Nik Abduh, jangan jadi tongkat Najib
ULASAN Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz bahawa skandal rasuah dan pembaziran yang berlaku hari ini adalah kesakitan lama seolah-olah satu tindakan melindungi rasuah dan pembaziran berbilion ringgit yang sedang dilakukan oleh pentadbiran negara hari ini pimpinan kleptokrat global Datuk Seri Najib Razak.
Negara hari ini berhadapan krisis korupsi global yang amat kritikal bilamana skandal 1MDB menjadi subjek siasatan autoriti beberapa buah negara sehinggakan DOJ Amerika Syarikat mendedahkan Perdana Menteri adalah MO1 yang telah mencuri RM2.6 bilion.
Di samping itu, pendedahan SPRM bahawa terdapat 63 penjawat awam yang dituduh untuk tempoh 2016 hingga Februari tahun ini adalah satu angka yang besar dan begitu membimbangkan, apatah lagi lebih 60 peratus kes rasuah melibatkan pegawai muda bawah 40 tahun.
Tangkapan pegawai kanan Kerajaan termasuk dalam kes pegawai di Jabatan Air Sabah, Kementerian Belia dan Sukan dan EXCO Johor yang melibatkan rampasan jutaan ringgit wang tunai dan barangan mewah menunjukkan gejala rasuah adalah penyakit negara yang sudah membarah.
Persepsi rasuah negara
Indeks persepsi rasuah negara yang merosot dari tangga 54 ke 55 yang dikeluarkan oleh Transparency International amat memalukan negara.
Jenayah rasuah yang dilakukan oleh pemimpin negara dan penjawat awam hari ini tidak boleh lagi dibiarkan dan rakyat harus bersatu melawan gejala ini daripada terus menghancurkan negara.
Kemajuan negara dan pembangunan insan tidak akan tercapai jika negara dicemari dengan gejala rasuah kerana integriti adalah teras sesuatu kejayaan.
Nik Abduh tidak seharusnya terus membutakan mata dan memekakkan telinga dengan kes-kes rasuah terutama yang melibatkan Perdana Menteri.
Kenyataan beliau tersebut dilihat senada dengan saranan Perdana Menteri yang mahukan siasatan skandal Forex dijalankan sedangkan siasatan skandal 1MDB yang melibatkan perdana menteri terus dilindungi sehinggakan tidak dibenarkan untuk dibahaskan di Parlimen.
Nik Abduh tidak seharusnya terus menjadi tongkat kepada perdana menteri yang kepimpinannya semakin tempang akibat rasuah dan pembaziran. Justeru, agenda 'Tumbang Najib PRU14'(TN 14) adalah perjuangan paling utama bagi menyelamatkan negara.
FAIZ FADZIL ialah timbalan ketua pemuda AMANAH. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Jangan biar negara ini terjebak dengan gelaran Darul Rasuah - itu permintaan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, ketika mengulas statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Saifuddin berkata, data didedahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, bahawa sebanyak 665 kertas siasatan dibuka membabitkan penjawat awam antara 2016 hingga Februari lalu, perlu dipandang serius.
Katanya, sepanjang tempoh itu juga 548 penjawat awam ditangkap dan 63 kes dituduh di mahkamah.
"Bagi saya jumlah tersebut satu angka yang sangat besar kerana ia melibatkan penjawat awam yang sepatutnya berintegriti dan menjaga wang rakyat dengan sebaik-baiknya," kata Saifuddin.
Ada beberapa kes rasuah berprofil tinggi didedahkan SPRM sejak beberapa bulan lalu, termasuk penahanan pegawai kanan Jabatan Air Sabah yang didakwa menyelewengkan dana bagi pembinaan infrastruktur di negeri itu.
Satu lagi kes yang menarik perhatian ramai ialah tangkapan membabitkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian dan anaknya.
Dalam serbuah di sebuah rumah di Subang Jaya, pegawai SPRM merampas wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta.
Hal sangat memalukan
Terbaru, seorang exco di Johor ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan pihak berkuasa atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan status tanah di negeri itu.
Saifuddin menjelaskan, gejala rasuah di kalangan penjawat awam ketika ini semakin membimbangkan, terutamanya apabila ia membabitkan beberapa jabatan kerajaan termasuk jabatan air, Felda dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Katanya, masalah itu harus dibendung segera kerana dikhuatiri kadar tersebut terus meningkat dari hari ke hari.
Rakyat juga, kata Saifuddin, menyaksikan kemerosotan negara dalam indeks persepsi rasuah dikeluarkan Transparency International - Malaysia baru-baru ini.
"Kedudukan negara jatuh dari tangga ke 54 kepada 55 daripada 176 buah negara dan saya percaya ianya berpunca daripada gejala rasuah yang telah didedahkan, selain isu kontroversi 1MDB serta isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri," katanya.
Menurut beliau, peningkatan persepsi rasuah itu juga memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat sekali gus akan menimbulkan kesangsian pada pelabur asing.
Justeru, kata Saifuddin, SPRM diharapkan mampu membanteras rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan serta tidak hanya menangkap 'ikan bilis' tetapi melepaskan 'jerung' tanpa sebarang tindakan.
"Kita tidak mahu negara ini digelar 'Malaysia Darul Rasuah'. Hal ini sangat memalukan," katanya.
0 comments:
Post a Comment