Tuesday, 29 July 2014

“Fitnah yang sedang tidur” dalam WhatsApp AJK Pas Pusat...Saya tak sokong - Dr Mohd Zuhdi

Selasa, 29 Julai 2014

Saya tidak sokong usul PAS keluar Pakatan, kata Zuhdi

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menjelaskan beliau tidak termasuk dalam sekumpulan ahli PAS yang menyokong parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat. - Gambar ihsan laman Facebook Zuhdi.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menjelaskan beliau tidak termasuk dalam sekumpulan ahli PAS yang menyokong parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat. - Gambar ihsan laman Facebook Zuhdi.

Berikutan mesej WhatsAppnya yang tersebar luas, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki menjelaskan dalam status Facebooknya yang dia tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.
“Fitnah yang sedang tidur”
"Saya menegaskan saya tidak termasuk dalam senarai mereka yang menyokong usul keluar PR itu.
“Semoga dengan penjelasan ini, nama saya dapat dibersihkan daripada tanggapan buruk pelbagai golongan ekoran sikap segelintir pihak di dalam PAS yang membangkitkan fitnah yang sedang tidur."
Katanya kesyahduan hari terakhir Ramadan Ahad lalu dicemarkan oleh tindakan segelintir pihak dalam PAS yang membocorkan maklumat perbincangan yang sulit dan rahsia dalam kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat.
Tindakan tersebut membangkitkan “fitnah yang sedang tidur” pada hari yang sepatutnya ditumpukan kepada ibadah sebagaimana nasihat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, katanya.
Zuhdi mendakwa tindakan membocorkan maklumat perbincangan itu dipercayai dilakukan oleh salah seorang ahli dalam kumpulan WhatsApp itu.
"Ia dilakukan untuk memalitkan nama saya dengan gerakan untuk membawa PAS keluar dari PR, setelah saya melakukan beberapa kritikan keras ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut isu menteri besar Selangor," katanya.
Status WhatsApp Zuhdi yang tersebar luas berbunyi: “Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno, dah bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB."
"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non-Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini.”
Zuhdi sebelum ini di dalam Facebooknya mengkritik cara Anwar menguruskan PR dan menggelar Ketua Umum PKR itu “diktator”.
Pada hari Ahad, dia juga menulis: "Setelah beberapa status ini, sempena Hari Raya yang mulia saya mengucapkan Eidul Fitri al-Mubarak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, maaf zahir dan batin dengan harapan tulus ikhlas 'bersaralah dari politik, dah banyak sangat rakyat Malaysia seluruh lapisan dilibatkan dengan agenda peribadi Datuk Seri'."
Zuhdi menjelaskan maklumat perbincangan yang dibocorkan itu sebenarnya merupakan responnya kepada permintaan ahli kumpulan supaya mengemukakan “analisis senario” terhadap cadangan seorang pimpinan kanan PAS yang mengusulkan parti itu keluar PR.
"Usul PAS keluar dari PR itu disokong kuat oleh tidak kurang 10 orang anggota dalam kumpulan WhatsApp itu, yang sebahagian besar mereka amat rapat dengan Anwar.
"Mereka menyambut usul keluar PR yang dicadangkan itu, dengan ada yang menambah, mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos akan datang hendaklah mendahulukan perbincangan usul ini daripada membincangkan kemelut isu MB Selangor.
"Terdapat juga yang menyarankan, PAS lebih baik bersendirian supaya ahli-ahli PAS lebih bebas mengkritik dan mencegah kemungkaran sebagaimana ketegasan PAS yang dikenali sebelum ini," kata Zuhdi.
Berikutan dengan perbincangan itu, Zuhdi berkata dia mencadangkan supaya dibuat analisis senario apa yang akan berlaku jika PAS keluar PR dari segi kerajaan negeri yang PAS bersama di dalamnya, situasi penerimaan ahli-ahli dan lain-lain.
Cadangannya itu diterima ahli kumpulan itu dan mereka memintanya mengemukakannya.
Disebabkan permintaan tersebut, dia melakukan analisis ringkas tersebut dengan membayangkan senario yang akan berlaku jika PAS keluar PR.
"Untuk melakukan analisis senario ini, selain daripada memerlukan fakta-fakta semasa, daya imaginasi penganalisis juga harus diambil kira," katanya.
Sebelum ini, ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha DAP Loke Siew Fook berkata mana-mana pemimpin dalam PR yang berimaginasi untuk keluar dari gabungan itu perlu dikutuk sekeras-kerasnya.
Dia juga menyeru pimpinan PAS Pusat mengambil pendirian tegas menjauhkan diri daripada cadangan itu.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata tindakan disiplin harus diambil atas Zuhdi kerana membuat kenyataan yang tidak boleh diterima dan mengkhianati PKR dan DAP. – 29 Julai, 2014.


The Malaysian Insider

0 comments:

Post a comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena