DAP rakam takziah kepada keluarga Allahyarham adik Mohamad Thaqif
Pada
oleh RoketKini
oleh RoketKini
KUALA LUMPUR, 26 APR: DAP hari ini merakamkan takziah kepada ahli keluarga allahyarham adik Mohamad Thaqif Amin bin Mohd Gaddafi, 11, di atas pemergiannya petang tadi.
Mohamad Thaqif meninggal dunia kira-kira jam dua petang hari ini akibat jangkitan kuman setelah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sejak seminggu lalu ekoran dakwaan disebat pembantu warden asrama sekolahnya.
Menzahirkan rasa sedih dan kesal, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata nasib malang yang menimpa adik Mohamad Thaqif boleh berlaku akibat kurangnya ketelusan dalam urus tadbir sekolah-sekolah persendirian.
“Kejadian ini perlulah disiasat sepenuhnya dan mereka yang didapati bersalah haruslah diadili sewajarnya,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.
Menurut Nie Ching, di bawah Seksyen 29 Akta Kanak-kanak 2001, pengendali pusat jagaan mempunyai tugas untuk melaporkan sebarang penderaan sama ada secara emosi mahu pun fizikal ke atas kanak-kanak.
“Pusat jagaan yang gagal melakukan perkara itu telah melakukan kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji berkata kejadian yang menimpa adik Thaqif memberi pengajaran kepada semua pihak.
“Mendidik dan mengajar adalah lebih baik daripada menghukum.
“Kes ini memberi pengajaran pada semua, tidak kisahlah sekolah tahfiz atau sekolah biasa atau tidak, yang pentingnya tahap kesabaran serta disiplin tenaga pengajar mestilah tinggi.
“Kita hanya diamanahkan untuk mendidik mereka, tak perlu maki hamun, pukul dengan keterlaluan, didiklah dengan penuh kasih sayang,” katanya yang juga ADUN Mentakab dan Ketua Pembangkang DUN Pahang. –Roketkini.com
Takziah kepada keluarga Thaqif, Pemuda Amanah tuntut siasatan menyeluruh
| BORHAN AHMAD
Pemuda Amanah mengucapkan takziah kepada keluarga adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia petang ini dan menuntut agar siasatan menyeluruh dijalankan ke atas punca kematiannya.
Faiz Fadzil, timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional dalam satu kenyataannya selepas menziarahi adik Thaqif ketika menghembuskan nafas terakhir di hospital kesal dengan pemergian adik Thaqif.
"Saya berpeluang menziarahi almarhum adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi di saat beliau menghembuskan nafas yang terakhir sebentar tadi.
"Pemuda Amanah merakamkan takziah kepada keluarga adik Thaqif dan kami mendoakan roh adik Thaqif ditempatkan di kalangan solihin," katanya yang ke hospital bersama Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.
Ketika bercakap dengan bapanya, Mohd Gaddafi yang merupakan bekas pemain bola sepak Selangor, Faiz yang merupakan seorang peguam menawarkan khidmat guaman untuk membantu keluarga itu.
Pemuda Amanah, katanya, amat menyanjungi semangat adik Thaqif yang mahu mendalami pengajian al-Quran walaupun dalam usia yang masih muda.
"Sungguhpun begitu, Pemuda Amanah berasa amat kesal di atas pemergian adik Thaqif yang dilaporkan mengalami kecederaan serius akibat penderaan fizikal oleh kakitangan sekolah tahfiz berkenaan.
"Kami mendesak siasatan menyeluruh dan adil dijalankan agar pihak dan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Katanya, Pemuda Amanah melihat kes-kes penderaan kanak-kanak terutama pelajar sekolah semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal dan seharusnya pihak berkuasa memberikan perhatian serius kepada perkara ini agar insiden yang tidak diingini ini tidak berulang.
"Kita mahu sistem pendidikan diperkasakan dan kasih sayang dan kesedaran menjadi elemen penting mendidik pelajar-pelajar terutama meningkatkan mutu pendidikan dan disiplin.
"Hukuman bukan langkah dan pilihan yang tepat dan bijak. Kanak-kanak dan pelajar-pelajar seharusnya dijauhkan daripada sebarang bentuk hukuman fizikal," katanya.
Thaqif meninggal dunia jam 2.05 petang tadi akibat komplikasi jantung selepas kecederaan teruk pada kaki dan tangan.
Beliau yang didaftar masuk ke sebuah pusat tahfiz swasta di Kota Tinggi pada 27 Januari lalu dilaporkan dilaporkan mengalami kesakitan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas akibat dipukul pembantu warden.
Kedua-dua kakinya yang dijangkiti kuman serta darah beku kemudiannya terpaksa dipotong dan keadaan Thaqif semakin membimbangkan selepas doktor mengesan darah beku di lengan kirinya, semalam.
Susulan itu, seorang pembantu warden direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
0 comments:
Post a Comment