Friday 26 May 2017

[Video KENAPA AKU TINGGALKAN PAS SERTAI AMANAH - Peguam] Marhaban Ya Ramadan! Tazkirah untuk sang penguasa

Sabtu, 27 Mei 2017

Marhaban Ya Ramadan! Tazkirah untuk sang penguasa

 DR DZULKEFLY AHMAD
Pastinya hati dan jiwa ini keseronokan untuk mendakap kedatangan Ramadan. Ya sudah 12 bulan tidak ketemuan, rindu-rinduannya membara teramat sangat.
Namun, hati kecil ini memasang niat...
"Ya Allah Kau tunjukkanlah satu kelainan buatku pada Ramadan kali ini... Memang tabiat diri ini sentiasa inginkan mempelajari sesuatu yang baru... teringat pesanan lisan Nabi Junjungan, "Menyamakan dua hari itu sudah cukup kau tertipu."
Nah, apatah lagi 'menyamakan' Ramadan pada setiap tahun?
Tersentap seketika menekuni ayat-ayat Allah pagi Jumaat tadi dari Surah Al-Baqarah... seolah-olah membacanya buat pertama kali... bermula ayat2 As-Siyam (Puasa)...
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)
Sementara ayat di atas dan ayat-ayat berikut sudah lazim dibaca buat kesekian kalinya, Allah jadikan segala tumpuan mata-hati dan jiwa serta intelek ini kepada ayat 188 berikutnya. Tetiba persis baru diturunkan atau ditanzilkan Allah SWT buat pertama kali.
Ya, pada pagi Jumaat di ambang Ramadan ini, saya mengajak diri ini pertama-tamanya dan semua, untuk mengambil segala peringatan-penegasan dari Allah.
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Baqarah:188)
Ayat ini semacam menerjah seolah-olah buat pertama kalinya, tentang satu kemungkaran dan dosa yakni rasuah, salahguna kuasa, curi-rompak-songlap, yang mesti dibanteras dalam diri kita ini buat menjamin pencapaian 'At-Taqwa' sebagai matlamat berpuasa.
Sejujurnya, saya mengingatkan diri ini supaya tidak 'mempolitikkan' topik ini dengan menyebut perihal 1MDB, MARA, FGV, TH, Jabatan Air Sabah atau laporan Ketua Audit Negara. Saya cuba kekalkan menulis secara ilmiah dan objektif untuk berkongsi sedikit pencerahan.
Nah, kalaulah Tarbiyah Ramadan ingin mencapai maksud dan tujuan (Maqasid) ibadah ini sebenar-benarnya yakni At-Taqwa, maka perlu difahami dan dihayati secara iltizam-bersungguh, perihal prasyarat untuk menyempurnakan konsep 'at-Taubah' (taubat).
Ringkasnya perihal taubat dalam beberapa ayat Allah yang menunjuk kepada beberapa prasyarat.
Antara lain bagi taubat setelah berlaku perbuatan dosa, dalam konteks ini; kemungkaran dan gejala rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah, mestilah pertama-tamanya mempastikan:
i. Mengiktiraf ('iktiraf) perlakuan dan dosa yang dilakukan.
ii. Mesti ada unsur Islah atau penambahbaikan atau koreksi (Aslahu) dan;
iii. Membuktikan (Bayyanu) dan komitmen untuk meninggalkan kemungkaran dan dosa tersebut. Jangan diulang.
Ramadan wajar mendidik jiwa-jiwa ini untuk membanteras ketamakan (greed) dan sifat tidak amanah (dishonesty) dalam menjalani kehidupan khasnya dalam tadbir-urus negara dan pemerintahan.
Sebaliknya yang dihajati dan didambakan bagi menjamin kesejahteraan rakyatnya, adalah tersebarluasnya azam-tekad untuk membawa perubahan dan kebaikan hasil tarbiyah puasa dalam bulan Ramadan ini.
Ini sekaligus akan menjalinkan keharmonian sesama insan meskipun punya pelbagai perbezaan dan anutan agama serta budaya.
Kesemua rakyat membenci dosa dan kemungkaran serta boros dan bolot, serentak memusnahkan hasil negara dan mewujudkan jurang-kesenjangan kaya-miskin serta perseteruan-permusuhan.
Sebaliknya Ramadan bermatlamatkan menjalin keprihatinan dan persaudaraan sesama insan hatta merentasi dan melepasi garis agama, kaum dan budaya.
Semoga Allah menjadikan kita Muslim yang lebih baik dan bertakwa dengan puasa dan Ramadan ini, lalu menggugurkan dari diri kita, sifat tamak (greed) dan tidak amanah (dishonest), yang menjadi punca segala gejala rasuah dan salah-guna kuasa dan menjadikan kita Muslim yang peduli dan ihsan-belas.
Semoga Ramadan membawa islah (perubahan) buat kita semua. Amin Ya Rabb.
___________________
Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara.
Di Ambang Ramadan 1438H.

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena