Pas, Pakatan Harapan perlu saling menerima - Nik Omar Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Pas tidak boleh bersendiri, sebaliknya perlu bergabung bersama Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU14, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sejarah membuktikan Pas tidak mampu memperoleh keputusan baik ketika bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.
“Saya lebih suka kalau Pas bersama Pakatan Harapan dan ketiga-tiga parti (DAP, PKR, Parti Amanah Negara) perlu berjiwa besar untuk menerima Pas bersama Pakatan Harapan.
“Dari sudut politik lebih terjamin untuk peralihan kerajaan baru dalam PRU14. Pas pun tahu, kalau (bertanding) sendiri menerima risiko kalah dalam banyak kerusi,” katannya.
Nik Omar dalam masa yang sama turut menyarankan agar Pas menerima kehadiran Amanah kerana asas perjuangan parti itu sama iaitu menegakkkan Islam.
Sambil menegaskan kesetiaan beliau kepada Pas, anak kedua Nik Abdul Aziz itu berkata, Amanah dilahirkan daripada rahim yang sama.
“Pandangan ini yang menyebabkan orang melihat saya berbeza, saya bukan ahli Amanah, kalau Umno minta pergi ceramah saya pergi, itu kalau Umno, apatah lagi kalau rakan sendiri.
“Kita kena terima dari sudut asas dasar, Pas membawa dasar Islam. Amanah pun sama, tiada perbezaan, sama-sama nak perjuangkan Islam, cuma yang berbeza pendekatan dan ia tidak membabitkan akidah.
“Sejak dari dulu lagi perkara ini sepatutntya diselesaikan dalam perbicangan dalaman, macam mana pun Amanah ini anak kepada ibu, anak dalam rahim yang sama (dengan Pas), kepimpinan yang ada sekarang asalnya puluhan tahun dalam Pas,”katanya.
Ditanya adakah Pas kini sudah berubah tidak sepertimana zaman Allahyarham ayahdanya, Nik Omar berkata, dasar Pas tidak berubah, sebaliknya pendekatan yang dibawa pimpinanya berbeza.
Beliau memberi contoh bagaimana Allahyarham Nik Aziz mengendalikan isu hudud dengan baik walaupun menerima tentangan lantang daripada pimpinan DAP.
“Politik Pas kini nampak DAP musuh utama, adapun Amanah melihat DAP rakan kongsi yang penting untuk pilihan raya, saya nampak, cara yang dibawa Pakatan Harapan ataupun Amanah ini lebih dekat dengan pendekatan tok guru.
“Kalau DAP tidak setuju hudud, bila mereka tentang, adakah lepas tok guru meninggal dunia? Tidak, masa tok guru ada lagi, mereka tentang tetapi tidak berlaku perpecahan, walaupun (bekas pengerusi DAP) Karpal Singh lawan tetapi tok guru pergi ziarah,“katanya.
Nik Omar bagaimanapun berkata, walaupun berbeza pandangan, namun beliau menegaskan menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh pemimpin parti termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Posted by Kedah Lanie
PAS berdiri di mana sekarang?
KUALA LUMPUR,
Parti Amanah Negara (Amanah) berpendapat, keputusan Majlis Syura Ulamak PAS untuk tidak menyertai atau bergabung dengan Umno, menjadikan keadaan bertambah kusut dan tidak jelas.
Sehubungan itu, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad mahu PAS membuat keputusan lebih tegas dan menyatakan pendirian sebenar parti Islam itu berhubung isu terbabit, bagi mengelakkan ahli akar umbi dan orang ramai terus keliru.
Ini kerana, jelasnya, dalam politik Islam, aspek penting yang perlu ditekankan ialah prinsip at-Tadaafuq (semak-imbang) yang wujud dalam bentuk persaingan dan ia berlaku ketika pilihan raya.
“Jadi, PAS berdiri di mana sekarang? Ini kerana, politik negara kita mengamalkan sistem pelbagai parti dan pilihan raya berkala, yang mana ia ada penyandang dan penentang.
“Kalau nak jadi pengadil atau penjaga garisan, maka PAS perlu berada di luar gelanggang.
“Tetapi, kalau PAS nak bersama Umno, silakan. Tapi, kalau nak bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk tumbangkan Umno, juga dipersilakan, kerana dalam politik kena ada kejelasan,” tegasnya kepada The Rakyat Post hari ini.
Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, PAS tetap akan meneruskan agenda kerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan, demi memperkukuhkan Islam dan perjuangannya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua yakin PAS tidak akan bekerjasama atau menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen.
Menurut Ahli Parlimen Batu itu lagi, disebabkan keyakinan itulah, PKR mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PAS.
Jelasnya, kerjasama itu diharap dapat memberikan barisan pembangkang peluang untuk menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Untuk memujuk PAS menyertai PH, PKR sentiasa fleksibel, sama ada untuk berada dalam barisan sama dengan PAS, namun ia terpulang kepada konsensus dua parti lain.
“Kita tidak boleh paksa PAS untuk sambung perhubungan dengan DAP dan Amanah, kita kena hormat pendirian tersebut, tetapi dari awal lagi, PKR dan PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama melawan BN.
“Secara keseluruhan, kaedah bekerjasama itu akan kita bincang dengan pimpinan semua parti dan PKR tak boleh buat keputusan.
“PKR sentiasa ambil sikap untuk bergabung dengan semua parti politik pembangkang yang ada, termasuk parti dari Sabah, Sarawak dan juga NGO, untuk memastikan barisan pembangkang yang inklusif bagi menentang BN,” katanya ketika dihubungi.
Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2016/01/06/keputusan-majlis-syura-jadikan-keadaan-lebih-kusut-tak-jelas/#ixzz3waihLHUJ
Posted by Kedah Lanie
0 comments:
Post a Comment