KUALA LUMPUR, 8 Februari:
Undang-undang Islam diperbuat daripada tiga kategori iaitu hudud, ta’zir dan qisas.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata jika dilaksanakan di negeri pimpinan PAS itu, sekiranya bukti jenayah yang dikehendaki di bawah hudud gagal dipenuhi, kes itu akan di bawah ke peringkat ta’zir di mana bukti konvensional seperti DNA boleh diterima.
“Kenyataan Noor Farida serupa dengan Karpal Singh yang mempersoalkan hudud dan mengatakan bahawa bagi membuktikan sesuatu jenayah seperti kecurian begitu ketat dan ramai pencuri akan terlepas tanpa hukuman.
“Apa yang perlu difahamkan adalah di bawah hudud, hanya enam jenis jenayah disebutkan untuk mewajarkan hukuman yang ketat dan untuk mengelakkan dari ketidakadilan. Sebab itu kita juga mempunyai kategori lain daripada undang-undang ta’zir yang membolehkan penggunaan kaedah saintifik moden dan dengan itu, hukuman yang bergantung kepada kebijaksanaan manusia,” katanya.
Khalid Samad berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Jurucakap Kumpulan Tokoh Melayu (G25), Datuk Noor Farida Ariffin yang menolak hudud dan memberitahu bahawa golongan pedofil akan membanjiri Kelantan sekiranya undang-undang hudud berjaya dilaksanakan di negeri itu dalam sebuah forum ‘Malaysia, Kebebasan Ekonomi dan Globalisasi’ sempena ulang tahun Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) yang kelima.
Katanya, undang-undang Islam adalah lengkap dan sempurna.
“Contoh kejadian khalwat bukan satu kesalahan yang diperuntukkan di bawah hudud tetapi ia adalah di bawah ta’zir.
“Untuk kes rogol atau seks sebelum kahwin, bukti-bukti lain termasuk cap jari dan DNA boleh diambil dan dibicarakan di bawah ta’zir di mana semua bukti-bukti ini akan diperlukan untuk mendakwa tertuduh,” katanya.