[Video PAS sedia serah dokumen kewangan pada SPRM] PH Bachok buat laporan polis terhadap Nik Abduh! Selamat datang SPRM, kata Nik Abduh & Jangan lupa SIASAT SAMA NASHARUDDIN MAT ISA!
Pakatan Harapan Kawasan Bachok membuat laporan polis terhadap YB Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok, pada hari ini.
Lebih 100 orang penyokong PH Bachok diketuai oleh Tuan Haji Zulkifli, Pengerusi PH Bachok tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok bagi menuntut satu siasatan dijalankan ke atas YB Nik Abduh atas dakwaan bahawa beliau mengakui menerima wang (dipercayai sebagai rasuah) daripada Umno, sebagaimana rakaman audio yang tular baru-baru ini.
Dakwaan ini menjadi semakin kuat apabila Pas bertindak menarik balik saman fitnah yang dikemukakan oleh mereka terhadap Sarawak Report, dipercayai kerana pihak peguam yang dilantik oleh Pas sendiri telah mendapat pengesahan audio itu benar-benar milik Nik Abduh melalui ujian yang dijalankan oleh sebuah makmal forensik di London.
Oleh itu, PH Bachok menuntut supaya polis mengadakan siasatan mengenai penglibatan Nik Abduh dalam skandal rasuah atau skandal 1MDB dan mendesak supaya Nik Abduh meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau sudah hilang integriti untuk mewakili Parlimen Bachok.
Selamat datang SPRM
PAS tidak tertekan dengan kemungkinan SPRM menyiasat dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin parti itu.
Sebaliknya, anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengalu-alukan siasatan oleh agensi berkenaan.
“PAS tertekan? Tidak. Selamat datang SPRM,” kata beliau menerusi ciapan di laman Twitternya.
"Semua tahu, semakin PAS berkuasa, semakin berkuasalah SPRM," tambahnya.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan isu 'audio Nik Abduh' muncul semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik saman terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dengan penyelesaian kes di luar mahkamah.
Ia susulan pengakuan seorang individu bernama Muhammad Atiullah yang mendakwa "menjadi saksi" ketika Nik Abduh membuat "pengakuan menerima suapan" tersebut.
Dalam kenyataannya bertajuk "Lebih 40 saksi hidup terhadap pengakuan YB Nik Mohamad Abduh menerima duit Umno", Muhammad Atiullah menyifatkan kejadian itu sebagai "peristiwa hitam".
1. PAS merujuk kepada Kenyataan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 6 Februari 2019 yang bertajuk SPRM SIASAT DAKWAAN WANG RM90 JUTA DARIPADA 1MDB.
2. PAS dengan ini memberi akujanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan (yang kami nafikan sepenuhnya) kononnya wang sebanyak RM90 juta yang disyaki daripada 1MDB dikatakan dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS.
3. PAS juga memberi jaminan akan menyerahkan segala dokumen milik PAS, sekiranya diminta oleh pihak SPRM untuk tujuan siasatan ini, termasuklah Penyata Akaun-akaun Bank PAS Pusat, bagi membuktikan dakwaan bahawa PAS menerima RM90 juta daripada 1MDB adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.
4. PAS juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnnya mempunyai maklumat tentang dakwaan di atas, dengan penuh tanggungjawab dan integriti, tampil untuk menamakan secara terperinci serta memberikan butiran lanjut mereka yang dikatakan menerima wang tersebut kepada pihak berkuasa supaya siasatan lanjut dapat dibuat.
5. PAS yakin SPRM sebagai sebuah entiti yang berintegriti akan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dengan mengamalkan ketelusan, sikap bermaruah serta ‘without fear or favour’.
Terima kasih.
DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN,
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 06 Februari 2019.
Ulasan Blog - Alhamdulillah, tentunya kita semua boleh menarik nafas lega sekarang ini.
Selepas kecoh-kecoh tanpa kesudahan berhubung kemelut wang RM90 juta yang didakwa pernah diterima Pas daripada Najib Razak serta dikaitkan dengan dana 1MDB, jalan kebenaran nampaknya sudah mula terbentang di depan mata kita semua.
Berikutan penarikan balik saman oleh Hadi Awang terhadap Sarawak Report yang kemudian membuka ruang kepada beberapa individu membuat laporan polis, SPRM dengan pantas mengumumlan kertas siasatan sudah pun dibuka.
Susulannya, Pas juga turut menyatakan keterbukaannya untuk disiasat SPRM serta berjanji akan menyerahkan semua dokumen-dokumen berkaitan seperti penyata bank dan sebagainya.
Nik Abduh Nik Aziz pula menyatakan pihaknya sama sekali tidak tertekan dan mengalu-ngalukan kedatangan SPRM untuk menjalankan siasatan itu.
Dengan yang demikian, SPRM kini tiada alasan lagi untuk melengah-lengahkan tugas siasatannya. Ini adalah kes kepentingan awam hang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia.
Cumanya, selain akaun bank Pas dan beberapa pemimpinnya yang perlu diteliti dan disiasat, SPRM tidak harus lupa untuk menyiasat sama Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas yang diperkatakan sebelum ini sebagai "orang tengah" dalam penyaluran wang tersebut kepada para pemimpin Pas.
Ketika era Najib, meskipun masih merupakan ahli Pas, Nasharuddin telah dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Kesederhanaan Global.
Jika benar ada sejumlah wang yang besar dimasukkan ke akaun bank Nasharuddin, dari situ akan dapat dikesan ke mana wang itu mengalir seterusnya.
Oleh kerana jumlah wang, sama ada yang dikatakan diterimanya atau didakwa diterima oleh beberapa pemimpin Pas yang lain itu adalah dalam jumlah yang besar, sudah tentulah ia menggunakan sistem perbankan yang boleh dijejaki susur-galurnya dengan mudah.
Bermakna, dengan adanya siasatan itu, jika benar Pas atau pemimpinnya ada menerima wang daripada Najib atau UMNO, tidak ada sesiapa yang dapat mengelak daripadanya.
Begitu juga kiranya Pas dan pemimpinnya tidak pernah menerima apa-apa wang daripada Najib atau UMNO, maka nama mereka dengan sendirinya akan dibersihkan melalui siasatan tersebut.
Ertinya, kebenaran yang akan terserlah nanti adalah adil kepada semua pihak.
Hanya yang menjadi persoalan kini, mengapa Husam Musa masih tidak membuat laporan kepada SPRM dan menyerahkan dokumen sahih yang didakwa dimiliknya berkaitan penyaluran wang tersebut?
Bukankah Husam sepatutnya boleh jadi “hero” dalam isu jika beliau tampil membuat laporan kepada SPRM dan membantu siasatan dengan menyerahkan dokumen yang didakwa dimilikinya itu?
Adakah Husam sebagai orang politik tak mahu jadi “hero”?
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
0 comments:
Post a Comment