Friday, 23 January 2015

P'raya Kerajaan Tempatan - Hujah kaum dan politik ketakutan?..Sampai bila sentimen perkauman dan momok 13 Mei masih lagi dimainkan!

Sabtu, 24 Januari 3015

Ini ialah pendapat peribadi penulis Izmil Amri 


Yang tidak dimengerti Hadi tentang ‘undi ketiga’ – Izmil Amri 


Tidak jauh beza dengan buah butir percakapan kumpulan-kumpulan ultra Melayu. Sikit-sikit 13 Mei, seolah-olah tidak ada hujah bernas lain selain hujah kaum dan politik ketakutan.
Lebih menyedihkan, modal pilihan raya kerajaan tempatan ini kini dijadikan modal perbandingan dengan cita-cita pelaksanaan hudud di Kelantan. PAS membandingkan urusan jenayah syariah berasaskan firman Tuhan, dengan isu pemilihan tukang urus longkang tersumbat dan lampu jalan tidak menyala. Ini amat memilukan hati.
Apa yang Hadi nampak barang kali, hanyalah kalau dibuat pilihan raya ini, yang akan jadi ahli majlis dan datuk bandar, semuanya Cina belaka. Geleng kepala.
Hadi gagal memandang pilihan raya kerajaan tempatan, atau ‘undi ketiga’ sebagai langkah penampan. Di saat PAS ketiadaan Kedah dan Terengganu, seharusnya Hadi memikirkan ‘undi ketiga’ patut dijadikan modal simpanan bagi memastikan PAS (dan juga PR, kalau masih sudi) dapat terus bekerja melayani rakyat di peringkat akar umbi.
Seharusnya juga PAS dan Hadi mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada Iszuree Ibrahim di Pulau Pinang, yang digantung tugasnya dan kemudian tidak disambung kontraknya sebagai ahli Majlis MPPP lantaran komen melulunya terhadap kerajaan negeri.
Iszuree pasti masih lagi tidak digugurkan daripada menjadi ahli majlis sekiranya beliau dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan, dan bukan melalui cara pelantikan.
Namun ternyata PAS gagal mencari apa peluang yang ada untuk terus berfungsi sebagai pelayan rakyat. Bukan itu sahaja, ia malah mengecam peluang tersebut dengan sentimen perkauman dan momok 13 Mei.
Kita sebenarnya harus mengerti apa fungsi dan peranan ahli majlis, dan kenapa mereka ini perlu dipilih oleh rakyat, dan bukannya dilantik pakai tangkap muat.
Wakil rakyat, fitrahnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya untuk menganggotai dewan-dewan pembuat dasar negeri dan negara. Wakil rakyat ini ada antaranya yang mempunyai ciri kepemimpinan.
Mudahnya disebut ciri orang politik. Suka bergambar, berucap, dan dilihat membuat sesuatu.
Sekumpulan wakil rakyat yang lain pula barangkali tidak mempunyai ciri-ciri sedemikian selain keinginan melayani dan berkhidmat untuk rakyat. Tetapi ini sebenarnya bukan kerja wakil rakyat. Bukan kerja wakil rakyat untuk urus longkang tersumbat, sampah tidak dipungut dan tiang lampu tidak menyala.
Itulah kerja ahli majlis. Mereka inilah yang sentiasa mendapat panggilan telefon daripada wakil rakyat apabila rakyat mengadu longkang depan rumah tersumbat, atau gerai cucur pisang ibu tunggal di simpang kampung perlukan lesen supaya mengelak daripada dirobohkan.
Ahli majlis adalah wakil kepada wakil rakyat. Yang penat dan letih melayan rakyat, selalunya mereka inilah. Yang berasa denyut nadi rakyat saban hari, ahli majlis.
Tetapi siapa yang melantik ahli majlis? Takkanlah rakyat tidak punya suara untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal runcit bandar dan pekan mereka. Dan bukankah ahli majlis juga yang meluluskan binaan infrastruktur setempat?
Berbanding PAS, DAP percaya rakyat mempunyai hak demokratik untuk memilih siapa yang mewakili mereka di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mahupun di majlis bandaran. Ini memastikan akauntabiliti wakil rakyat dan ahli majlis kepada rakyat yang meletakkan mereka di posisi itu, bukan tuan-tuan politik yang melantik mereka.
Kebertanggungjawaban kepada pembayar cukai, pembayar saman, pembayar meter petak letak kereta, pembayar lesen niaga, adalah elemen yang memastikan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam menguruskan infrastruktur dan perancangan setempat.
Rasa bertanggungjawab inilah yang dimahukan rakyat terbanyak, yang hari demi hari bertanya ‘mana wakil rakyat kami, musim pilihan raya baru nampak muka’.
Memanglah tak nampak muka wakil rakyat, mereka kerja di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Ahli majlislah yang kerjanya turun padang selalu, di zon dan autonom yang lebih kecil. Muka mereka ini nanti memanglah nampak selalu; tapi tak kenal, sebab bukan rakyat yang pilih.
Tidak sepatutnya timbul persoalan jurang kaum, tidak kiralah di bandar atau luar bandar. Penyakit mudah menimbulkan momok perkauman ini sepatutnya sudah tidak lagi diperbahaskan. Bukankah kita juga yang dahulu menyeru supaya pengundi memilih calon yang berkaliber dan tidak memilih berasaskan kaum dan keturunan?
Jika pendekatan garang Hadi terhadap DAP ini sekadar untuk menunjukkan beliau masih bergigi dalam mempertahankan kerusi presiden PAS menjelang muktamar nanti (seperti dianjurkan Utusan Malaysia) maka barang kali sudah tiba masanya untuk PAS mempertimbangkan calon presiden baru bagi mengemudi PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – 23 Januari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/yang-tidak-dimengerti-hadi-tentang-undi-ketiga-izmil-amri#sthash.mNPtUljZ.jIhDRQZG.dpuf

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena