan sukar mendapat tanah.
Jadi, walaupun pelbagai kepincangan dan kejahatan UMNO-BN didedahkan, media cetak dan media elektronik, terutama TV3, tidak langsung menampakkan calon BN itu ada pesaingnya, seolah-olah calon PAS tidak wujud – hanya ada untuk diburukkan sahaja.
BN sombong dengan calon berijazah
Laporan-laporan media BN nampaknya begitu bangga dengan calonnya Tengku Zaihan kerana berkelulusan sebagai seorang jurutera walaupun Azlan atau lebih dikenali Che Long, seorang kontaktor perniagaan yang tidak mempunyai sijil ijazah tinggi, lebih mencerminkan realiti penduduk Terengganu.Jika pengundi Manek Urai Kelantan boleh memilih seorang pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah atau Abang Uji menjadi wakil rakyat mereka Urai, tidak mustahil kali ini juga Che Long yang disegani ramai itu dipilih pengundi untuk menang di Kuala Besut.
Sepanjang tempoh kempen BN nampaknya terlalu memperlekehkan kewibawaan calon PAS yang didakwa tidak berkelulusan tinggi itu sedangkan Che Long dilihat begitu jujur, pemurah, tidak sombong dan mudah didampingi serta disegani ramai berbanding Tengku Zaihan yang berpendidikan tinggi itu.
Tidak mustahil ramai pengundi akan memilih Che Long yang mudah diajak berunding, apa dikatakan orang Kuala Besut sebagai ‘mudah baso dan mudah kira’ berbanding Tengku Zaihan walaupun anak tempatan Kuala Besut tetapi kurang dikenali.
Peluang Che Long cerah
Che Long berpeluang cerah memenangi DUN Kuala Besut kerana kejujurannya yang berjanji tidak akan mengambil gaji wakil rakyat, sebaliknya wang itu akan dimasukkan dalam tabung yang akan diuruskan seorang yang amanah bagi penduduk Kuala Besut yang memerlukan bantuan.
Itulah kelebihan Che Long yang tidak boleh diketepikan pengundi Kuala Besut pada Rabu ini walaupun BN sudah menjanjikan pelbagai projek yang kemungkinan besar tidak membantu penduduk miskin kerana faedahnya hanya dinikmati kroni UMNO-BN yang sudah pun kaya raya.
Nampak sangat BN dalam keadaan tertekan dan terdesak untuk mempertahankan DUN Kuala Besut yang dimenangi menerusi Allahyarham Datuk Dr A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia 26 Jun lalu kerana bimbang jumlah kerusi DUN Terengganu akan menjadi sama rata 16-16 jika PAS memenangi kerusi itu.
Dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu, calon BN memenangi kerusi DUN Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi apabila mendapat 8,809 undi mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail yang memperolehi 6,375 undi.
Isu-isu yang disorok oleh media arus perdana
Isu tanah yang dianugerah kepada empat wakil rakyat dalam kawasan Parlimen Besut sudah cukup untuk membuatkan BN ‘tersungkur’ kali ini tambahan pula masih ada penduduk miskin yang tidak memiliki tanah di Kuala Besut walaupun Terengganu sebuah negeri kaya dengan hasil minyak.
Oleh itu apa yang BN lakukan sekarang ialah memastikan media menutup kebenaran berita itu agar pengundi Kuala Besut teus jahil daripada fakta dan kebenaran.
Bukti terbaru BN dalam keadaan tertekan apabila ia menghalang hasrat bekas Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak malam tadi.
Pada mulanya Mursyidul Am PAS itu dibenar menunai solat di masjid itu tetapi disebabkan arahan pihak atasan kebenaran itu ditarik balik dan dibatalkan pada saat-saat akhir.
Itulah sikap sebenar pemimpin UMNO-BN, orang hendak menunaikan solat pun sanggup dihalang sedangkan mereka mendabik dada membela dan memperjuangkan Melayu dan Islam.
Namun seperti biasa, BN menggunakan janji agihan kewangan dan bantuan sebagai senjata diselangi slogan mengundi untuk kestabilan. Seperti biasa juga BN yakin bahawa penduduk yang tidak dibangunkan kehidupan mereka itu tidak ada jalan lain kecuali terus mengundi BN jika mahu terima habuan wang ringgit yang tak seberapa itu.
Malah kini, kempen BN mengambil kesempatan mengingatkan pengundi supaya mengenang jasa bekas Adun kawasan itu.
Soalnya sekarang, sanggupkah pengundi melempar seorang calon yang jujur, baik dan disegani ramai seperti Che Long itu demi calon BN yang belum tentu dapat membela nasib penduduk di Kuala Besut kerana kedudukan kerajaan BN baik di peringkat negeri atau pusat dalam keadaan terumbang-ambing.
Malah sudah pasti calon BN tidak akan mampu menyelesaikan isu anugerah tanah kepada orang yang sudah kaya sedangkan rakyat Terengganu khususnya di Kuala Besut masih hidup dalam keadaan miskin. -Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment