Sunday 22 February 2015

PAS dan Umno perlu bersatu menyelamatkan BN jika PR menang PRU14?...

Ahad, 22 Februari 2015

PAS, Umno mesti bersatu selamatkan Islam dan Melayu, kata bekas ketua hakim


PAS dan Umno perlu bersatu menyelamatkan Barisan Nasional jika Pakatan Rakyat menang PRU14 demi menyelamatkan Melayu dan Islam, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

PAS dan Umno perlu bersatu menyelamatkan Barisan Nasional jika Pakatan Rakyat menang PRU14 demi menyelamatkan Melayu dan Islam, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

PAS dan Umno perlu bersatu bagi menyelamatkan Barisan Nasional (BN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerana DAP akan memusnahkan hak orang Melayu dan kedudukan istimewa Islam jika ia mendapat kuasa, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini.

Beliau menggesa PAS mengetepikan perbezaan dengan Umno dan sedar yang melindungi orang Melayu daripada DAP melalui BN bermakna melindungi umat Islam dan Islam daripada kehancuran di Malaysia.

"Jika selepas PRU14, didapati kerajaan BN di peringkat Persekutuan akan tumbang, PAS hendaklah menyertai kerajaan BN, sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan untuk menyelamatkannya," tulisnya dalam akhbar milik Umno Mingguan Malaysia.

"PAS mesti sedar yang kerjasama dengan DAP dan PKR akan mengorbankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam,” katanya.

Hamid mendakwa orang Cina merasa lebih kuat sekarang kerana mereka bersatu di belakang DAP, dan mereka mula membuat tuntutan melampau dan mencabar Islam, termasuk berkenaan khutbah Jumaat.

"Mereka tidak puas hati dengan 'keistimewaan' yang dinikmati orang Melayu. Mereka mahu semuanya dibahagikan secara 'sama rata'.

"Mereka tahu jika dibuat demikian, merekalah yang akan membolot segala-galanya kerana mereka mengawal ekonomi, kaya dan lebih maju dalam semua bidang. Sebenarnya mereka mahu hak orang Melayu tanpa mengorbankan hak mereka," katanya.

Hamid berkata, kerajaan PR akan membenarkan DAP mendominasi dalam pentadbiran dan memberikan kaum Cina lebih daripada apa yang diberi BN.

"Kerajaan PR semestinya akan menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Orang Cina bersatu di belakang DAP kerana DAP menjanjikan sesuatu yang lebih dan kerana mereka mahu lebih daripada yang diperoleh di bawah pemerintahan BN.

"Dari mana bahagian 'yang lebih' itu akan datang? Semestinya daripada bahagian orang Melayu," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya pada masa ini tidak ada sebarang perbezaan ideologi lagi antara Umno dan PAS yang boleh menghalang kerjasama itu.

"Yang menjadi penghalang hanyalah kekhuatiran pemimpin dan penyokong masing-masing jika kerjasama itu akan menggugat kepentingan diri mereka.

"Selain itu, ialah isu yang dipolitikkan kerana mudah, murah dan popular untuk membezakan Umno dengan Pas dan memancing undi, misalnya assabiah dan hudud,” katanya.

Beliau berkata PAS tidak semestinya akan menyertai BN tetapi boleh menubuhkan kerajaan campuran bagi mengelakkan negara jatuh kepada DAP dan PKR.

"Dengan cara yang saya cadangkan ini, Umno dan PAS masing-masing boleh kekal seperti sekarang sebagai parti politik yang berasingan. (Saya tidak nampak kemungkinan PAS menyertai BN dalam masa yang terdekat).

"Bagaimanapun, pada pandangan saya, PAS patut keluar dari PR. PR merugikan orang Melayu dan umat Islam. Di peringkat negeri, PAS boleh bertanding bersendirian. PAS boleh memerintah negeri yang dimenanginya secara bersendirian," tulisnya.

Mengukuhkan lagi dakwaan mengapa PAS dan Umno perlu bersatu, beliau berkata kebanyakan pelaksanaan undang-undang Islam diperkenalkan ketika pemerintahan BN.

"Jika Kelantan 'lebih Islam' daripada negeri lain dan orang Kelantan mahu berada dalam sebuah 'negara Islam', mengapa orang Kelantan paling banyak berhijrah ke negeri lain untuk mencari makan?

"Umno juga perlu menangani masalah persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan pemimpinnya, faktor utama mengapa orang Melayu 'bencikan' Umno, sama ada persepsi itu betul atau tidak," katanya.

Katanya, di bawah pentadbiran BN, sejak dari zaman merdeka, terdapat pelbagai manfaat daripada segi kesejahteraan ekonomi kepada kaum Melayu, yang tidak mungkin dapat diteruskan sekiranya PR memerintah.

"Demikian juga dengan peruntukan mengenai hak orang Melayu. Jika kerajaan yang memerintah tidak berbuat apa-apa, tidak ada apa yang akan dinikmati orang Melayu.

"Kita menikmati faedahnya hari ini kerana kerajaan mengadakan pelbagai rancangan seperti Dasar Ekonomi Baru dan menubuhkan pelbagai badan seperti Permodalan Nasional Berhad, Skim Amanah Saham Nasional, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Mara, Felda, Risda, Felcra, UDA, Pernas, DARA, Jengka, Ketengah, Kesedar dan lain-lain," katanya.

Katanya, ekoran daripada perubahan zaman, kaum Cina semakin kuat apabila undi Melayu berpecah menjadi tiga di mana akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilihan raya.

"Keadaan berubah dalam masa lebih kurang 10 tahun kebelakangan ini. Orang Melayu berpecah 3.

"Melihat keadaan itu, orang Cina yang memang pandai membuat perkiraan dan pakatan, bersatu di belakang DAP. PKR dan PAS setuju bekerjsama dengan DAP. Akibatnya, pengundi bukan Melayu menjadi suara penentu dalam pilhan raya," tulisnya. – 22 Februari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena