Amanah jumpa Azmin bincang strategi menangi PRU14
Published: 12 November 2015 3:31 PM
Parti Amanah Negara (Amanah) mengadakan perbincangan berkenaan strategi untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang bersama Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, kata setiausaha politiknya, Shuhaimi Shafiei.
Dalam kenyataannya hari ini, Shuhaimi berkata pertemuan itu berlangsung di pejabat Azmin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pagi tadi.
"Kunjungan hormat Amanah ke Pejabat Menteri Besar diketuai Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Malah beliau berkata, Azmin, yang juga timbalan presiden PKR turut menghargai sokongan Amanah terhadap pentadbirannya.
"Menteri besar menghargai sokongan bulat Amanah yang dinyatakan dengan jelas oleh presiden Amanah dalam pertemuan ini.
"Selain itu, perbincangan turut melibatkan pentadbiran semasa kerajaan negeri dan beberapa strategi memenangi PRU14 akan datang dibincangkan," tambahnya.
Selain Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kunjungan tersebut turut disertai Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Mohd Tahir; Pengarah Strategi Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Komunikasi Khalid Samad yang juga ahli Parlimen Shah Alam.
Media sebelum ini melaporkan pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan hala tuju kerajaan negeri Selangor dan Pakatan Harapan.
Ini berikutan “kekeliruan” status kerajaan negeri Selangor yang sebelum ini dibentuk atas kerjasama politik melalui Pakatan Rakyat (PR).
Gabungan PKR, PAS, dan DAP itu kemudiannya diisytiharkan “terkubur” selepas pertelingkahan antara DAP dan PAS. – 12 November, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/amanah-jumpa-azmin-bincang-strategi-menang-pru14#sthash.kZLQGQh7.dpuf
0 comments:
Post a Comment