Dalam laporan AlJazeera, satu sumber mengesahkan berita tersebut pada Jumaat (26/7). Hakim Hassan Sammir kini sedang membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan itu telah membuat keputusan tersebut yang merupakan penahanan rasmi pertama oleh pihak berkuasa.
Bulan lalu, pengadilan Mesir menyatakan Ikhwanul Muslimin bersengkokol dengan Hamas dan Hizbullah menyerbu penjara Wadi el-Natroun pada 2011. Serbuan tersebut membebaskan 34 anggota pemimpin tertingg Ikhwanul termasuk Muhammad Mursi ketika itu.
Laporan tersebut muncul ketika pendukung dan penentang Mursi bersiap untuk protes besar-besaran setelah keluar seruan dari tentera dan anggota Ikhwanul Muslimin. Mursi ketika ini tengah ditahan di sebuah lokasi yang tidak diketahui.
Dalam pada itu, Penguasa Semenanjung Gaza, Hamas, hari ini mengecam penguasa baru Mesir setelah pengadilan memerintahkan Presiden yang digulingkan, Muhammad Mursi, ditahan untuk siasatan lanjut tentang tuduhan keterlibatannya dengan kelompok gerilawan Palestin itu.
"Hamas mengutuk langkah itu kerana didasarkan pada premis bahawa Gerakan Hamas kononnya bersifat jahat," kata juru bicara Hamas, Sami Abu Zuhri.
"Ini perkembangan merbahaya yang menegaskan bahawa kekuasaan ketika ini di Mesir mengabaikan kepentingan nasional dan bahkan menggunakan hal itu untuk berurusan dengan pihak lain, pertama di antaranya adalah masalah Palestin," katanya.
Sementara itu di Kuala Lumpur, lebih 2,000 umat Islam hari ini bersolidariti menyatakan bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera Mesir ke atas Presiden yang dipilih secara sah Dr Muhammad Morsi, demikian lapor harakahdaily.
Himpunan bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan kemudian berarak ke bangunan Kedutaan Mesir di Jalan Ru, Ampang Hilir yang berjarak tidak kurang 4 kilometer.
Mengepalai perarakan tersebut, pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Riduan Mohd Nor, Kamaruzzaman Mohamad, wakil muslimat Ustazah Nuridah Saleh dan lain-lain.
Himpunan ini turut disertai wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Haluan Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gema dan Aqsa Syarif.
Peserta masing-masing membawa poster Morsi serta kain rentang yang mengutuk tindakan mencabul demokrasi tentera Mesir itu.
Antara lain poster tersebut tertulis 'The President kidnapped, now showing in Egypt'.
Sementara itu, polis bertindak menutup laluan di hadapan bagunan kedutaan.
Dianggarkan hampir 100 anggota polis termasuk pasukan Light Strike Force (LSF) berkawal di jalan masuk menuju ke bangunan kedutaan.
Peserta perarakan yang tiba dihalang masuk ke jalan berhadapan bangunan kedutaan sebaliknya diberhentikan di jalan bersebelahan kira-kira 150 meter dari pintu masuk bangunan kedutaan.
Pihak keselamatan hanya membenarkan enam wakil untuk masuk mengadakan perbincangan dan menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan.
Sementara menunggu penyerahan memorandum selesai, beberapa wakil parti dan NGO memberi ucapan kepada peserta dari atas pacuan empat roda.
15 minit kemudian wakil-wakil yang mengadakan pertemuan dilihat keluar dari bangunan kedutaan dan menyertai himpunan.
Khairul Faizi dalam ucapannya selepas penyerahan memorandum itu berkata, mereka mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan sementara Mesir yang dikuasai tentera.
Ianya termasuk membebaskan dan mengembalikan segera Morsi, hentikan tindakan kekerasan terhadap rakyat dan benarkan mereka berhimpuan secara aman, membatalakan segala undang-undang dan ketetapn baru yang dibuat selepas kudeta serta membebaskan segera semua tahanan politik.
Najib membisu
Bercakap kepada media selepas itu, Khairul Faizi turut mempersoal sikap kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa masih membisu dalam isu ini.
"Kenapa beliau tidak mahu menyatakan pendirian dalam isu ini. Adakah Najib takut untuk tunjuk sikap kerajaan Malaysia dalam isu ini, takut kepada penentang Morsi?," soalnya.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia yang mendakwa mendokong demokrasi sewajarnya bersama rakyat Mesir yang membantah kudeta tersebut.
Persoalan sama turut dilontar Nuridah yang mendakwa perdana menteri bersikap double standard dalam isu ini.
"Dia (Najib) bukan mahu nyatakan pendirian, sebaliknya menggunakan isu rampasan kuasa Mesir ini untuk menakutkan rakyat bahawa inilah akibatnya bila berlaku perubahan kuasa," katanya.
0 comments:
Post a Comment