Tuesday, 1 March 2016

Keadaan kian meruncing! PAS di mana, di sini atau di sana?

Selasa, 1 Mac 2016

PAS di mana, di sini atau di sana?


ULASAN Saya merujuk kenyataan dikeluarkan presiden PAS semasa program Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.3) di Terengganu 27 Februari lalu yang menggambarkan bahawa beliau hanya anti kepada parti Umno, bukannya orang Umno.
Bahkan atas niat apa sekalipun, sebuah akhbar telah memetik sedutan ucapan Hadi dan memberikan gambaran bahawa PAS bersedia menjadi pendukung kuat kepada BN sekiranya mereka mentadbir Malaysia dengan ikhlas serta kembali kepada ajaran Islam.
Pada pandangan saya, kebijaksanaan rakyat hari ini tidak boleh sama-sekali dipandang enteng oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi sekarang ini kita berada pada zaman 'langit terbuka'.
Maklumat boleh diperoleh di mana-mana dan daripada pelbagai sumber.
Rakyat mampu menilai dan membuat analisis terhadap apa sahaja kenyataan yang dilontarkan oleh pemimpin.
Sekalipun presiden PAS menyatakan bahawa beliau tidak menolak orang Umno sebaliknya hanyalah menolak parti Umno, ia tidak akan sama sekali dapat 'mengelabukan' kebijaksanaan rakyat dalam menilai pelbagai maksud dan niat yang mungkin di sebalik kenyataan seperti ini.
Persoalan dan keresahan kita pada hari ini adalah terhadap ketidaktentuan politik yang dipacu oleh kerajaan semasa pimpinan Datuk Seri Najib Razak akibat pelbagai skandal yang akhirnya menekan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
Hanya dua pilihan
Saya berpandangan, apa yang penting bagi rakyat pada hari ini adalah kezaliman serta ketidakadilan sistem ekonomi dan sosial yang menghimpit hidup rakyat mestilah ditamatkan segera.
Dengan apa juga hujah sekalipun yang diguna pakai oleh PAS dalam menanggapi kemelut politik yang diterajui Najib - tidak kira sama ada menolak Umno atau Najib sendiri - hanya ada dua sahaja jalur pilihan jelas menjelang pilihan raya umum akan datang.
Perkara itu sama ada berkompromi dengan kerajaan hari ini yang telah meranapkan keseluruhan sistem bernegara sehingga memangsakan rakyat atau bersama menggembleng tenaga dalam gelombang rakyat melawan pemimpin korup serta salahguna kuasa yang menyebabkan negara berada dalam bahaya.
Kenyataan presiden PAS jelas sekali berpunca dari persoalan adakah beliau akan turut serta dalam himpunan 'anti-Najib'?
Jawapan beliau adalah "Saya anti Umno….tetapi tidak (anti) orang Umno, orang Umno tidak, orang Umno kita (PAS) hendak berbaik".
Namun soalnya, orang Umno sendiri pada hari ini telah jelas terbahagi kepada dua kelompok.
Kelompok pertama ialah yang menyokong Najib, kelompok kedua adalah yang mahukan agar Najib turun dari tampuk kuasa.
Umno yang mana satu?
Jika saya boleh melontarkan soalan kepada presiden PAS, beliau mahu berbaik dengan anggota Umno dari kelompok yang mana satu?
Respon diberikan oleh presiden PAS pada saya menggambarkan kekaburan PAS dalam menempatkan diri di saat kemarahan rakyat terhadap perdana menteri kian memuncak.
Ini termasuklah daripada kalangan orang Umno sendiri. PRU ke-14 bakal tiba kurang lebih dua tahun sahaja dari sekarang.
Saat keadaan kian meruncing, ditambah dengan beberapa langkah drastik diambil oleh tokoh-tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkemungkinan disusuli beberapa tokoh lain, dinamika politik Malaysia bakal mengalami perubahan yang besar.
Justeru, saya katakan bahawa kenyataan dikeluarkan oleh presiden PAS hanyalah akan memudahkan lagi rakyat untuk menilai PAS serta membuat perhitungan tuntas dalam PRU akan datang bagi memastikan negara ini kembali bergerak mengikut arah tuju yang betul.

SHEIKH OMAR ALI penolong setiausaha publisiti DAP Johor.
Malaysiakini

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena