Dr M: Rakyat lebih sokong pandangan saya
Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin ditegur kerana kelantangannya berhubung projek pembangunan di selatan semenanjung namun ia tidak mengubah sedikit pun pandangannya.
Mengulangi pendiriannya bahawa projek di Johor Bahru itu sebagai berbahaya kepada kedaulatan negara, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, reaksi diterimanya juga menunjukkan sokongan majoriti adalah memihak kepada beliau.
"Saya berpendapat bahawa perbuatan ini begitu bahaya kepada negara dan kalau kita lihat reaksi kepada apa yang saya sebut dalam jawapan saya, mereka memang lebih memihak kepada pendapat saya daripada pendapat orang itu," katanya.
Dr Mahathir bercakap di majlis dialog anjuaran Parti Amanah Negara (AMANAH) Titiwangsa dan Seputeh di Kuala Lumpur malam tadi.
Terdahulu bekas perdana menteri itu ditanya pengerusi majlis, Dr Maszlee Malik: "Sebelum ini ni Tun (ada) sebut tentang Datuk Seri Najib Razak bawa masuk tiga juta rakyat China. (Kemudian) baru-baru ini Tun ada tegur - bukan Najib - ada orang lain juga yang bawa masuk orang China, (lalu) timbul isu. Tidakkah ini akan menjejaskan BERSATU di Johor? (Boleh) faham?"
Soalan itu dijawab secara spontan oleh Dr Mahathir: "Ya, saya faham. Semua orang faham" sambil disambut ketawa orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan.
Sokongan mungkin terjejas, tetapi...
Dr Mahathir pernah mendakwa banyak tanah dan kediaman di sekitar Johor Bahru akan dijual kepada warga asing sehingga boleh menimbulkan pelbagai masalah, termasuk keselamatan.
Satu daripada projek dirujuk Dr Mahathir ialah Forest City yang dibangunkan oleh syarikat pemaju China. Sasaran utama pembeli projek harta tanah itu juga didakwa adalah kalangan rakyat China.
Dr Mahathir menimbulkan kebimbangan itu berdasarkan laporan Bloomberg yang mendakwa Forest City akan menampung 700,000 rumah baru apabila siap kelak.
Bagaimanapun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat kenyataan terbuka dengan membidas Dr Mahathir dan menganggap baginda "amat tersinggung dan disakiti" oleh beberapa ulasan Dr Mahathir.
Baginda juga menuduh Dr Mahathir bermain politik perkauman untuk mewujudkan ketakutan.
Kata Dr Mahathir beberapa keputusan dikaitkan dengan China yang dibuat pentadbiran Najib akhirnya akan membawa kepada kehilangan kedaulatan Malaysia.
Mengulas lanjut soalan yang diajukan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu, Dr Mahathir berkata memang ia memberi kesan kepada sokongan rakyat kepada BERSATU.
Namun, katanya, isu berkenaan tetap perlu disuarakan.
"Saya berpendapat perbuatan ini (pembangunan projek Forest City) begitu berbahaya kepada negara.
"Kalau ia menjejaskan sedikit sokongan kepada BERSATU, kita (tetap) perlu menyuarakan perkara ini," katanya disambut tepukan orang ramai.
Malaysiakini.
Forest City diramal isu utama PRU14
Ada kemungkinan besar isu bantahan berterusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap projek Forest City di Johor akan mendominasi kempen pilihan raya umum akan datang, lapor sebuah akhbar luar hari ini.
Dalam analisis South China Morning Post itu, penyelidik politik di Institut Kajian Asia Tenggara - Yusof Ishak, Mustafa Izzuddin, berkata perjanjian bernilai berbilion ringgit antara Putrajaya dan Beijing serta pemaju harta tanah negara itu menyebabkan rasa kurang senang orang ramai.
BERSATU - terutama pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad - sejak beberapa minggu lalu menuduh Putrajaya mengancam kedaulatan negara melalui pembangunan projek Forest City.
Beberapa pegawai kerajaan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mempunyai pegangan dalam projek berkenaan menafikan dakwaan Dr Mahathir.
Bersandarkan kepada laporan Bloomberg pada November tahun lalu, Dr Mahathir berkata, 700,000 unit kediaman akan dibina di atas tanah seluas 1,400 hektar dengan menyasarkan warga China sebagai pembeli utama.
Menurut Mustafa, hujah yang dikemukakan adalah penting kerana Johor menjadi tempat kelahiran Umno, manakala BERSATU pula menganggap negeri berkenaan sebagai tumpuan utamanya.
Hakikatnya perselisihan faham antara Dr Mahathir dan Sultan Johor juga penting kerana Johor adalah kubu parti BERSATU.
"(Mereka) berharap dapat menembusi negeri kelahiran Umno dan kubu nasionalisme Melayu Umno," katanya.
Tokoh akademik yang banyak menulis mengenai Malaysia, Bridget Welsh, pula berkata BERSATU mempunyai "cengkaman" di Johor.
"Ada kebimbangan gerakan ini akan memberi kesan kepada keseimbangan di negeri berkenaan," katanya.
Malaysiakini.
0 comments:
Post a Comment