Ia membuktikan PAS bersikap rasional dengan menolak budaya memecat pemimpin yang bercanggah dengan demokrasi.
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak Deklarasi Rakyat.
“Saya menyambut baik pandangan yang penuh integriti itu, yang membuktikan PAS bersikap rasional dengan menolak budaya memecat pemimpin yang bercanggah dengan demokrasi.
“Ini sejajar dengan kenyataan saya sebelum ini, bahawa Perdana Menteri telah dipilih melalui sistem pilihanraya dan demokrasi yang sah,” katanya dalam sidang media di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Semalam, Hadi menyifatkan Deklarasi Rakyat sebagai usaha sia-sia memandangkan matlamatnya untuk mendesak Perdana Menteri letak jawatan hanya boleh dicapai melalui pilihanraya dan undi tidak percaya.
Dalam pada itu, Zahid mendakwa Deklarasi Rakyat tidak mewakili rakyat terbanyak, tetapi hanya usaha sebilangan kecil pemimpin radikal.
“Janganlah kita perdaya dan kelirukan rakyat, kononnya Deklarasi ini mewakili majoriti masyarakat…(Walhal) hanya didokong sebilangan kecil pemimpin radikal semata-mata untuk menjatuhkan pemimpin yang dipilih rakyat sendiri,” katanya lagi.
Memetik laporan sebuah portal, pihak yang menandatangani deklarasi itu telah bermesyuarat buat kali pertama semalam dan menimbang melakukan siri jelajah bagi menghebahkannya kepada orang ramai.
0 comments:
Post a Comment