Forum Nothing to Hide 2.0: Adakah Najib akan bersembunyi lagi?
KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Forum Nothing To Hide 2.0 yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini akan menjadi saksi sama ada Datuk Seri Najib Razak berani untuk berdepan mentor lamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini mengepalai pakatan pembangkang.
Perdana Menteri itu sebelum ini gagal menghadiri acara yang sama pada 2015 selepas dinasihati pihak polis yang kononnya bimbang akan keselamatan pemimpin itu, walaupun Presiden UMNO itu pada awalnya telah menyatakan kesungguhan untuk menyertainya.
Forum yang dianjurkan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ARMADA itu akan berlangsung selama tiga jam bermula tiga petang pada Ahad ini (13 Ogos 2017) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor dekat Shah Alam.
Sepucuk surat telah dihantar ke pejabat Najib pada 19 Julai lepas namun sehingga kini tidak dibalas. Pihak penganjur bagaimanapun optimis bahawa pemimpin UMNO itu akan membuat penampilan mengejut di acara berkenaan.
Turut dijangka hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali di samping pimpinan HARAPAN yang lain.
“Kami masih beranggapan Najib akan hadir pada program tersebut kerana beliau ternyata berdiam diri dan mengelak untuk memaklumkan mengenai kehadiran beliau, malah kepada pihak media hingga ke saat ini,” kata Ahli exco ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim.
“Pun begitu, Pemuda PPBM berpendapat sekiranya Najib tidak hadir atau menolak untuk hadir, ini bererti Najib tidak berani untuk menyatakan kebenaran, malah mempunyai ‘sesuatu’ untuk disembunyikan,” katanya dipetik laporan media.
Najib disebut secara tidak langsung melalui watak “Malaysia Official 1” atau “MO1” dalam dokumen saman sivil yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bagi merampas aset yang dipercayai dibeli daripada wang yang dicuri daripada 1MDB.
Sebahagian wang tersebut yang berjumlah AS$681 dipercayai dipindahkan ke akaun peribadi milik “MO1”. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahmad Dahlan mengesahkan bahawa “MO1” adalah Najib. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment