Masih adakah ruang penyatuan selepas multaqa, soal AJK PAS Pusat
OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANAPublished: 23 February 2015 11:30 AM
Multaqa Ulama Semalaysia II anjuran Dewan Ulama PAS yang berlangsung seharian pada Sabtu, 21 Februari mengundang persoalan sama ada masih ada lagi harapan untuk menyatukan puak yang berlainan pendapat dalam parti Islam itu atau tidak. Jika selama ini PAS boleh bermegah kerana barisan kepimpinan mereka dikuatkan oleh kedua-dua golongan ulama dan profesional, mendengar perbahasan dan kertas kerja dibentangkan perwakilan semasa multaqa itu, timbul keraguan mungkin keadaan kini berubah.
"Saya ingin melahirkan rasa sedih bercampur geram yang amat sangat dengan apa yang berlaku dalam multaqa kali ini. Apakah ada lagi ruang untuk penyatuan hati-hati ini?" soal ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad yang juga pengarah Pusat Penyelidikan PAS. Inilah tanggapan awal salah seorang pemimpin PAS yang menjadi sasaran golongan ulama yang berhimpun di Stadium Tertutup MPSJ di Serdang, Selangor pada Sabtu.
Multaqa itu diadakan menjelang Muktamar Agung Tahunan PAS 2015 pada Jun yang bakal menyaksikan pertandingan dalam pemilihan pucuk pimpinan. Ini kali kedua multaqa sebegini diadakan bermula dengan yang pertama pada 2013 di Alor Star sebelum Muktamar PAS tahun itu. Di akhir multaqa yang dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan, ia menyenaraikan 16 resolusi yang dibuat selaras dengan tema multaqa iaitu 'Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulama'.
Semasa perhimpunan itu, peserta multaqa mensasarkan serangan mereka kepada golongan yang dianggap sebagai pengkhianat kerana mengkritik presiden PAS dan melanggar arahan Majlis Syura Ulama. Mereka yang bernaung dan mendekati pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang ditubuhkan ahli PAS dan yang menjadi pelobi utama agar PAS terus kekal dengan Pakatan Rakyat (PR) juga menjadi sasaran utama.
Bahkan, Pemangku Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yaakob seperti mengisytiharkan perang ke atas PasMa dan memberikan amaran sebarang pelanggaran terhadap arahan Majlis Syura Ulama dan keputusan presiden merupakan satu kesalahan mandatori dalam undang-undang PAS. "Saya tidak takut dengan ancaman mereka, tetapi kalau dulu saya hormati ulama, sekarang saya sudah hilang rasa hormat itu. Dan saya berazam mengubah (kesilapan) itu," kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insider.
Dalam suasana beginilah, kata Dzulkefly, beliau teringat dengan ayat Al-Quran yang selalu dibaca bekas presiden PAS allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor iaitu dari surah Al-Hashr yang bermaksud: "Mereka nampak bersatu tetapi hati mereka sebenarnya berpecah". "Ayat itu dulu digunakan Fadzil untuk Umno, kerana perpecahan dalam parti itu, tetapi sekarang ia pusing balik kepada PAS," katanya. Beliau mempersoalkan kenapa perkara ini berlaku dalam era kepimpinan PAS di bawah Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekarang. "Ia sangat mengganggu gugat jiwa saya," katanya. Pandangan Dzulkefly turut disokong seorang pengkaji politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof.
"Dulu, meraikan perbezaan pendapat, sekarang alergi kepada pendapat berbeza. Menentang pandangan ulama sifat syaitan, kata seorang pemimpin PAS," tulis Agus dalam Facebooknya. Agus juga jelas tidak bersetuju dengan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang PAS bukan menyertai pilihan raya untuk ke Putrajaya, tetapi keredaan Allah yang dicari. "Dulu menyertai pilihan raya untuk ke Putrajaya, bagi membina Malaysia baru. Sekarang bukan kemenangan pilihan raya yang dicari, tetapi keredaan Allah," tulisnya. Beliau seterusnya menulis, PAS dulu menentang sikap mengagungkan pemimpin, "sekarang menuntut ketaatan (wala') ahli kepada pemimpin".
Pensyarah sains politik itu juga berkata, era kepimpinan PAS dulu sangat bangga dengan gabungan antara ulama dan profesional dalam parti itu tetapi sekarang tidak lagi. "Dulu bangga dengan gabungan ulama dengan profesional, sekarang saling menghentam sesama sendiri," tulisnya. Seorang perwakilan multaqa semalam menyarankan pemimpin kanan PAS melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak lagi menyokong dan terus mengkritik Hadi. Ia senada dengan saranan Hadi dalam Muktamar PAS tahun lalu yang meminta mereka yang mahu menjadi 'imam' mencari tanah lain dan buat masjid sendiri dan jadi 'imam'.
Wakil Dewan Ulama Perak Sidek Noor menyifatkan timbalan presiden, naib presiden dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang ada sekarang tidak layak memegang jawatan tersebut kerana tindakan mereka yang selalu membelakangi Hadi. "Mereka tidak layak memegang jawatan timbalan, naib dan AJK PAS Pusat sekiranya tidak membantu presiden, lebih baik lepaskan jawatan," katanya dalam perbahasannya.
Pengarah Operasi Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki ketika membentangkan kertas kerja dalam multaqa itu pula berkata, saranan untuk kembali kepada kepimpinan ulama dibuat kerana khuatir pemimpin yang tidak dilantik daripada kalangan itu hanya akan menyesatkan ahlinya. "Apabila gerakan Islam tidak dipimpin ulama, akan tiba masanya mereka yang jadi pemimpin itu boleh sesat dan menyesatkan orang lain," katanya membentangkan kertas kerja mengenai gerakan Islam pasca kebangkitan Arab. – 23 Februari, 2015.
Posted by mountdweller
0 comments:
Post a Comment