Wang boleh mengubah musuh jadi kawan, kata Zaid
Wakil rakyat PAS Mahfuz Omar berkata pimpinan parti bertanggungjawab membersihkan nama dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim tidak terkejut dengan akuan bersumpah Ahli Parlimen Rafizi Ramli yang mendakwa bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa menerima dana berkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagaimana sebuah parti, yang menjadi musuh ketat Umno sejak 5 dekad lalu, tiba-tiba menjadi kawan?
“Wang boleh mengubah, dan PAS tidak pernah mempunyai wang sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Rafizi pada sidang media tadi berkata PAS kini mempunyai tanggungjawab sebagai parti Islam untuk memastikan tidak ada sesen wang meragukan digunakan untuk membiaya aktiviti mereka.
Bagaimanapun bagi Zaid, PAS bukan parti keagamaan atau berdasarkan moral.
“PAS cuma ‘parti serban’, dimana pemimpinnya menggunakan serban untuk menutup kepala.
“Jadi saya tak terkejut mereka menerima wang daripada (Perdana Menteri) Najib (Razak),” katanya.
Rafizi dalam akuan bersumpah hari ini mendakwa Nasharudin menerima wang yang didakwa daripada anak syarikat 1MDB.
Rafizi mendakwa dana tersebut pada awalnya disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kemudian, sejumlah wang disalurkan kepada Nasharudin.
Menurut Rafizi, maklumat ini diberitahu kepadanya pada 28 Januari tahun ini, oleh seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah mengetuai siasatan ke atas 1MDB dan dakwaan pembabitan Najib dalam skandal itu.
Menurut Rafizi, perkara sama diketahui Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali.
Zaid mengiyakan ketika ditanya sama ada pimpinan PAS perlu membuat laporan terhadap Rafizi sekiranya dakwaan tersebut palsu.
“Tetapi mereka tidak akan buat. Walaupun mereka membisukan diri, mereka sudah ‘habis’.”
Sementara itu, seorang ahli Parlimen PAS Mahfuz Omar berkata walaupun beliau belum pernah mendengar partinya menerima wang daripada 1MDB, ini bukan kali pertama parti Islam dituduh rasuah.
Jika dakwaan Rafizi salah, pimpinan PAS bertanggungjawab membersihkan nama parti dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap naib presiden PKR itu, katanya.
Lebih-lebih lagi apabila Rafizi membahayakan diri dengan membuat akuan bersumpah, kata bekas ketua penerangan PAS.
“Tak mustahil seseorang yang mahukan gaya hidup mewah mengambil tawaran duit, walaupun dia tahu itu tindakan rasuah.
“Tetapi pimpinan parti tidak boleh berdiam diri dan mereka perlu jawab dakwaan Rafizi. Lagipun Rafizi mendedahkan hakikat pimpinan PAS tidak banyak bercakap mengenai skandal 1MDB.”
Nasharudin kini mengetuai idea cetusan Najib, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
FMT.
‘Parti Melayu’ dan Pakatan Harapan
Ada yang bertanyakan saya berhubung pandangan perlunya sebuah ‘Parti Melayu’ memimpin Pakatan Harapan untuk meyakinkan pengundi Melayu supaya menyokong PH. Saya jawab itu merupakan naratif asing bagi PH. Akan tetapi naratif sebegitu amat sesuai untuk gabungan seperti BN. Ini kerana PH tidak sama seperti BN maka apa yang sesuai untuk BN tidak semestinya sesuai untuk PH.GABUNGAN BN VS GABUNGAN PH
Pada dasarnya BN merupakan gabungan parti yang berasaskan kaum. Ianya terdiri dari parti Melayu (UMNO), Cina (MCA), India (MIC) dan beberapa lagi parti yang berasaskan kaum serta kenegerian. Walaupun ada yang dikatakan parti berbilang kaum, parti sebegini tidak menonjol dan tidak mencorakkan imej BN.
Apabila sifat BN adalah begitu, maka parti yang mewakili Melayu dalam gabungan tersebut, khususnya UMNO, perlu dinyatakan sebagai parti yang diberi keutamaan. Ini adalah kerana parti-parti lain mewakili kaum masing-masing dan atas kedudukan Melayu sebagai rakyat majoriti, maka UMNO perlu diutamakan. Dalam kata-kata yang lain, parti Melayu yang mewakili Melayu diutamakan ke atas parti kaum lain atas sebab Melayu adalah kaum majoriti.
Itu naratif BN dan sesuai untk BN. Ianya bukan naratif PH dan jika cuba dikenakan ke atas PH maka ianya janggal dan tidak selari dengan asas gabungan PH itu sendiri. Ini adalah kerana dalam PH ada lebih dari satu parti di mana majoriti ahlinya adalah terdiri dari orang Melayu. Walaupun mereka bukan ditubuh atas asas kaum, dan sebaliknya atas prinsip-prinsip tertentu, tidak boleh dinafikan bahawa mereka juga adalah parti majoriti Melayu yang juga mengambil berat kepentingan kaum Melayu bersama kaum-kaum yang lain.
Dalam BN, mungkin hanya UMNO boleh mendakwa memperjuang dan mempertahankan kedudukan orang Melayu sepertimana terjamin dalam perlembagaan. Tidak mungkin MCA dan MIC boleh mendakwa begitu. Kerana tiada Melayu dalam MCA ataupun MIC. Begitu juga parti-parti lain dalam BN. Ini adalah kerana hanya UMNO ‘parti Melayu’ dalam BN.
KEDUDUKAN MELAYU DALAM PH
Dalam PH, adakah hanya satu parti yang merupakan parti orang Melayu? Selain parti PPBM, AMANAH juga mempunyai ahli yang majoriti besarnya adalah orang Melayu. Sepertimana juga Keadilan. Malahan DAP juga turut mempunyai ahli Melayu. Pengasingan kaum mengikut parti tidak berlaku dalam PH. Oleh itu adalah amat janggal untuk diketengahkan naratif kaum serta dikatakan perlu parti Melayu memimpin PH. Ini adalah kerana lebih dari satu parti mempunyai ahli majoriti Melayu dan semua parti mempunyai ahli Melayu.
Jika ingin dilihat dari sudut kaum, sepatutnya orang Melayu lebih selesa melihat kepada PH berbanding BN. Ini adalah kerana 3 dari 4 parti anggota PH adalah parti majoriti Melayu dan parti keempat juga mempunyai keahlian Melayu. Dalam keadaan sebegitu, persoalan dominasi kaum lain ke atas kaum Melayu hampir mustahil berlaku. Dan sememangnya PH tidak memperjuangkan dominasi mana-mana kaum ke atas kaum-kaum yang lain.
Oleh itu, ianya satu mitos bahawa Melayu terpinggir dalam PH. Kepimpinan Melayu terserlah dalam PH selama ini tetapi ditutup dan diselindung dari mata rakyat Melayu melalui fitnah jahat BN. Dengan adanya PPBM bersama PH, hakikat ini perlu didedahkan bersama dan mitos tersebut diketepikan, bukan dikukuhkan.
NARATIF PH
Naratif PH bukan mengikut naratif kaum. Sebaliknya ianya mengikut naratif prinsip dan keadilan. PH didominasi prinsip bukan kaum. Prinsip urus tadbir yang baik dan beramanah yang menguntungkan semua kaum. Prinsip keadilan di mana yang miskin diutamakan berbanding yang kaya, yang lemah berbanding yang kuat. Atas naratif sebegini semua kaum merasa selesa kerana sikap berprinsip dan adil merupakan nilai-nilai universal atau sejagat yang turut ditekankan oleh Islam.
Sedangkan naratif BN adalah dominasi kaum Melayu tanpa mementingkan prinsip dan keadilan. Satu prinsip sahaja yang diperjuangkan BN di bawah UMNO, iaitu pemimpin semestinya Melayu. Sedangkan pemimpin Melayu membuat sesuka hatinya. Asalkan yang di atas itu Melayu maka dia terus disokong, walaupun yang turut dideranya dan ditindas di bawah adalah kebanyakannya Melayu.
Naratif BN tidak sesuai dengan PH dan pada hakikatnya PH mahu bawa rakyat Malaysia keluar dari naratif BN yang sebegini. Kerana naratif BN telah terbukti gagal. Ianya tidak menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya walaupun terhadap kaum Melayu. PH inginkan rakyat mengikuti naratif yang baharu yang berbeza ia itu naratif prinsip urus tadbir yang baik dan keadilan.
NARATIF PH MULA BERPENGARUH
Pada hakikatnya naratif PH telahpun mula bertapak di minda rakyat. Itu sebabnya PH atau PR telah mendapat 52% undi popular pada PRU ke 13 pada 2013. Naratif ini mula berpengaruh dan berkembang di kalangan rakyat. Yang penting adalah bukan sekadar Melayu memimpin tetapi Melayu yang berprinsip dan adil.
DAP tidak menentang kepimpinan Melayu. DAP menentang kepimpinan yang bersifat korup dan zalim. Samada pemimpin itu Melayu, Cina atau India, pemimpin itu tetap akan ditentang kerana dia korup dan zalim. Begitu juga sikap semua parti dalam PH. Kerana naratif PH adalah berhubung prinsip dan keadilan. Kami semua inginkan kepimpinan yang adil dan berprinsip.
Untuk Malaysia, oleh kerana Melayu adalah lebih dari 70% dari rakyatnya maka semestinya pemimpinnya berbangsa Melayu. Adakah apabila disebut syaratnya semestinya “berprinsip dan adil” maka Melayu diketepikan? Adakah benar tiada Melayu yang berprinsip dan adil? Adakah benar Melayu semestinya korup dan zalim? Mungkin itu pegangan UMNO dan BN. Ianya bukan pegangan PH. Oleh itu naratif PH tidak meminggirkan Melayu.
KESIMPULAN
Dakwaan Melayu terpinggir dalam PH adalah satu mitos. Ini dibuktikan melalui tiga dari empat parti yang menganggotai PH sekarang adalah parti majoriti Melayu. Pada masa yang sama, kepimpinan Melayu jelas terserlah dalam PH. Hanya ianya tidak dihebohkan kerana ianya bukan naratif PH. Naratif PH adalah persoalan prinsip dan keadilan. Inilah naratif yang akan memajukan Melayu dan semua bangsa di Malaysia.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
0 comments:
Post a Comment