Bila parti Islam berjinak dengan parti sekular
PAS bukan sekadar berhasrat untuk menjadi ‘king maker’ dalam pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 tetapi juga membayangkan untuk bersama berada di atas takhta kerajaan. Ada dua pilihan. Sama ada dengan BN atau PH. Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki dalam berkata jika keadaan ‘hung parliament’ berlaku, Pas hanya ada satu pilihan saja, bersama BN.
Sebelum ini hasrat parti Islam itu untuk bekerjasama dengan Umno hanya dalam bentuk samar-samar dan momokan dari musuh politik Pas khususnya AMANAH. Dikhabarkan bahawa wujud dua aliran dalam Pas pada masa sekarang. Pertama, terus kekal melawan Umno secara sedi ada dan yang kedua lebih terbuka untuk mewujudkan ‘persefahaman’ dengan Umno.
Bahkan dakwaan itu sudah wujud sejak sebahagian besar pimpinan AMANAH masih menjadi pemimpin utama Pas. AMANAH sendiri belum wujud. Paling ketara pendedahan bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Ahmad Awang yang menyebut wujud usaha untuk bekerjasama dengan Umno semasa penubuhan kerajaan negeri Perak selepas PRU 2008.
Berkongsi lambang
Usaha tersebut terhenti apabila bekas Pesuruhjaya Pas itu bertegas untuk meneruskan kerjasama dengan rakan pembangkang lain iaitu Keadian dan DAP. Pada masa itu belum wujud Pakatan Rakyat. Kerjasama antara parti politik pembangkang pada masa itu lebih sebagai ‘pax election’ sahaja.
Idea untuk Pas bekerjasama membentuk kerajaan dengan Umno bukanlah suatu idea baru. Datuk Asri Muda dan pimpinan Pas pada masa itu sudah meneroka pendekatan tersebut pada 1971. Datuk Asri Muda berjaya meyakinkan muktamar tentang maqasid syariahnya untuk membentuk sebuah kerajaan campuran. Setelah itu ia menjadi gabungan dengan penubuhan BN pada 1973 dan berkongsi lambang kati (dacing).
Datuk Asri Muda disingkirkan dari kepimpinan parti oleh sekumpulan yang membawa idea ‘kepimpinan ulama’ semasa muktamar di DBP. Kumpulan ini terinspirasi dengan gerakan kebangkitan Islam, Revolusi Iran dan pengaruh Ikhwanul Muslimin. Antara slogan yang dilaungkan adalah ‘tidak barat, tidak timur’, ‘tegakkan Islam di atas runtuhan jahiliah’, ‘daulah Islamiah’ dan sebagainya.
Pemikiran Hasan al Banna, Syed Qutb, Abdul Kadir Audah, Maududi antara tokoh gerakan Islam telah menjadi kerangka pemikiran Pas selepas era Datuk Asri Muda.
Regim zalim sekular
Pertembungan gerakan politik Islam khususnya Pas di Malaysia mengalami tekanan hebat dengan penguasa. Dr Mahathir yang pada masa itu sebagai Perdana Menteri telah mengambil langkah berani apabila menghulurkan tangan kepada tokoh gerakan Islam yang terkenal, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim pernah dibayangkan oleh Datuk Asri sendiri bahawa tokoh tersebut adalah pemimpin masa hadapan Pas. Tindakan Anwar Ibrahim bekerjasama dengan regim zalim sekular bukanlah tiada asas fekahnya. Anwar Ibrahim mendapat pengaruh daripada pemikiran dan pendekatan tokoh gerakan Islam Sudan, Dr Hasan Turabi menyertai kerajaan kudeta pimpinan General Omar Hasan Bashir yang autokratik.
Seperti juga dengan pengalaman Datuk Asri berada di dalam kerajaan, Anwar Ibrahim mempunyai peluang luas untuk melaksanakan dasar yang mereka perjuangkan sebelum ini. Menjadi sebahagian daripada parti yang menguasai kerajaan, para pimpinan mereka juga dipilih atau dilantik menjadi menteri, timbalan menteri dan jawatan politik yang diperuntukkan.
Setelah Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, ramai bekas pimpinan Abim menduduki jawatan strategik yang membolehkan mereka melaksanakan agenda perjuangan mereka. Keadaan yang sama juga dilakukan oleh Datuk Asri. Ramai pimpinan Pas memegang portfolio penting dalam kerajaan.
Kesilapan Morsi
Selepas Arab Spring, pendekatan politik gerakan Islam mengalami perubahan besar. Ia tidak datang secara mendadak. Kegagalan pemerintahan Najmuddin (Necmettin) Erbakan, seorang tokoh gerakan Islam di Turki adalah suatu eksperimen politik yang dikongsi oleh gerakan atau politik Islam seluruh dunia. Namun yang paling terkesan ialah kudeta oleh tentera Mesir terhadap kerajaan pilihan rakyat.
Antara ‘kesilapan’ yang dilakukan oleh kerajaan Morsi adalah dasar luarnya tentang Israel dan pelaksanaan syariah. Sedangkan masalah utama rakyat Mesir adalah ekonomi yang parah, kadar pengangguran yang tinggi dan sistem birokrasi lemah. Dalam masa yang sama Morsi belum cukup menguasai jentera kerajaan dan tentera. Akhirnya parti Morsi hilang kuasa, beribu-ribu penyokongnya dan pimpinan Ikhwan ditangkap dan dihukum.
Pengalaman ini lebih berharga apabila tekanan yang dihadapi oleh Rashid Ghannouchi di Tunisia membentuk kerajaan apabila parti pimpinan beliau sentiasa menerima tekanan dalam dan luar negara sehingga membantutkan usaha membangunkan negara. Rashid Ghannouchi melihat keutamaan Tunisia adalah memulihkan ekonomi yang terjejas kerana kelemahan pentadbiran regim lepas.
Rashid Ghannouchi ialah antara 100 orang yang paling berpengaruh di dunia mempunyai pandangan yang lebih terbuka. Merengkuk bertahun-tahun dan berkali-kali dalam penjara, menjadi pelarian dan tinggal dalam buangan selama lebih 20 tahun memberikan beliau lebih memahami isu Islam secara global dan praktikal.
Beliau menyarankan agar gerakan dan parti Islam mengambil pendekatan Muslim Democrat daripada pendekatan Political Islam. Beliau telah membuang label ‘Islamism’ daripada partinya An Nahda kerana Islam radikal telah menyalahgunakan terminologi itu hingga menjejaskan nama Islam.
Kerjasama Umno-Pas
Dalam konteks politik Malaysia, para pemikir Pas berpandangan bahawa BN adalah lebih baik dan selesa untuk Pas bekerjasama demi kepentingan bersama. Meskipun bebanan BN dengan isu seperti 1MDB, Felda dan sebagainya, Pas tidak tertekan dengan isu seperti rasuah, salah guna pengurusan dan sebagainya. Umno dilihat sebagai sebuah parti Melayu dan Islam. Doktrin politik ini sudah sebati dalam pemikiran masyarakat Melayu. Situasi ini bersesuaian dengan sentimen perkauman yang menebal dalam masyarakat Melayu tentang ‘kebangkitan kuasa Kristian dan Cina’.
BN melalui Umno telah mewujudkan percubaan memujuk para ahli dan penyokong mereka menerima situasi keperluan untuk mereka bersama. Ia dimulai dengan beberapa program yang melibatkan cerdik pandai Islam, program alim ulama, perundangan Islam, Palestin, Rohinya dan sebagainya. Program-program ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Umno dan Pas untuk kepentingan politik. Bagi para ahli dan penyokong Pas tiada masalah untuk mereka bersama atas kepentingan Islam dan Melayu.
Zaman pelaksanaan Islam secara ‘syumuliah’ (menyeluruh) dan berasas ‘hukumiah’ beransur-ansur hilang dalam gerakan Islam. Pas mengalami kekalahan teruk pada PRU 1986 dengan hanya menang satu kerusi Parlimen. Pendekatan yang lebih praktikal adalah bekerjasama dengan kelompok lain dalam perlumbaan mendapat kuasa.
Bermula dalam PRU 1990, Pas mengadakan kerjasama dengan parti serpihan Umno pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, Semangat 46 melalui Angkatan Perpaduan Ummah. Pada PRU 1999 dengan Barisan Alternatif, PRU 2004 dan PRU 2008 bekerjasama dengan Keadilan dan PRU 2013 bekerjasama dengan Pakatan Rakyat.
Pada PRU kali ini, Pas mewujudkan kerjasama melalui Gagasan Sejahtera sebagai respon kepada penubuhan PH. Namun kerjasama itu tidak memberi sebarang impak besar pada Pas jika dibandinglan kerjasama ‘demi kepentingan Islam’ dengan Umno.
Kerjasama ‘demi kepentingan Islam’ dengan Umno adalah lebih besar impak politiknya. Pas membina ‘demand’ atas nama parti Islam terbesar di Malaysia. Biarpun terpaksa menjualnya pada sang raja rasuah. Itulah yang saya faham tentang ‘politik matang dan sejahtera’ yang dilaung-laungkan Pas.
____________________
Dr Muhaimin Sulam ialah Naib Pengerusi AMANAH Negeri Perak.
____________________
Dr Muhaimin Sulam ialah Naib Pengerusi AMANAH Negeri Perak.
Malaysia Dateline
0 comments:
Post a Comment