Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerjasama antara pemimpin Umno dan DAP bersifat sementara dan mereka boleh meneruskan ‘perbezaan’ mereka apabila tuntutan dalam Deklarasi Rakyat, termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dipenuhi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac, 2016.
Beliau berkata, kerjasama itu bersifat sementara dan mereka boleh meneruskan "perbezaan" mereka apabila tuntutan dalam deklarasi itu, termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dipenuhi.
"Mereka (penandatangan) perlu bertindak sebagai rakyat dan bukan sebagai sebuah parti atau organisasi.
"Meletakkan parti sebagai keutamaan bermakna menyokong dan mengekalkan rejim Najib.
"Apabila demokrasi dan kebebasan dipulihkan, perbezaan pendapat antara mereka boleh diteruskan semula," tulis bekas perdana menteri itu dalam posting terbaru di blog beliau hari ini.
Dr Mahathir mengakui, ramai ahli Umno tidak senang hati melihat pemimpin mereka duduk seiringan rakan DAP mereka, termasuk veteran DAP Lim Kit Siang, pada sidang akhbar itu Jumaat lepas.
Tetapi beliau berkata, mereka tidak ada pilihan lain kerana Najib memusnahkan sebarang peluang untuk mereka merungkaikan kebimbangan mereka secara dalaman.
"Hak ahli dalam Umno, perhimpunan agung Umno dan Majlis Tertinggi Umno tidak lagi berfungsi.
"Najib mengetatkan kawalan ke atas ahli dan organisasi Umno melalui pelbagai cara, dengan melumpuhkan bukan sahaja organ parti tetapi institusi kerajaan seperti polis, peguam negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan banyak lagi."
Beliau berkata, tindakan Najib itu juga menjejaskan rakyat biasa, yang menurut beliau, kini percaya demokrasi di negara ini hanya boleh dipulihkan dengan menggulingkan perdana menteri.
Tetapi mereka tidak mempunyai saluran menyuarakan pandangan mereka, kata Dr Mahathir, dan inilah yang akhirnya mendorong pemimpin itu membelakangkan organisasi dan perjuangan mereka, dan menandatangani deklarasi itu.
Pada Jumaat 4 Mac, Dr Mahathir menandatangani deklarasi 37 mata menggesa peletakan jawatan perdana menteri.
Lebih 40 orang, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Lim serta pemimpin pergerakan masyarakat sivil menandatangani deklarasi itu. – 9 Mac, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianoutsider.com/bahasa/article/pemimpin-umno-dap-ketepikan-permusuhan-selamatkan-negara-kata-dr-mahathir#sthash.to7LyX4F.dpuf
0 comments:
Post a Comment