Friday 8 September 2017

[Video Kerugian FELDA & FGV - Rakyat perlu tahu!] FELDA rugi RM1.1 BILION & FGV pula rugi cecah RM8.7 BILION.

Sabtu, 9 September 2017

Foto Rafizi Ramli.


FELDA RUGI RM1.1 BILION BAGI TAHUN 2015, KERUGIAN TERKUMPUL SEJAK PENYENARAIAN FGV CECAH RM8.7 BILION SETAKAT 2015
Setelah saya memulakan siri analisa kedudukan terkini kewangan Kumpulan Felda semalam dengan membuat unjuran bahawa hutang Kumpulan Felda dijangka mencecah RM12.6 bilion menjelang akhir 2017, saya dimaklumkan oleh seorang penganalisa bahawa mengikut rekod Dewan Rakyat, penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 telah dihantar ke Dewan Rakyat pada 6 April 2017.
Saya hadir seharian di Dewan Rakyat pada 6 April 2017 iaitu pada hari terakhir persidangan bagi sesi itu yang dipenuhi dengan pembentangan rang undang-undang persendirian meminda Akta 355 oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Sehingga ke akhir hari itu semasa Dewan ditangguhkan, saya tidak mendapat sebarang CD yang mengandungi penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Pun begitu, semakan dengan laman rasmi Dewan Rakyat menunjukkan ia direkodkan sebagai telah dikemukakan kepada Dewan Rakyat pada 6 April 2017 dan satu salinan PDF disertakan. Itu membolehkan saya membuat analisa yang lebih mendalam mengenai kedudukan kewangan Kumpulan Felda setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan memberi gambaran yang lebih baik kedudukan kewangan terkini menjelang 31 Disember 2017.
Saya telah membuat analisa terperinci untuk menentukan dua perkara penting:
1. Jumlah kerugian terkumpul yang ditanggung Felda dan anak-anak syarikatnya (dirujuk sebagai “Kumpulan Felda”) sejak FGV disenaraikan, iaitu prestasi untung/rugi Kumpulan Felda bermula dari tahun kewangan 2013 hingga 2015
2. Kesan menyeluruh penyenaraian FGV kepada Kumpulan Felda yang diukur berdasarkan jumlah dividen terkumpul yang dibayar oleh FGV kepada Kumpulan Felda berbanding kerugian atas kertas yang ditanggung oleh Kumpulan Felda akibat kejatuhan teruk harga saham FGV selama ini

Perkara (2) iaitu menentukan kesan menyeluruh penyenaraian FGV kepada Kumpulan Felda adalah penting kerana peraturan laporan penyata kewangan tidak mensyaratkan kerugian atas kertas saham-saham sebuah syarikat bersekutu ditunjukkan di dalam penyata pendapatan tahunan sesebuah syarikat. Prestasi sebuah syarikat bersekutu seperti FGV ditunjukkan di dalam penyata kewangan Kumpulan Felda dengan mengambil kira peratusan aset, liabiliti dan untung rugi FGV yang disatukan di dalam penyata kewangan Kumpulan Felda.
Ini menyebabkan kesan kejatuhan mendadak harga saham FGV tidak menunjukkan kesan segera ke atas kedudukan kewangan Kumpulan Felda, kecuali jika Kumpulan Felda menjual saham-saham FGV tersebut. Bahayanya ialah apabila ini berlaku, Kumpulan Felda mungkin akan jatuh muflis kerana kerugian dari kejatuhan harga saham FGV yang mencecah berbilion ringgit ditunjukkan sebagai kerugian sekaligus dalam satu tahun kewangan.
Analisa saya ditunjukkan di dalam Lampiran yang disertakan bersama. Saya juga melampirkan mukasurat-mukasurat berikut dari penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2012 hingga 2015 yang menjadi sumber kepada angka-angka di dalam analisa tersebut:
1. Mukasurat akhir penyata pendapatan Kumpulan Felda untuk menunjukkan “jumlah kerugian komprehensif bagi tahun semasa”. Kerugian komprehensif adalah kerugian bersih ditolak dengan apa-apa kerugian akibat kejatuhan harga pelaburan di dalam saham sebutharga (yang mana pegangan Kumpulan Felda adalah kecil dan tidak mencecah pegangan syarikat bersekutu atau anak syarikat)
2. Nota 21 iaitu nota yang menunjukkan perincian prestasi kewangan syarikat bersekutu. Maklumat yang paling penting ialah nilai saksama saham-saham syarikat bersekutu yang dipegang oleh Kumpulan Felda kerana perubahan nilai saksama saham-saham ini sebenarnya melambangkan kejatuhan harga saham-saham tersebut. Untuk memudahkan analisa, keseluruhan perubahan saksama diandaikan sebagai perubahan harga saham FGV memandangkan satu lagi syarikat bersekutu Felda yang disenaraikan (iaitu Iris Corporation) tidaklah sebesar FGV, maka kesan kewangannya tidaklah sebesar kesan FGV ke atas Kumpulan Felda.

Maklumat jumlah pegangan saham oleh Kumpulan Felda di dalam FGV dan jumlah dividen yang diumumkan oleh FGV boleh didapati di dalam laporan tahunan FGV 2013 hingga 2015.
Merujuk kepada lampiran analisa tersebut, saya ingin membawa perhatian orang ramai kepada perkara-perkara berikut:
1. Sejak FGV disenaraikan dalam tahun 2012, Kumpulan Felda telah mencatatkan kerugian komprehensif yang melebihi satu bilion ringgit setiap tahun iaitu RM1.670 bilion (2013), RM1.109 bilion (2014) dan RM1.112 bilion (2015). Jika Kumpulan Felda adalah sebuah syarikat biasa yang tidak dijamin Kerajaan, syarikat Felda sudah pun diisytiharkan muflis;
2. Dividen yang dibayar oleh FGV kepada Kumpulan Felda menurun secara mendadak dari 2013 kepada 2015, iaitu dari RM256 juta (2013) kepada hanya RM49 juta (2015);
3. Jumlah kerugian atas kertas yang akan bertukar menjadi kerugian sebenar sekiranya Kumpulan Felda menjual saham-saham FGV (atau jika auditor membuat penilaian prestasi FGV tidak lagi boleh menyokong harga asal pembelian saham-saham FGV yang menyebabkan satu penjejasan atau “impairment” dibuat) adalah RM5.16 bilion setakat 31 Disember 2015;
4. Oleh itu, kerugian terkumpul Kumpulan Felda akibat kerugian dari operasinya (seperti (1)) dan kerugian akibat penyenaraian FGV yang masih belum ditunjukkan di dalam penyata pendapatan (seperti (2) dan (3)) adalah RM8.7 bilion bagi tempoh 3 tahun sahaja iaitu dari 2013 ke 2015.
Saya berani mengatakan bahawa kerugian terkumpul Kumpulan Felda (mengambil kira kedua-dua perkara seperti yang dihuraikan di atas) yang mencecah RM8.7 bilion setakat 2015 sahaja itu meletakkan Kumpulan Felda dan FGV berada di dalam satu kategori dengan 1MDB dari segi tenatnya kedudukan kewangan Kumpulan Felda.
Saya lebih bimbang dengan krisis kewangan Kumpulan Felda (berbanding 1MDB) kerana ia melibatkan kemampuan Felda (dan Kerajaan Persekutuan) menguruskan kehidupan lebih 100,000 keluarga peneroka yang boleh melibatkan lebih 1 juta rakyat Malaysia (mengambil kira generasi baru dan keluarga mereka).
Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh berdiam diri mengenai perkara ini tetapi beliau tahu bahawa dengan pendedahan berterusan sepanjang minggu depan, krisis kewangan Kumpulan Felda ini tidak lagi boleh didiamkan dan perlu dijawab oleh beliau.
Analisa saya akan disambung pada hari Isnin akan datang.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena