Beranikah Pas pecat Husam?
KATA JUMAAT
Selepas menghulurkan beberapa soalan yang berkepentingan bagi rakyat di DUN Kelantan, Adun Salor Husam Musa malam tadi telah "menggerudi" partinya pula terutamanya presiden Abdul Hadi Awang. Beberapa soalan yang dibangkitkan oleh Husam di DUN tidak terjawab oleh kerajaan atau jawaban yang diberikan tidak memuaskan hati.
Mungkin bertolak daripada situasi itu menyebabkan malam tadi beliau "menggerudi" Abdul Hadi dalam satu ceramah mengulas isu-isu semasa di Kedai Mulong terletak dalam kawasannya. Ceramah itu mendapat sambutan hangat walaupun ada usaha pihak tertentu cuba menghalang dan sabotaj. Selepas lama berihat kerana uzur malam tadilah Husam turun ke gelanggang semula.
Difahamkan Pas cawangan Kedai Mulong khabarnya diberi arahan secara lisan oleh pimpinan Pas negeri supaya tidak memberi kerjasama terhadap majlis itu. Ternyata arahan lisan itu tidak diendahkan apabila ceramah itu dihadiri ribuan pendengar. Khabarnya malam tadi juga Pas Kelantan menganjurkan ceramah di beberapa kawasan lain bagi menghalang orang hadir ke ceramah di Kedai Mulong itu namun ia tidak mendapat sambutan.
Malam tadi Husam seolah-olah telah mula membuka silatnya dalam berhadapan dengan partinya. Rasa tidak puas hati dengan tindakan pimpinan baru Pas khasnya presiden, yang menunjukkan sikap lunak dengan Umno, menyebabkan Husam seakan hilang sabar dan mencabar Abdul Hadi. Cabaran itu adalah kali pertama dibuat bekas Exco kanan itu.
Husam menarik perhatian mengenai desas desus Pas akan bekerjasama dengan Umno. Beliau minta supaya perkara itu dinyatakan secara berterus terang dan bukan berselindung atau secara senyap. "Sekiranya ada cadangan itu ia hendaklah dijelaskan, satu muktamar khas perlu diadakan dan ahli dijelaskan bukan buat secara senyap," begitulah maksud kata Husam.
Cara itu menurut bekas Naib Presiden itu lebih jelas dan ahli dapat membuat pilihan secara rasional dan bukannya diperangkap.
Apa mengejutkan malam tadi apabila Husam mengungkitkan cadangan parti itu untuk menubuhkan kerajaan di Selangor bersama dengan Umno sewaktu krisis penggantian MB Selangor berlaku dahulu. Perkara itu jelas Husam diakui sendiri oleh Abdul Hadi. Bagi mencapai hasrat itu jelas Husam beberapa orang Adun PKR diajak agar bersama Pas.
Adun PKR berkenaan menurutnya menceritakan mengenai cadangan atau pula pelan dikemukakan oleh Abdul Hadi itu bagi membentuk kerajaan Selangor bersaama Umno.
Husam mencabar sekiranya apa yang dia dedahkan itu tidak benar, Abdul Hadi hendak menafikan.
"Kalau apa yang saya kata ini tidak benar, saya minta presiden (Abdul Hadi) menafikan," katanya. Husam juga bertegas dia bertanggungjawab terhadap apa yang dinyatakan itu dan tidak peduli kalau dimarahi.
Pendedahan itu adalah kali pertama dibuat Husam dikhalayak walaupun cerita atau kisah mengenai cadangan itu sudah dalam pengetahuan umum. Beliau nampaknya faham akan risiko dengan pendedahan itu tetapi tidak dipedulikan.
Katanya mungkin dia akan dimarahi dengan pendedahan itu, tetapi dia tidak peduli. "Orang mungkin soal saya kenapa royak (dedah) perkara ini (pakatan dengan Umno), saya akan tanya balik "bakpa" (kenapa) kamu buat. Kalau kamu tidak buat, saya tidak akan tanya," tegas Husam disambut dengan sorakan bergemuruh oleh hadiran.
Begitu juga kata Husam dia membangkitkan beberapa perkara dalam DUN Kelantan yang kurang senang bagi kerajaan Kelantan mengenai penyelewengan dan kelamahan pentadbiran ialah kerana ianya dibuat (dilakukan) dan setelah ditegur tidak diendahkan. Dia tidak membangkit sesuatu yang tidak dibuat (salah laku).
Penjelasan Husam malam tadi dianggap vokal dan meletakkan dirinya dalam keadaan boleh diambil tindakan disiplin. Sudah tentu rakaman ucapan Husam malam tadi akan dianalisa oleh pihak parti di Jalan Raja Laut. Ada kemungkinan Husam akan diberi tunjuk sebab terhadap apa yang belaku itu. Tidak mustahil juga menyebabkan beliau akan diambil tindakan.
Tindakan berupa penggantungan ahli atau dipecat terhadap Husam sesuatu yang diidamkan oleh setengah pihak kerana dengan terkeluarnya Husam memudahkan bagi mereka mencapai agenda lama yakitu untuk bergabung dengan Umno. Kepada sesetengah mereka halangan besar untuk Pas menjalini kerjasama dengan Umno ialah Husam. Husam dianggap sebagai batu penghalang bersama arwah Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Soalnya apakah parti agama itu berani untuk bertindak ke atas Husam yang kini boleh dianggap sudah menjadi duri dalam daging kepada parti itu? Tidak mudah untuk menghentikan Husam daripada terus membangkitkan perkara yang berkepentingan dengan kerajaan dan rakyat sebab dia didik begitu mengatakan sesuatu yang benar itu walaupun pahit.
Justeru hanya satu cara bagi parti agama itu untuk menghentikan Husam daripada bersikap "memukul bini dalam rumah" ialah dengan mengambil tindakan ke atasnya. Soalnya lagi, berani dan tepatkah kalau Husam dikenakan tindakan?
Firasat saya, disamping Husam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat mungkin dia suka kalau partinya bertindak ke atasnya kerana dia juga kelihatan sudah kecewa dengan apa yang berlaku. Tindakan partinya ke atasnya mungkin membolehkan Husam akan bergerak secara bebas dan lepas lagi. Apakah itu yang Husam ingini? [wm.kl.11:07 am 06/11/15]
Mohd Sayuti Omar,
0 comments:
Post a Comment