Saturday, 8 June 2013

Panas ! Sarjan Polis dibogelkan oleh perompak, pistolnya juga dirampas!!! & Kempen Bersatu Menentang Jenayah

Sabtu, 8 Jun 2013
Polis Berpangkat Sarjan Dibogelkan Sekumpulan Penjenayah Bertopeng
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dan ahli keluarganya berdepan detik cemas apabila bergelut dengan sekumpulan empat penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini, hingga pistol miliknya dirampas.
Ketika kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa di rumah bersama isteri dan seorang anak perempuan sebelum secara tiba-tiba empat lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang masuk ke kediamannya.
Menurut sumber, kumpulan penjenayah itu mengarahkan semua mangsa ke tingkat atas sebelum menggeledah rumah.
“Dalam keadaan kelam-kabut dan cemas itu, anggota polis berkenaan cuba mempertahankan diri dengan mengambil pistol miliknya yang disimpan bersama 30 peluru di atas almari, namun tindakannya itu disedari kumpulan penjenayah terbabit.
“Berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek hingga menyebabkan pistolnya dirampas dan berang dengan tindakan mangsa itu, penjenayah terbabit bertindak membogelkan semua mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sumber berkata, selain pistol milik mangsa, suspek turut merampas beberapa barang berharga termasuk wang tunai sebelum melarikan diri menaiki kenderaan diletakkan di kawasan berhampiran rumah mangsa.
“Suspek sempat mengambil telefon bimbit jenis Sony Xperia dan iPhone 4, rantai emas serta jam tangan selain wang tunai kira-kira RM2,000.
“Semua suspek melarikan diri dengan kenderaan tidak dapat dipastikan jenis dan kerugian mangsa dianggarkan RM6,000,” katanya.
Difahamkan, anggota polis itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -MD/The Kuala Lumpur Post.

Banteras jenayah ibarat peperangan
Sinar Harian
Tarikh: June 8, 2013
Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Usaha memerangi jenayah adalah satu 'peperangan' yang memerlukan komitmen dan sokongan berterusan daripada semua lapisan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang selamat kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata penyertaan daripada masyarakat secara aktif dan proaktif dan bukannya dalam bentuk pasif atau "lip service" adalah perlu bagi membantu menjayakan hasrat kerajaan mewujudkan perasaan selamat, tenteram dan bebas daripada perasaan takut ketika berada di negara ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kadar penurunan jenayah bukanlah muktamad berdasarkan statistik dan perangkaan yang dicapai hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif sejak ia dilancarkan pada tahun 2010.

"Penyertaan secara aktif dan proaktif oleh masyarakat bukan dalam bentuk pasif atau lip service. Kalau kita sebagai individu dapat melakukan penyertaan masing-masing secara proaktif dan aktif, saya percaya sokongan dan dokongan daripada komuniti adalah asas yang amat penting yang boleh membawa kepada kejayaan kita memerangi jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Bersatu Menentang Jenayah anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di KLCC Park di sini.

Dalam menyeru semua lapisan masyarakat supaya bersatu memerangi jenayah, Perdana Menteri turut meminta pihak swasta khususnya pemilik pusat beli-belah meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka seperti memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan menyediakan lebih ramai pengawal keselamatan.

"Jangan fikir mengenai keuntungan sahaja, kena juga fikir mengenai sumbangan perangi jenayah. Kalau pusat membeli-belah itu selamat dari jenayah, ia akan lebih popular. Kita mesti lihat dari sudut tersebut," katanya.

Katanya pemaju perumahan juga perlu membina projek-projek perumahan yang menerapkan ciri-ciri komuniti selamat seperti mengelak daripada membina lorong-lorong sunyi.

"Ini adalah satu peperangan yang hanya akan berjaya jika semua lapisan rakyat mendokong dan menyokongnya (usaha). Kalau kita tidak bersatu perangi jenayah, jenayah akan menghantui kita," katanya.

Selain itu, Najib juga menyarankan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji cadangan mewujudkan talian khas kecemasan yang disambungkan terus ke Bukit Aman supaya tindakan pantas dapat dilaksanakan dalam tempoh masa lebih singkat.

Beliau berkata cadangan itu dibangkitkan oleh seorang bekas pegawai tertinggi polis dalam satu perjumpaan veteran polis bersama beliau baru-baru ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Kempen Bersatu Menentang Jenayah telah dilancarkan Mac lepas dan orang ramai boleh membuat ikrar untuk memerangi jenayah melalui laman web www.unitedagainstcrime.com.my.

Setakat ini, sejuta orang dan 30 syarikat swasta telah mengatakan ikrar mereka terhadap tujuan tersebut. - Bernama/Sinar Harian.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena