Ribuan hadir ceramah HARAPAN di Parit
Kira-kira 3,000 hadir ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Parit, Perak yang merupakan parlimen dengan 90 peratus pengundi Melayu dengan menampilkan penceramah utama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin HARAPAN dalam ucapan masing-masing mengulangi bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sekiranya HARAPAN memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"BN cuba menakutkan Melayu bahawa Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya HARAPAN menang PRU.
"Tapi HARAPAN sudah umumkan Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri HARAPAN sekiranya HARAPAN menang," kata Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam ucapannya di program di Seri Iskandar.
Hadirin dilihat bersorak dan melaungkan slogan "Hidup Tun".
Turut hadir adalah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mohamad Sabu turut mengumumkan calon HARAPAN bagi parlimen Parit Datuk Tarmizi Mohd Jam dari AMANAH. Beliau dijangka berdepan calon BN Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Parit mempunyai 93 peratus pengundi Melayu, 3 peratus pengundi Cina, 3 peratus pengundi India dan 2 peratus pengundi bangsa lain.
Calon Umno yang merupakan Ketua Bahagian Parit Mohd Zaim memenangi kerusi itu dengan 4,497 majoriti undi mengalahkan calon PAS pada PRU lalu.
Mohd Zaim bagaimanapun diganti oleh Mohd Nizar Zakaria. Berita Harian melaporkan, Mohd Zaim tetap akan menyokong kempen BN meskipun kecewa kerana tidak tercalon.
Sementara bagi dua DUN di Parit, Mohamad Sabu mengumumkan Ketua Pemuda BERSATU Azrul Hakim Azhar sebagai calon Bota dan ahli BERSATU Yahanis Yahya sebagai calon DUN Belanja.
Dr Mahathir dalam ucapannya berkata beliau terkejut dengan kehadiran orang ramai kerana Parit merupakan kawasan luar bandar.
"Ini bukan bandar besar, tapi ini kawasan luar bandar Parit. Namun hadirin nampak seperti penduduk bandar besar," katanya.
Dr Mahathir turut mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menjelaskan istilah kleptokrasi kepada hadirin.
"Saya juga tak tahu apa itu 'kleptokrasi' sebelum ini dan saya terpaksa buka kamus untuk semak. Saya cuma sedar seluruh dunia gelar kerajaan Malaysia sebagai "pencuri", "perompak","lanun", kita tidak mahu negara ini dipimpin oleh pemimpin yang mencuri duit negara," katanya.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment