Protes rakyat China di kedutaan Malaysia. Semoga terkawal.
Buletin Pakatan Rakyat telah berkongsi gambar Mat Indera Sipejuang.
Sumber Gambar : Reuters & TMI
Hanya kedengaran raungan kedukaan daripada keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Lido di Beijing sejurus berakhirnya pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai perkembangan terkini berhubung pesawat itu malam tadi.
Beberapa anggota keluarga pengsan dan terpaksa diusung keluar oleh anggota paramedik selain berlaku pergelutan apabila sesetengah waris yang kesedihan cuba menghalang jurufoto daripada merakam gambar mereka.
"Berhenti ambil gambar. Hentikan sekarang," jerit seorang lelaki kepada kumpulan warga media terbabit dan cuba menolak mereka sebelum dihalang oleh pengawal keselamatan.
Hampir 100 pengamal media berkumpul di hotel itu bagi menunggu pengumuman Najib.
Difahamkan anggota keluarga terbabit diberi taklimat oleh pegawai Malaysia Airlines (MAS) sebelum mendengar pengumuman perdana menteri.
Dalam pengumumannya, Najib berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China. - Bernama
Bagi Waris Mangsa Malaysia
'Reda', hanya itulah ungkapan yang mampu diluah beberapa ahli keluarga penumpang pesawat dengan perkhabaran terbaharu berhubung nasib pesawat MH370, yang diumum berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas hilang sejak 8 Mac lalu.
Zamani Zakaria, 56, bapa kepada Razahan, 23, berkata beliau menerima berita itu sebagai ketentuan Ilahi setelah lebih dua minggu operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
"Pencarian ini berakhir dan kita tidak lagi perlu menunggu dan ternanti-nanti kerana penantian suatu penyeksaan," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Zamani kehilangan anak serta menantunya, Norli Akmar Hamid, 33, yang dalam perjalanan untuk berbulan madu di Beijing, China.
Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, juga berkata beliau menerima berita itu dengan hati yang redha dan terbuka.
"Seperti yang saya beritahu di peringkat awal, saya terima apa sahaja ketentuan, ringkasnya saya reda dengan apa yang ditentukan," katanya.
Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi keluarga anak kapal MH370 di Hotel Marriot di Putrajaya gagal kerana pihak keselamatan meminta wartawan meninggalkan kawasan lobi.
Difahamkan anggota keluarga anak kapal terbabit dipanggil ke satu bilik khas untuk mendengar taklimat pihak MAS. - Bernama
Tikaqbuloh
0 comments:
Post a Comment