Salah pembangkang usul tolak Najib tidak sempat dibentang
Wan Azizah mahu failkan usul undi tidak percaya terhadap Najib Tun Razak pada minggu ini tetapi ia hanya boleh diterima pada sidang Parlimen pada Mac 2016.
PETALING JAYA: Hasrat pembangkang untuk mengemukakan semula usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada sesi Parlimen kali ini mungkin tidak kesampaian.
Setelah usul yang dikemukakan Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dibidas DAP kerana dibuat atas usul persendirian bukan atas nama Ketua Pembangkang, usul baharu pula mungkin tidak mematuhi peraturan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu mengemukakan semula usul mewakili Pakatan Harapan memerlukan 14 hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula semalam, lapor portal bnbbc.com.
Ini bermakna, usul berkenaan hanya boleh dikemukakan pada sidang akan datang yang dijangka pada Mac 2016.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sendiri membayangkan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang tidak akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.
“Jadi jika usul itu difailkan sekarang, ia mungkin hanya diterima masuk pada sesi mesyuarat akan datang, jadi jangan salahkan saya kalau usul itu tidak diterima pada mesyuarat kali ini,” kata Pandikar Amin di Dewan Rakyat.
Beliau turut menuntut kefahaman daripada pihak pembangkang agar tidak mempolitikkan keputusan itu kelak.
“Saya ingatkan Permatang Pauh, kalau nak buat usul undi tak percaya, kalau menepati peraturan Mesyuarat 26 dan 27, kalaupun diterima ia akan diberi masuk sesi mesyuarat akan datang, bukan sesi ini,” katanya.
Semalam, Wan Azizah berkata beliau akan membentangkan usul tidak percaya terhadap Najib di Parlimen selewat-lewatnya minggu ini.
FMT.
0 comments:
Post a Comment