Friday, 27 February 2015

[Video] YB Khalid Samad jawab tohmahan golongan ulamak diwakili Mokhtar Senik...Adakah Kau Lupa 'MS'?

Jumaat, 27 Februari 2015
Jawapan YB Khalid Samad di bawah ini terhadap tohmahan golongan ulamak yang diwakili oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Mokhtar Senik di bawah ini sangat menarik. Bacalah.... 

Adakah Kau Lupa? (Bahagian I & II)

Beberapa hari yang lepas saya telah diforwardkan sebuah tulisan melalui WhatsApp yang kononnya datang dari Mokhtar Senik iaitu Ketua Dewan Ulama PAS Pahang. Dalam tulisan ini nama saya telah disebut beberapa kali sebagai salah seorang yang ingin memalukan TGHH dengan tujuan menjatuhkannya. Saya harap tulisan itu bukan datangnya dari Mokhtar Senik dan saya yakin beliau sebagai Ketua Dewan Ulama Pahang tidaklah sebodoh itu. Ianya tulisan yang hanya layak dikeluarkan oleh seorang Ketua Dewan Juhala’ bukan Ketua Dewan Ulama’.

Namun demikian, walaupun saya yakin ianya bukan dari Mokhtar Senik, biarlah saya jawab tuduhan tersebut satu persatu. Dan untuk memudahkan, biarlah saya gunakan gelaran ‘MS’ semasa menjawab. Ianya tidak ditujukan kepada Mokhtar Senik kerana saya tidak tahu dengan pasti ianya tulisan beliau, walaupun setakat ini masih tiada sebarang penafian yang dikeluarkan oleh beliau.

1. KENYATAAN 10 AHLI PARLIMEN MENYOKONG KENYATAAN TGNA

Peristiwa ini berlaku pada bulan Julai 2009. TGNA telah mengeluarkan kenyataan menolak sebarang usaha kerjasama dengan UMNO/BN termasuk Unity Government dan menyeru PAS mengukuhkan PR sepertimana yang diputuskan dalam Muktamar 2009 yang baru sahaja belalu. Menyahut seruan TGNA, maka 10 Ahli Parlimen membuat kenyataan menyokong seruannya.

Mengikut Mokhtar Senik (MS), kenyataan menyokong TGNA adalah bertujuan memalukan TGHH. Maka MS seolah-olah mendakwa beliau kasyaf dan tahu niat sebenar 10 Ahli Parlimen PAS tersebut, iaitu bukan untuk menyokong TGNA sangat tetapi untuk memalukan TGHH! Tidak sangka saya, keluarkan kenyataan menyokong TGNA pun dianggap salah! Dan sekiranya menyokong kenyataan TGNA memalukan TGHH, maka adakah dimaksudkan TGNA juga ingin memalukan TGHH melalui kenyataannya! Dakwaan bodoh! 

Adakah kau lupa, wahai MS, apa yang telah berlaku sebelum itu, iaitu pendedahan Abdullah Badawi bahawa adanya rundingan rahsia dengannya oleh wakil PAS; permohonan maaf Dato Mahfuz kepada semua ahli PAS kerana membuat penafian adanya rundingan dengan UMNO, sedangkan ada; dan sebagainya. Akhirnya Nasharuddin dan Mustapha Ali, kalau tidak silap saya, dimarahi TGNA dan mereka berdua memohon maaf. Tiada pula TGHH dianggap terbabit. (Sila tonton video di bawah ini).




Bagaimana MS mengaitkan isu ini dengan TGHH saya pun tidak tahu. Kalau TGHH terlibat maka sudah pasti TGHH pun turut minta maaf dan beliau akan pertahankan Nasharuddin apabila digugurkan dari Majlis Syura Ulama. Akan tetapi tidak. Tiada siapa mengaitkan TGHH dalam isu ini kecuali MS. Oleh itu, bukan kami yang ingin memalukan TGHH tetapi sebaliknya MS sendiri dengan mengaitkan TGHH dalam isu ini.

Hakikat bahawa kisah yang berlaku pada 2009 turut diungkit kembali menunjukkan betapa terdesaknya MS untuk membuat ‘kes pertuduhan’ terhadap saya dan 9 orang Ahli Parlimen. Itu pun atas hujjah bodoh iaitu kesalahan menyokong kenyataan TGNA! Kalau bawa ke mahkamah bebas, sudah pasti dibuang kes. Lagipun sejak 2009, TGHH telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden dalam muktamar 2011 dan 2013. Maka bagaimana ingin dikaitkan dengan dakwaan adanya usaha menjatuhkan DS Presiden sejak 2009 lagi? Sekiranya benar dakwaan tersebut, tidakkah sepatutnya pada 2011 ada yang mencabar Presiden?

2. SEMINAR KHAS UNTUK PERLEKEHKAN DS PRESIDEN

MS sebut juga satu seminar khas yang dakwanya diadakan khas untuk memperlekehkan dan memalukan DS Presiden. Ianya diadakan pada 2009 juga dan di Dewan KUIZM, Markas PAS Taman Melewar. Pembentang kertas kerja adalah Professor Dr. Abu Hassan dan Professor Dr. Aziz Bari. Kedua-dua pembentang kertas kerja mendedahkan kelemahan DS Presiden di depan ahli PAS secara terbuka dan amat sangat memalukan DS Presiden.

Adakah kau lupa, wahai MS, seminar itu merupakan seminar tertutup. Khas untuk pimpinan sahaja. Tiada wartawan dan tiada media. Ianya seminar khas bertujuan mengenal pasti kelemahan PAS dan pimpinannya dari kaca mata masyarakat umum. Ianya bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan PAS yang perlu diatasi supaya PAS boleh berperanan dengan lebih cemerlang lagi sehingga menjadi pemimpin kepada PR. Maka penerimaan terhadap PAS oleh masyarakat umum dikemukakan berdasarkan culaan yang dilakukan dan seterusnya tindakan yang perlu diambil.

Dalam erti-kata lain, sememangnya PAS ingin mendengar kritikan dan teguran supaya kita dapat perkukuhkan kedudukan kita. Oleh itu kita tidak bolehlah merasa terkejut atau tersentak dengan laporan yang diterima. Namun, apa yang dilaporkan tidak semestinya kesemuanya dipersetujui.

Saya tahu, MS jenis yang tidak biasa mendengar kritikan dan teguran. MS lebih selesa sekiranya terus dan sentiasa disajikan halwa telinga iaitu puji-pujian dan dilambung tinggi. Gelaran ulama’ dan waris para nabi sentiasa ingin diulang-ulangkan. Maaf, walaupun itu mungkin kesukaan MS tetapi bagi kami, mencari formula yang boleh melonjakkan imej PAS sebagai parti Islam yang membela semua golongan yang tertindas di dalam masyarakat adalah lebih penting. Oleh itu teguran dan kritikan lebih bernilai dan diinginkan dari pujian yang melambung-lambung. Berhati-hati dengan puji-pujian.

Saya masih ingat bahawa walaupun TGHH sememangnya tersentak dengan sikap berterus-terang dua pembentang kertas-kerja tersebut, namun beliau tetap setia menulis segala yang ditegur mereka. Beliau tidak melihatnya sebagai serangan peribadi tetapi teguran berhubung kelemahan yang perlu diatasi. Ada yang diterima dan digunapakai, ada juga yang ditolak atas sebab tertentu.

Walau apa pun, peristiwa seminar ini lebih menaikkan imej DS Presiden di kalangan pimpinan yang hadir dari menjatuhkan imej beliau. DS Presiden dilihat sebagai pemimpin yang sanggup mendengar teguran dan kritikan, sebahagiannya berhubung diri DS Presiden sendiri dan ini adalah sifat yang terpuji bukan sifat yang keji. Tapi MS tidak akan mampu faham hujjah ini.

Bagi otak yang semacam MS, hanya puji-pujian sahaja yang bernilai. Sesiapa menegur dan mengkritik, dia musuh dan mesti dijatuhkan walaupun melalui fitnah yang keji. Fitnah menjadi halal dan diharuskan MS menjadikan PAS parti yes-man, pembodek dan pengampu? Buatlah parti sendiri, jangan rosakkan PAS. Sejak bermulanya kepimpinan ulama dalam PAS pada 1982, PAS telah menjadi parti yang sentiasa terbuka untuk ditegur dan dikritik. Itulah hasil latihan ulama sebenar.

Sekali lagi peristiwa yang sudah berlalu hampir 6 tahun lepas yang diungkitkan. Ini jelas membuktikan betapa terdesaknya golongan ini untuk mencanangkan propoganda palsu bahawa ada komplot tersusun rapi sejak 2009 untuk menjatuhkan DS Presiden. Sambil mereka pula adalah penyokong DS Presiden yang tulin. Maka undilah mereka demi DS Presiden!

3. HARAKAH MENYIARKAN TULISAN DR. AZIZ BARI

Turut dibangkitkan oleh MS adalah sokongan saya dan Hanipa Maidin terhadap penulisan Dr. Aziz Bari yang ‘menghentam’ Presiden dan penyiaran artikel beliau di dalam Harakah. Saya pun sebenarnya tidak ingat bila saya pernah menyuarakan sokongan kepada tulisan Dr. Aziz Bari. Mungkin MS boleh ingatkan. Atau dia sekadar menembak semberono sahaja.

Tetapi, Adakah kau sudah lupa wahai MS, bahawa Harakah itu di bawah pengurusan pihak lain, bukan kami berdua. Maka apa kena-mengena kami berdua dengan penyiaran tulisan Dr. Aziz Bari dalam Harakah dengan kami?

Adakah yang dimaksudkan MS ialah Harakah juga terlibat dalam usaha menjatuhkan DS Presiden, sedangkan Lembaga Harakah turut dipilih dan diputuskan beliau? Adakah dilihat begitu lemah kepimpinan DS Presiden sehingga menguruskan akhbar parti pun TGHH tidak mampu? Sehingga terpaksa dicampuri oleh orang seperti MS? Sekali lagi saya tanya, MS ingin bela DS Presiden atau menjatuhkan imejnya? 

Sememangnya Harakah akhbar parti. Namun ianya ingin mempunyai sikap yang terbuka. Yang mengkritik dan memuji turut disiarkan. Ianya bukan akhbar propoganda macam akhbar parti kommunis. Itu dasar yang mungkin telah diputuskan dan dipersetujui semua, termasuk DS Presiden. Saya tidak tahu kerana saya bukan ahli lembaganya.

Sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, tidak semestinya teguran dan kritikan dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Malahan ianya boleh membantu seseorang untuk menjadi lebih baik dan lebih berkesan. Ahli pun akan memahami pandangan orang lain terhadap PAS dan salah faham mereka terhadap apa yang sedang diusahakan.

4. SAFWAN ANANG DAN LENSA

Seterusnya dikisahkan memorandum dari NGO yang bernama LENSA yang dibawa pemimpinnya iaitu Safwan Anang. Memorandum itu mengkitik peranan PAS yang dilihat banyak menimbulkan perbalahan dalam PR sehingga menjadi liabiliti kepada PR. Maka memorandum itu meminta PAS keluar dari PR.

Saya tidak nampak mengapa ini dikaitkan juga dengan usaha menjatuhkan DS Presiden. Itu pandangan sebuah NGO. Hak merekalah untuk untuk menyerahkan memorandum dan menyuarakan pandangan mereka. Walaupun Safwan Anang itu ahli PAS, tetapi memorandum itu atas nama NGO yang bukan milik PAS. Dalam LENSA itu pun tidak semestinya semua ahlinya merupakan ahli PAS. Itu pandangan mereka maka perlu diterima memorandum tersebut dan buktikanlah sebaliknya.

Dan, adakah kau sudah lupa, wahai MS, bahawa memorandum itu bukan ditujukan kepada Presiden seorang tetapi PAS keseluruhannya? Termasuk juga pimpinan lainnya. Kenapa MS menujukannya hanya kepada DS Presiden dan sebagai usaha menjatuhkan DS Presiden?

5. HANIPA MAIDIN DAN ISU PILIHAN RAYA PBT

Turut juga ditimbulkan isu pilihan raya PBT yang mana pandangan Hanipa Maidin berbeza dengan pandangan DS Presiden. Ini dianggap memalukan Presiden dan bertujuan menjatuhkan DS Presiden.

Saya melihat seolah-olah MS beranggapan bahawa perbezaan pendapat dalam PAS tidak boleh dizahirkan. Sekiranya ianya dizahirkan, maka semestinya niatnya adalah untuk memalukan dan menjatuhkan Presiden.

Saya ingin bertanya MS, kalau begitu, bagaimana ingin diyakinkan masyarakat bahawa perbezaan pendapatan diraikan PAS dan diterima sebagai sesuatu yang membina? Mengapa sikap positif ini perlu disembunyikan dan sebaliknya ingin dizahirkan sikap negatif pada masyarakat iaitu perbezaan pendapat tidak dibenarkan? Bagaimana PAS mahu didik masyarakat agar saling menghormati perbezaan pendapat dan menzahirkan amalan ‘adaabul ikhtilaf’?


Adakah dianggap ketiadaan perbezaan itu satu kekuatan? Adakah kau sudah lupa wahai MS, bahawa dalam Seerah Rasulullah (SAW) dan khulafah Ar-Raasyidiin, persoalan khilaf dan perbahasan berhubung khilaf diketahui dan sering dizahirkan? Tidakkah sepatutnya segala khilaf dan perbahasan itu ditutup Allah sekiranya ianya merosakkan imej Rasulullah (SAW) dan para khulafah Ar-Raasyidiin? Oleh kerana ianya bukan bukti kelemahan dan sebaliknya kekuatan, maka itulah sebab mengapa wujudnya khilaf dizahirkan Allah.

Ada yang mengatakan cara tulisannya menghina Presiden. Saya membaca tulisan Hanipa yang ditulis beliau semasa di luar negara, agak tertib dan beradab. Malangnya beliau menulis dalam Bahasa Inggeris dan mungkin oleh kerana itu MS tidak mampu memahami sepenuhnya. Hanipa bermula dengan “I beg to differ...” yang bererti “Saya memohon dengan penuh rendah diri untuk berbeza pandangan..” Kalimat ‘beg’ itu bererti ‘memohon, merayu, mengemis’ dan ‘begger’ iaitu orang yang ‘beg’. Beggar bermaksud peminta sedekah.

Begitu juga dengan kalimat “with the greatest of respect..” membawa erti “dengan penghormatan yang setingginya..”. 

Tulisan Hanipa, setakat yang saya ikuti tiada menggunakan istilah ‘munafik haraki, jebon, pengkhianat dan sebagainya yang malangnya banyak digunakan oleh golongan lain.

Oleh itu apa sebenarnya masalahnya dengan tulisan Hanipa?

6. DEMONSTRASI FADHLI IBRAHIM

Akhirnya ditulis berhubung demonstrasi Fadhli Ibrahim. Maka ingin digunakan lima peristiwa di atas sebagai justifikasi untuk diadakan demonstrasi tersebut. Kononnya ianya sama.

Adakah kau sudah lupa, wahai MS, yang lima di atas merupakan teguran dan kritikan serta perbezaan pandangan yang kesemuanya ada kaitan dengan imej PAS di kaca mata masyarakat. Fadhli Ibrahim bukan membuat sesuatu yang merupakan teguran atau kritikan atau perbezaan pandangan. Fadhli Ibrahim membawa tuduhan pengkhianatan dan konspirasi. Ianya merupakan permasalahan dalaman yang hanya mendedahkan wujudnya kelemahan dan perbalahan dalaman parti kepada pihak luar. Melalui pendedahan ini tiada sebarang manfaat diperolehi parti dan ia hanya memungkinan perbalahan dalaman dieksploitasi oleh pihak luar.

