Tuesday 17 June 2014

SKANDAL UiTM Syarikat RM2: Projek RM 1.5 Bilion mengkayakan anak-beranak!

Rabu, 18 Jun 2014
Konsesi penswastaan kampus UiTM yang kedua yang akan didedahkan adalah pembinaan, operasi dan penyenggaraan UiTM Cawangan Seremban III di Negeri Sembilan.

Jawapan Perdana Menteri pada 10 April 2014 menunjukkan bahawa konsesi selama 23 tahun yang dianggarkan mencecah RM1.5 bilion sepanjang tempoh konsesi ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Inovatif Mewah Sdn Bhd.

Semakan menunjukkan bahawa pegangan saham di dalam Inovatif Mewah Sdn Bhd adalah seperti berikut (rujuk carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang disertakan bersama):

1. Menang Development (M) Sdn Bhd dengan pegangan 51% saham
2. Menang Industries (M) Sdn Bhd dengan pegangan 20% saham
3. Tentu Selesa Sdn Bhd dengan pegangan 29% saham

Menang Development (M) Sdn Bhd dan Menang Industries (M) Sdn Bhd adalah syarikat-syarikat yang dikawal dan/atau dimiliki sepenuhnya oleh Menang Corporation (M) Berhad, iaitu sebuah kumpulan pembangunan hartanah yang dikawal oleh keluarga Dato’ Abdul Mokhtar Ahmad.

Manakala Tentu Selesa Sdn Bhd pula adalah syarikat yang dikuasai oleh dua tokoh yang rapat dengan Umno. Semakan SSM menunjukkan bahawa pengarah-pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah seperti berikut:

1. Dato’ Shahrir Abdul Jalil
2. Dato’ Aidit Ghazali

Tentu Selesa Sdn Bhd adalah sebuah syarikat dengan saham terbitan hanya RM2 sahaja dan dipegang oleh dua individu iaitu Saharudin Abdullah dan Sumami Kiman. Siasatan saya menunjukkan bahawa Saharudin Abdullah dan Sumami Kiman juga adalah pemegang saham kepada banyak syarikat RM2 yang digunakan di dalam pelbagai urusniaga kontroversi termasuklah cadangan pengambilalihan KFC dan PLUS. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua individu ini menjalankan perniagaan menubuhkan syarikat bermodal RM2 untuk dijual kepada pihak-pihak ketiga yang seterusnya menggunakan syarikat ini bagi tujuan urusniaga yang lain.

Oleh itu, Tentu Selesa Sdn Bhd adalah syarikat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Shahrir Abdul Jalil dan Dato’ Aidit Ghazali.

Semakan lanjut menunjukkan bahawa Dato’ Shahrir Abdul Jalil adalah adik kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno Malaysia. Dato’ Shahrir Abdul Jalil pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai yang kemudiannya digantung selama 3 tahun oleh Lembaga Disiplin Umno pada tahun 2005 kerana didapati bersalah dengan amalan politik wang.

Dato’ Shahri Abdul Jalil adalah pengarah kepada pemegang konsesi Inovatif Mewah Sdn Bhd, selain menjadi pengarah kepada Tentu Selesa Sdn Bhd.

Seorang lagi pengarah Tentu Selesa Sdn Bhd adalah Dato’ Aidit Ghazali, iaitu Timbalan Presiden Jalur Tiga (JATI), sebuah NGO sayap kanan yang ditubuhkan oleh Dato’ Hassan Ali selepas beliau (Hassan Ali) dipecat dari PAS. JATI dilihat begitu kuat mendokong Umno dan banyak menyerang tokoh-tokoh Pakatan Rakyat.

Susun atur pemegang konsesi penswastaan UiTM Cawangan Seremban III menunjukkan bagaimana kroni kapitalisme digunakan di Malaysia untuk mengkayakan ahli-ahli politik yang rapat dengan Umno. Sebuah syarikat bermodal RM2 sahaja diberi pegangan sehingga 29% di dalam satu konsesi bernilai RM1.5 bilion hanya kerana ia dikuasai oleh tokoh-tokoh Umno atau yang rapat dengan Umno.

Model ini turut digunapakai di dalam beberapa konsesi yang lain, iaitu tokoh-tokoh Umno menjadi pemegang saham minoriti dan syarikat yang membina (selalunya syarikat yang memang terlibat di dalam sektor pembinaan) memegang saham selebihnya. Ia membayangkan seolah-olah syarikat yang dikawal ahli politik mendapat pegangan kerana membuka ruang “kabel politik” untuk dianugerahkan satu konsesi lumayan sedang syarikat pembinaan menjalankan kerja-kerja pembinaan sebenar.

Model ini yang menunjukkan penglibatan ahli politik dalam kroni kapitalisme adalah sarang rasuah yang akhirnya membebankan rakyat dengan konsesi-konsesi penswastaan seperti konsesi UiTM Cawangan Seremban III ini.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

17 Jun 2014


BLM.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena