Sunday, 1 February 2015

Anwar gesa DAP-PAS henti bercakaran...Mahu jumpa & duduk semeja sebelum 10 Februari!

Ahad, 1 Februari 2015

Anwar gesa DAP-PAS henti bercakaran, mahu jumpa sebelum 10 Februari

http://www.themalaysiantimes.com.my/wp-content/uploads/2013/03/anwar_ibrahim223.jpg
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merayu DAP dan PAS menghentikan pertelagahan sesama mereka dan duduk berbincang mencari jalan penyelesaian sebagai rakan parti dalam gabungan yang sama.

Ketua pembangkang itu berkata, pihaknya mahu Pakatan Rakyat (PR) duduk semeja dan berbincang sebelum tarikh keputusan kes liwatnya di mahkamah pada 10 Februari nanti.

Bagaimanapun, sehingga kini, katanya dua parti itu masih belum mencapai kata putus untuk bertemu bagi menyelesaikan perbalahan mereka, terutama dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan dan hudud.

"Saya merayu mereka bersabar dan bawa semula ke meja perbincangan dan harap dapat jumpa sebelum tarikh 10 Februari.

"Tetapi malangnya kami masih belum ada persetujuan dengan tarikh (perbincangan)," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Himpunan Belia ke-12 di Ampang, hari ini.

PAS dan DAP kebelakangan ini bertelagah secara terbuka mengenai isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang dan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Krisis lebih meruncing apabila dua pemimpin tertinggi, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan rakan sejawatnya dari DAP, Lim Guan Eng saling mencabar selepas masing-masing didakwa tidak berlaku jujur.

Diminta mengulas isu hudud, Anwar berkata, sehingga kini PR tidak pernah melihat draf Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang mahu dibentangkan kerajaan negeri itu di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak tahun lalu.

Katanya, walaupun kerajaan Kelantan pimpinan PAS sudah diarahkan menyerahkan draf itu untuk diteliti dan dibincangkan di peringkat PR, kertas laporan itu tidak pernah diterimanya.

"Saya tak terima laporan. Kita dah minta kerajaan negeri menyerahkan draf enakmen supaya kita boleh berkongsi dan berbincang.

"Saya tak lihat (enakmen) itu, jadi saya tak boleh nak komen lanjut.

"Tetapi secara amnya, keutamaan kita ialah keadilan dan keamanan, hentikan api perkauman dan agama, serta (menegakkan) kebebasan kehakiman dan sebagainya," katanya.

Ketua umum PKR itu berkata, prinsip "maqasid syarie" jelas mementingkan keadilan dan tadbir urus kerajaan yang baik.

"Bagaimana kamu mahu laksanakan sesuatu undang-undang jika tiada kebebasan undang-undang atau kebebasan bersuara?

"Jadi, saya fikir keutamaan sekarang adalah keadilan urus tadbir yang baik. Ini perkara asas dan terpakai dalam situasi sekarang," katanya. – 1 Februari, 2015.
Posted by Kedah Lanie

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena