Calon BN DUN Ketari layak bertanding walaupun tak penuhi syarat?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dituntut memberi penjelasan tentang dakwaan membenarkan calon yang tidak layak untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN N34 Ketari.
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Ketari Young Syefura Othman (Rara) berkata, SPR tidak sepatutnya menerima pencalonan Datuk Lau Hoi Keong kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang sepatutnya.
Isu ini timbul ekoran alamat kad pengenalan Lau yang didakwa yang tidak memenuhi syarat sebagai calon.
“Tetapi apa yang berlaku adalah SPR seperti telah bekerjasama dengan JPN untuk melayakkan Datuk Lau walaupun tidak mematuhi syarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lebih menghairankan, SPR tidak membenarkan kad pengenalan Lau diperiksa bagi mendapatkan kepastian.
“Kami mahu melihat kad pengenalan Datuk Lau tetapi pihak SPR tidak membenarkan kami.
“Kemudian kami dimaklumkan bahawa tidak ada isu kerana kononnya alamat di dalam cip sudahpun ditukar,” katanya.
Penjelasan tersebut ujar Rara amat meragukan kerana mustahil alamat yang dinyatakan di dalam cip berbeza dengan alamat di dalam kad pengenalan sendiri.
“Kemudian dua orang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara telah hadir dan membawa salinan kad pengenalan Datuk Lau.
“Walaupun kami tidak dibenarkan untuk memeriksa salinan tersebut, kami dapat melihat bahawa alamat yang tertera adalah alamat di Kuala Lumpur dan bukannya Pahang,” katanya.
Meskipun dibantah, pegawai SPR kata Rara telah mengumumkan Lau sebagai calon yang sah dengan alasan kononnya pengarah SPR negeri telah memberi kebenaran.
Justeru satu laporan polis telah dibuat petang tadi di Ibu Pejabat Polis Bentong.
“Saya harap pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan segera dan telus.
“Saya juga akan mendapat nasihat peguam saya tentang apa-apa tindakan undang-undang yang mungkin saya ambil selepas ini,” katanya lagi. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment