Kasut dibaling ke arah Dr M, kerusi terbang dalam Nothing to Hide 2
Program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam hari ini bertukar ganas apabila berlaku pergaduhan di dalam dewan tempat berlangsung acara itu.
Kekecohan bermula ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai peristiwa Memali, apabila tiba-tiba kemudian kasut dibaling ke arahnya.
Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi bekas perdana menteri itu.
Keadaan menjadi tidak terkawal selepas penyokong bertindak balas dengan membaling kerusi di dalam dewan.
Dalam keadaan kelam kabut itu, Dewan Raja Muda Musa di Kompleks Belia & Kebudayaan, Shah Alam yang menjadi lokasi acara itu juga dibakar dengan suar.
Sekurang-kurangnya dua suar dinyalakan di lokasi berkenaan oleh individu tidak dikenali, menyebabkan kepulan asap memenuhi dewan.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila berlaku pergelutan antara penyokong BERSATU dan individu yang melakukan provokasi berkenaan sehingga keluar dewan.
Penyokong BERSATU kemudian menahan sekurang-kurangnya dua individu memakai baju BERSATU, yang disyaki sebagai pengacau.
Suspek berkenaan, yang turut kelihatan cedera akibat dipukul, kemudian diserahkan kepada pihak polis.
malaysiakini
0 comments:
Post a Comment