TS.
Lapor polis sambutan Krismas: PAS Tawau mohon maaf
PAS kawasan Tawau hari ini memohon maaf berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap penganjuran sambutan hari Krismas dan fiesta ambang tahun baru 2019 yang dianjurkan oleh oleh pejabat ahli parlimen Tawau Christina Liew.
Pesuruhjayanya, Mohamad Husain berkata laporan polis dibuat susulan respon orang ramai bahawa festival itu “mengandungi unsur-unsur dakwah Kristian kepada orang awam yang turut dihadiri oleh orang Islam.”
Walau bagaimanapun, portal Free Malaysia Today memetiknya sebagai berkata PAS tidak menghalang mana-mana kaum dan agama untuk menganjurkan sebarang aktiviti asalkan mematuhi undang-undang.
"Keadaan ini sangat berbeza daripada penganjuran program sebelumnya," katanya.
Pada 1 Jan lalu, PAS Tawau mengadakan sidang media membantah festival yang dianjurkan pejabat Liew.
Pada sidang akhbar itu, Mohamad Husain mendakwa mewakili Warisan, PKR, Umno, serta beberapa NGO di Tawau dan Kalabakan.
PAS Tawau juga membuat laporan polis pada hari yang sama.
Bagaimanapun, akhbar Daily Express hari ini melaporkan bahawa Mohamad juga memohon maaf kepada Warisan dan PKR kerana mengaitkan nama parti-parti berkenaan dalam memorandum bantahan tersebut.
Mohamad berkata, ia adalah satu kesilapan teknikal kerana PAS mengeluarkan memorandum itu kepada media tanpa memberitahu mereka yang terlibat.
Sementara itu, portal Malay Mail melaporkan, Liew, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, menafikan tuduhan bahawa festival itu diadakan untuk tujuan dakwah kristian.
"Apa yang mereka protes? Ini adalah acara tahunan yang kami telah menganjurkan selama 20 atau 30 tahun yang lalu tanpa sebarang masalah. Tiba-tiba kita tidak boleh buat ini lagi? Mengapa.
"Ada pemimpin lain juga yang hadir seperti Kalabakan, MP Ma'mun Sulaiman yang berada di sana. Beribu-ribu orang yang hadir dari semua kaum dan agama, meraikannnya dengan gembira bersama kami,” katanya.
mk.
0 comments:
Post a Comment