Yang dibawa Fadhli Ibrahim sebenarnya tidak perlu kepada demonstrasi atau sidang media. Ia hanya memerlukan surat yang ditujukan kepada DS Presiden, SUA dan Pengerusi JK Disiplin. Dan disertakan semua bukti untuk tindakan mereka selanjutnya. Atau adakah JK Disiplin juga tidak dipercayai MS?

Kalau semua ‘organ’ PAS tidak dipercayai, termasuk yang dilantik dan dipantau DS Presiden sendiri, maka tidakkah sebenarnya MS sedang ‘mengkondemkan’ kepimpinan DS Presiden sendiri sebagai lemah dan tidak berkesan? Atau sebenarnya MS sendiri tidak faham implikasi dari apa yang diucapkannya?

Sekiranya selepas menyerahkan surat aduan, tiada apa-apa tindakan selepas beberapa minggu, dan kelihatan macam ianya ingin ditutup sahaja kesnya, maka dalam keadaan begitu demonstrasi mungkin boleh dilakukan. Itu pun tanpa memberi butiran terperinci kepada media tetapi sekadar meminta tindakan penyiasatan diambil. Ini adalah kerana, dikhuatiri orang yang dituduh berdasarkan mesej whatsapp dan bukti sampingan (circumstantial evidence) ada hujjahnya maka akhirnya memburukkan nama orang tersebut secara pre-mature (atau terlalu awal).

Tidak boleh dinafi, ada juga yang menganggap sememangnya itulah tujuannya. Yang tertuduh ingin diburukkan namanya sebelum pemilihan tahun ini. Dan dinaikkan juga barisan nama lain sebagai ‘hero’ pembela DS Presiden. Iaitu mereka yang hadir bersama semasa demonstrasi tersebut. Diharapkan bukan begitu niatnya....

KESIMPULAN

Tulisan ‘masihkah anda ingat’ yang dikeluarkan atas nama Mokhtar Senik sebenarnya mengunakan hujjah yang pada hakikatnya lemah dan tidak bernilai.Diungkitkan peristiwa silam yang tiada niat buruk terhadap DS Presiden tetapi ditafsirkan melalui hati yang berpenyakit sehingga didakwa sebaliknya. Dilakukan itu dengan tujuan untuk ‘memutihkan’ tindakan demonstrasi Fadhli Ibrahim yang merupakan tindakan kurang bijak dan tiada manfaat kepada parti. Kalau ada manfaat pun, ianya sekadar untuk memburukkan nama tertentu dan menonjolkan nama tertentu yang lain.

Oleh yang demikian, Ana benar-benar berharap agar tulisan tersebut bukan dari Ketua Dewan Ulama’ PAS peringkat Negeri kerana jelas ianya bukan kelas Ulama' sama sekali.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Masihkah Anda Ingat

1. Masihkah anda ingat ...

Pada 18 Jun 2009, seramai 10 orang Ahli Parlimen PAS mengadakan satu Sidang Media Khas di Parlimen kononnya untuk berdiri teguh dibelakang Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi "memalukan" Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang difitnah kononnya mahu membawa PAS masuk Barisan Nasional.

Antara 10 Ahli Parlimen itu ialah Dr Hatta Ramli, Khalid Samad, Dr Mariah, Dr Dzulkefli Ahmad, Kamarudin Jaafar, Dr Mujahid Rawa dan lain - lain. Mereka secara terbuka menolak gagasan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi dan membawa fitnah kononnya Presiden PAS mahu bergabung dengan UMNO dengan gagasan yang dikemukakan iaitu Kerajaan Perpaduan (Unity Government) atau disebut sebagai Kerajaan Tanpa Pembangkang.

2. Masihkah anda ingat ...

Pada 7 Nov 2009, Mereka mengadakan Seminar Politik di Taman Melewar dengan membariskan Dr Abdul Aziz Bari dan Dr Abu Hassan Hasbullah untuk "memalukan" Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang dengan kritikan pedas secara terbuka terhadap Tuan Guru Presiden dihadapan ahli - ahli PAS. Presiden PAS seperti "dibicarakan" oleh mereka dihadapan ahli PAS sendiri. Mereka mendedahkan segala kelemahan Tuan Guru Presiden dengan menggunakan lidah ahli akademi kononnya dan ia dilakukan secara terbuka.

3. Masihkah anda Ingat ...

Sebahagian pimpinan PAS Pusat seperti Khalid Samad dan Hanipa Maidin memberi sokongan dan menerima baik Dr Abdul Aziz Bari dalam beberapa siri penulisan beliau "menghentam" Tuan Guru Presiden PAS kepada khalayak ramai, termasuk memuatkan artikel menghentam Presiden dan PAS dalam Harakah sedang Harakah adalah lidah rasmi parti telah dijadikan alat untuk menjatuhkan air muka Presiden parti sendiri.

4. Masihkah anda Ingat ...

Pada 30 Sept 2014, Seorang ahli PAS bernama Safwan Anang (AJK Jabatan Ketua Pemuda PAS Malaysia) dengan menggunakan nama Ngo LENSA menyerahkan memorundum di hadapan Pejabat Agong PAS lalu mengadakan sidang media secara terbuka mendesak supaya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat kerana menganggap PAS menjadi liabiliti kepada Pakatan Rakyat dan punca kepada perpecahan dalaman Pakatan Rakyat.

5. Masihkah anda Ingat ...

Pada 25 Jan 2015 , AJK PAS Pusat Hanipa Maidin mengeluarkan kenyataan terbuka di media menyanggahi kenyataan Tuan Guru Presiden PAS mengenai isu Pilihanraya Kerajaan Tempatan menggunakan nama demokrasi untuk bebas menyanggah secara terbuka.

Nota :
Semua mereka dianggap hero. Sebahagian terus menang dan dipilih sebagai AJK PAS Pusat. Kononnya mereka penegak demokrasi. Berani dan pembawa idea bernas menuju pembentukan PAS Baru.

Malang apabila Ustaz Fadhli Ibrahim Ketua DPP Kawasan Kuantan tampil menyerahkan memorundum kepada Setiausaha Agong PAS Pusat bersama bukti yang kukuh disokong dokumen akuan bersumpah mengenai penglibatan Group Hawaii Five O yang turut dianggotai oleh Dr Hatta Ramli sebagai Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dalam melancarkan geraksaraf menjatuhkan sesama sendiri termasuklah ..

1. Dr Hatta bocorkan secara terperinci apa yang dibincang dalam mesyuarat PAS Pusat.
2. Dr Hatta arahkan serang 4 exco dan bela dua ADUN yang melompat.
3. Dr Hatta arah sabotaj keputusan Presiden dan Majlis Shura.
4. Aiman Athirah minta lakukan serangan saraf kepada Istana Selangor.
5. Aiman Athirah arah buat kempen gantikan pemimpin PAS (Presiden).
6. Mazhar suruh lancarkan kempen jatuhkan Cikgu Pa.
7. Mazhar arah sebar semula video lucah yang cuba dikaitkan dengan Cikgu Pa.
Dan lain-lain lagi. Disebab ini SD, mereka yang nama didedahkan boleh saman.

Persoalan ...

Kenapa Ust Fadhli Ibrahim dianggap pesalah? dianggap memecahkan PAS sedang ia berusaha mahu menyingkirkan pengkhianatan dalam PAS. Kenapa tidak beri hak serupa kepada Ust Fadhli dalam mengemukakan memonya kepada pucuk pimpinan ?

Atau apakah kerana dakwaan Ust Fadhli itu terkena batang hidung mereka sendiri maka ia anggap salah ? Sementara tindakan dari group mereka untuk dihempaskan kepada Presiden parti dan PAS itu sendiri , maka ia adalah benar dan berlunaskan demokrasi ?

Mokhtar bin Senik
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang.


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan telah, sedang dan akan terus berjalan.

Yang nyata: geng yang mendakwa dan mendabik dada sebagai pro-ulamak dan pembela TGHH telah terpukul dan dipukul oleh TGHH sendiri dan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.



Amacam?

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena