Anwar mahu pembangkang sokong gerakan Tun
PETALING JAYA: Dari sebalik jeriji besi Sungai Buloh, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu parti-parti pembangkang supaya mengenepikan permusuhan peribadi dan menyokong gerakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam satu kenyataan yang diterima melalui WhatsApp, Anwar menyokong usaha mengembleng kekuatan parti politik, masyarakat sivil dan individu bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
“Tuntutan perubahan ini semestinya akan melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang sudahpun retak dan parah di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib,” kata Anwar, membayangkan satu persetujuan telah dicapai antara semua pihak yang berkenaan.
Di sidang media hari ini, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Pakatan Harapan (PH) tidak terbabit dengan Mahathir dan sebarang pertemuan antara mana-mana pemimpinnya dengan veteran UMNO itu adalah atas kapasiti peribadi.
Dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini, penganjur himpunan anti-Najib pada 27 Mac depan, Datuk Zaid Ibrahim menamakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali muka baharu yang layak menggantikan Najib.
Ketika PAS menolak permuafakatan itu, dan AMANAH menyatakan Anwar masih pilihan menggantikan Najib, Ketua Umum PKR itu berkata:
“Saya tegas menggesa rakan-rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi mahupun permusuhan peribadi.
“Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara.”
FMT.
0 comments:
Post a Comment