Undilah BN jika anda mahu pikul beban seterusnya.
PRU 14 selepas 18 Mac, BN berpotensi kalah?
Dua perkara menjadi perbualan hangat menjelang pembukaan sesi Dewan Rakyat Mac 2018, iaitu bilakah tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 14 selepas sempadan baharu pilihan raya diluluskan, dan adakah BN akan kalah buat pertama kalinya sejak merdeka.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, beliau menjangkakan Parlimen akan dibubar selepas PM Najib Razak pulang dari Persidangan Khas ASEAN – Australia pada 17-18 Mac. Menurutnya, tarikh itu amat sesuai untuk PRU dilaksanakan sebelum bulan Ramadan pada pertengahan Mei.
“Oleh yang demikian, pada masa sekarang terdapat banyak kajian yang meramalkan sama ada BN ataupun PH (Pakatan Harapan) yang akan menang PRU14. Tetapi yang penting sekali ialah di peringkat akar-umbi. Pihak PH yakin dari sumber yang boleh dipercayai bahawa BN akan kalah atau menang tipis sahaja.
“Ini adalah disebabkan oleh isu kos sara hidup dan pelbagai kelemahan BN.
“Di Pahang, masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asal semua merungut pasal kos sara hidup. Secara terus-terang saya kata walaupun ramai orang Melayu tidak suka pada PH kerana ada DAP dalam koalisi ini, namun lebih ramai lagi orang Melayu yang merasa marah berkenaan kos sara hidup dan mereka memberitahu saya mereka akan mengundi Pakatan kali ini,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Pemimpin DAP Pahang itu bagaimanapun tidak bersetuju kenaikan nilai ringgit dan bursa saham akan mendorong rakyat kembali memilih BN sebagaimana diuar-uarkan dalam media arus perdana.
“Kadar Polisi Semalaman (Overnight Policy Rate) dinaikkan Bank Negara kepada 3.25 mata dan Bursa Saham melebihi 1850 mata tetapi bukan semua orang yang ‘main’ saham.
“Di kalangan rakyat biasa, ramai orang sedang hidup susah dan ada juga yang tidak mampu membayar bil-bil bulanan mereka kerana mereka sedang bergelut dengan perbelanjaan untuk anak-anak sekolah, pinjaman bank, perniagaan yang merosot dan sebagainya,” kata Manogaran.
Beliau berpendapat detik paling baik untuk PM Najib memanggil PRU telah pun berlalu. Kini, katanya, Najib sudah terperangkap dalam pasir jerlus dan oleh sebab itu beliau kurang yakin untuk membubarkan parlimen.
“Sekarang sudah terlambat tetapi PRU14 pasti akan diadakan sebelum Anwar Ibrahim keluar dari penjara (Jun 2018). Dengan Tun Dr Mahathir berkempen untuk PH, PM Najib pun sudah rasa tergugat, apatah lagi kalau Anwar turut serta berkempen.
“Walaupun media arus perdana menguar-uarkan bahawa BN mudah menang, tetapi hakikatnya BN berdepan dengan kekalahan kerana gagal menurunkan kos sara hidup,” kata Manogaran lagi.
Posted by AMIR Wartawan Rasmi LR
0 comments:
Post a Comment