PAS macam ada masalah dalaman, kata Rafizi
Kehadiran pemimpin PAS dalam majlis tandatangan Deklarasi Rakyat petanda baik memandangkan Najib harapkan parti itu untuk kekal berkuasa.
KUALA LUMPUR: Kehadiran beberapa pemimpin PAS dalam majlis tandatangan Deklarasi Rakyat menandakan parti itu kini berhadapan masalah dalaman, kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Beliau menyifatkannya sebagai petanda yang baik untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, memandangkan Datuk Seri Najib Razak kini mengharapkan PAS untuk terus berkuasa.
“Keadaan nampak menggalakkan sebab saya melihat perpecahan dalam PAS. (Pengarah Pilihan Raya PAS) Datuk Mustafa Ali ada di sini, malah saya diberitahu (Setiausaha Agung) Datuk Takiyudin Hassan pun hadir.
“Ini tanda jelas PAS kini berhadapan masalah dan Najib bergantung kepada PAS dalam PRU akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata, beliau tidak akan menyertai usaha mendesak Perdana Menteri berundur.
Pada majlis itu, antara pemimpin PAS dilihat hadir ialah Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri.
Dalam pada itu, Anggota Parlimen Pandan itu menyuarakan keyakinan usaha itu berjaya walaupun tanpa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Apa yang kita lakukan sekarang adalah meletakkan sentuhan terakhir terhadap apa yang telah beliau lakukan sejak 1998,” katanya.
FMT.
FMT.
0 comments:
Post a Comment