Siar debat Mahathir-Nazri di TV3 atau RTM jika kerajaan telus soal 1MDB – Tony Pua
Pada
oleh RoketKini
KUALA LUMPUR, 13 MAC: Sesi debat adalah medium terbaik bagi kerajaan UMNO-Barisan Nasional menjelaskan mengenai isu skandal 1MDB kepada rakyat setelah gagal berbuat demikian di dalam sidang Parlimen sebelum ini.
Justeru, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyokong kesudian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkongsi pentas dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed bagi membincangkan skandal syarikat pelaburan milik negara itu.
“Malah, kami menggesa Kabinet mendesak agar TV3 dan RTM menyiarkan secara langsung sesi debat berkenaan jika benar kerajaan Persekutuan mengaku bahawa tiada apa untuk disorokkan (berhubung skandal 1MDB).
“Kerana ia adalah peluang terbaik bagi pentadbiran Najib untuk mematahkan segala tuduhan pembangkang terhadap 1MDB serta imejnya yang sedia ada tercalar kini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Nazri seperti dilaporkan Malaysiakini Sabtu lalu menegaskan bahawa dia tetap mahu berdebat dengan Dr. Mahathir.
“Mengapa saya perlu (menarik diri daripada berdebat)?
“Saya Nazri Aziz, kamu patut lebih tahu saya ni macam mana. Saya bukan (Abdul) Rahman Dahlan,” katanya dipetik laman portal berkenaan.
Rahman Dahlan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini lari daripada berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengenai isu tanah taman manggis meskipun sebelum itu beriya-iya mahu mengajak Setiausaha Agung DAP itu berdebat.
Mengulas lanjut, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, beliau bagaimanapun meragui keberanian yang ditunjuk-tunjuk Nazri itu memandangkan pihak 1MDB sebelum ini gagal berdebat dengannya.
“Malah bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) 1MDB, Arul Kanda (Kandasamy) lari untuk berdebat dengan saya, selepas dia menerima cabaran yang sama dengan penuh keberanian, siap adakan sidang media untuk mengumumkan mengenai debat itu,” ujarnya. – Roketkini.com
0 comments:
Post a Comment