Thursday, 19 November 2015

Hubaya-hubaya PAS Kelantan. Kini calon MB baru sudah datang...

Khamis, 19 November 2015

Asyraf Wajidi MB baru Kelantan?

Oleh Subky Latif
SAYA tidak fikir parti pimpinan Mat Sabu mampu mengambil kuasa Kelantan daripada PAS dalam PRU yang datang. Tetapi yang sudah menunggu lama bagi menggantikan kuasa PAS itu ialah Umno. Ia ada persiapan dan ada persediaan.

Apakah Umno mampu melucutkan pengaruh dan kuasa PAS dalam suasana Umno pada keseluruhannya sangat uzur di bawah Najib? Harapan BN untuk mempertahankan Putrajaya payah diramalkan, maka masakan mudah baginya untuk menafikan kekuatan PAS yang di negerinya paling berpengaruh.

Tetapi Umno Kelantan bukanlah kerana ia lebih daripada Umno keseluruhannya. Cuma sekarang ia ada Dr. Asyraf Wajidi Dasuki yang boleh dikira calon MB-nya yang paling baik sejak kekalahan Umno tahun 1990.

Tidak pernah Umno sejak era Almarhum Tan Sri Mohamad Yaakub tahun 1990 dulu ia ada calon Menteri Besar yang terbaik dibanding dengan sekarang justeru munculnya Dr. Asyraf. Jika dulu Umno sendiri pun tidak tertarik dengan calon-calon MB-nya, maka bagaimana ia hendak menarik orang yang bukan Umno.

Tetapi kini ia ada Dr. Asyraf, seorang yang ada potensi menjadi pemimpin kiranya dia berada dalam parti yang betul.

Kiranya dia berada dalam PAS, dengan kelulusannya dan kelincahannya, dia boleh menjadi pelapis kepimpinan ulama PAS. Dengan ilmu dan pengetahuan Islamnya yang tinggi dan luas itu Allah tidak memilihnya setakat ini untuk menjadi orang PAS. Dalam keadaan sebuah negeri dan kerajaan yang hendak menegakkan Islam sepenuhnya, Allah hantar dia kepada Umno.

Dr. ASyraf dan Umno tidak diketahui punya keupayaan melucutkan majoriti kerusi milik PAS. Tetapi ini kalilah ia ada peluang terbaik sejak tahun 1990. Selain calon yang baik, peluang Umno itu dibantu pula oleh larinya sebahagian daripada orang PAS mengikut Mat Sabu.

Setakat ini tidak ramai yang mengira kumpulan baru itu cukup upaya mengambil kuasa daripada PAS sekalipun nanti ia disertai oleh Datuk Husam Musa, barang dijauhkan Allah. Tetapi ia boleh meluakkan sokongan kepada PAS yang memungkinkan ia disamai oleh pencapaian Umno.

Jika PAS disamai Umno ketika itu bukan justeru itu sudah elok semula, tetapi rahmatnya justeru kehilangan beberapa kekuatan yang dilarikan oleh kumpulan baru itu.

Jika itu yang berlaku kumpulan itu tidak dapat apa yang dikejar. Jadilah ia politik bulu kasap, hujung hilang pangkal lesap. Dan PAS pula mungkin hilang apa yang dikendong.

Pada PAS, kumpulan baru itu adalah ujian dan cabaran. Kematian Tok Guru Nik Abdul Aziz pun satu ujian dan cabaran. Dan kedatangan Asyraf dalam Umno itu juga ujian dan cabaran. Setelah 25 tahun serambi Mekah memayungi negeri dan umatnya ia kini diuji.

Memang mana-mana orang beriman tidak sunyi ujian. Lagi kuat imannya lagi kuat ujiannya. Rahmat Allah saja yang menentukan yang diuji itu tahan uji atau leka.

Maka kini PAS Kelantan berdepan dengan ujian daripada ada orangnya yang lari dan Allah hantar Asyraf ke dalam Umno. Jika Umno cerdik, ia tidak gopoh menghantar Asyraf ke Kelantan. Simpan dulu dia dalam simpanan tetap. Keluarkan dia masa yang diperlukan.

Jika dikeluarkan dia sekarang, dalam tempoh dua tahun akan ada kelemahan yang boleh ditubi musuh. Musuh itu ada di luar dan ada di dalam. Musuh dalaman Umno itu kadang-kadang lebih menyulitkan daripada yang di luar.

Hubaya-hubaya PAS Kelantan. Kini calon MB baru sudah datang.

1 comments:

Unknown said...

Pru2004 dgn pengaruh tgna pas hnya menang majoriti 2 kerusi.Prk kemudiannya pas kalah dgn umno dan menjadikan kerajaan 1 kerusi.Jgn lupa tu subki....

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena