Timbalan menteri mahu publisiti doa tepi jalan berlubang.
WAN SAIFUL DIJANGKA MASUK BERSATU MINGGU DEPAN
WAN Saiful Wan Jan, yang meninggalkan kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) hari ini, dijangka akan menyertai Bersatu, kata sumber.
Beliau adalah pengasas dan ketua pegawai eksekutif Ideas sejak 2009, jawatan yang akan dikosongkannya berkuat kuasa 28 Februari ini.
Serentak dengan penyertaannya itu, Wan Saiful dijangka akan turut mengumumkan keluar dari PAS yang beliau sertai sejak 1992, semasa menyambung pelajaran di universiti di United Kingdom.
Wan Saiful, 43, adalah ahli seumur hidup PAS sejak 1997.
“Wan Saiful akan masuk Bersatu,” kata sumber yang enggan dinamakan yang tahu mengenai langkah politik itu kepada The Malaysian Insight.
Pengumuman penyertaan Wan Saiful dalam Bersatu dijangka akan dibuat minggu depan, kata seorang sumber lain yang juga maklum tentang perkembangan parti itu.
The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan Wan Saiful untuk pengesahan.
Wan Saiful dalam kenyataan pengumumannya meninggalkan Ideas hari ini berkata langkahnya itu adalah kerana mahu melakukan perubahan, sama seperti mana ketika beliau meninggalkan hidup yang selesa di United Kingdom pada 2009 dan pulang ke Malaysia untuk mendirikan kumpulan pemikir itu.
“Sekarang masanya untuk sekali lagi mengambil risiko yang sama, membawa semangat yang sama (untuk perubahan) kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.
Beliau juga menyifatkan langkahnya meninggalkan Ideas itu satu langkah penting yang harus dilakukannya sekarang atau akan disesalinya sampai bila-bila.
The Malaysian Insight difahamkan Wan Saiful minggu ini mengadakan perbincangan mengenai langkah politiknya itu dengan beberapa pemimpin tinggi Bersatu di Kuala Lumpur.
Januari lalu, Iseas-Yusof Ishak Institute di Singapura menerbitkan kajiannya mengenai potensi Bersatu di Johor serta masa depan parti itu dalam peta politik Malaysia. Beliau adalah felo pelawat kanan di institut berkenaan.
November lalu, Wan Saiful membayangkan beliau hanya menunggu masa akan dipecat oleh PAS ekoran beberapa kenyataannya yang dilihat keras mengkritik parti Islam itu.
Antara kritikannya ialah mengenai sikap PAS yang meninggalkan prinsip-prinsip progresif dan semakin condong jadi konservatif selepas krisis dalaman pada 2015 yang membawa kepada perpecahan sehingga terbentuknya parti serpihan Amanah.
Wan Saiful mula menggerakkan Ideas bersama dua rakan karibnya, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz, anakanda kepada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan ahli perbankan, Wan Mohd Firdaus Wan Fuaad semasa di United Kingdom pada sekitar tahun 2006.
Ideas ialah sebuah badan pemikir yang mendukung idea-idea bebas yang berakar pada prinsip-prinsip kebebasan, keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang menjadi asas pegangan dan legasi bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Dalam tempoh sembilan tahun yang lalu, Ideas menghasilkan beberapa kajian dasar awam termasuk dalam bidang urus tadbir, integriti, ekonomi dan pendidikan.
Selain menganggotai beberapa dewan perniagaan sebagai penasihat, Wan Saiful juga seorang tokoh pemikir muda yang sering dirujuk oleh media tempatan dan antarabangsa untuk mengulas isu-isu politik dan ekonomi Malaysia dan juga Asean.
Beliau juga menulis secara tetap di akhbar The Star dan Sin Chew, antara dua akhbar utama dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin di Malaysia selain kerap diwawancara oleh media antarabangsa termasuk Reuters, Al-Jazeera dan The Economis, serta stesen televisyen Bloomberg dan Channel News Asia (CNA).
– https://www.themalaysianinsight.com
TMC.
0 comments:
Post a Comment