Kerajaan P. Pinang tandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan 10 langkah tambahan
GEORGE TOWN, 4 OGOS: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menzahirkan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha menentang rasuah di negeri itu menerusi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan tambahan 10 langkah integriti.
Majlis ikrar itu diketuai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama seluruh Exco Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan negeri.
“Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membanteras rasuah dengan ikhlas dan sama sekali bukan mempolitikkannya,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata, Majlis Ikrar Bebas Rasuah dengan tambahan 10 Langkah Integriti Kerajaan Negeri Pulau Pinang (IBR Plus 10) hari ini adalah yang pertama yang diadakan di Malaysia.
“Kerajaan Negeri amat menitikberatkan isu integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat Negeri Pulau Pinang.
“Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah menerima pakai 10 langkah integriti yang mencerminkan komitmen untuk menjadi negeri bebas rasuah,” kata beliau.
10 langkah integriti untuk menjadi negeri bebas rasuah ialah:
i. Amalan Pentadbiran yang berlandaskan Prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus)
ii. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri, barisan EXCO dan ADUN
iii. Melaksanakan tender terbuka yang kompetitif
iv. Tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak Kerajaan atau berurusniaga dengan Kerajaan Negeri
v. Melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada diluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri
vi. Melindungi pemberi maklumat atau peniup wisel yang tulen
vii. Mengambil tindakan ke atas pemimpin yang hidup mewah melebihi pendapatan rasminya
viii. Telus dalam sumbangan politik
ix. Tidak menerima ‘donation’ peribadi
x. Mengambil tindakan ke atas pegawai yang melanggari kesemua di atas
Hasil daripada 10 langkah tersebut kata beliau telah dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun yang memuji pengurusan kewangan Negeri Pulau Pinang yang baik dengan lebihan Belanjawan setiap tahun.
Ini termasuk penurunan hutang negeri sebanyak 90 peratus dan tambahan rizab aset negeri sebanyak RM1 bilion sejak 2008 dan turut dipuji oleh Tansparency International kerana melaksanakan tender terbuka.
Setiausaha Agung DAP itu turut menzahirkan rasa kurang senang kerajaan negeri terhadap serangan media tertentu kononnya Kerajaan Negeri ingkar menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.
Sedangkan, mereka tidak melaporkan tentang negeri lain yang masih belum menandatangani ikrar tersebut
“Kerajaan Negeri berharap pihak media massa tertentu tidak terus berniat jahat dengan membuat laporan fitnah dan palsu dengan menyasarkan Negeri Pulau Pinang sahaja kononnya Kerajaan Negeri ingkar menandatangani IBR apabila ada negeri lain yang masih belum menandatangani IBR tetapi tidak dilemparkan dengan laporan yang liar dan melulu seperti mana yang dilakukan terhadap Pulau Pinang.
“Kita harus mengikis persepsi negatif daripada sesetengah rakyat bahawa Kerajaan Negeri tidak akan membantu rakyat dan sebaliknya harus bersyukur sekiranya Kerajaan tidak merompak wang rakyat,” katanya lagi. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment