Thursday, 17 October 2013

Soalan yang ke 180 kali dah jawab! : Ust UAI Jawab Isu Penggunaan Kalimah ALLAH Oleh Orang Kafir...

Jumaat, 18 Oktober 2013


Kalimah Allah: Siapa yang keliru sekarang?
www.themalaysianinsider.com 
MAHKAMAH Rayuan pada Isnin lepas memutuskan penerbitan mingguan Herald: The Catholic Weekly edisi Bahasa Melayu tidak boleh menggunakan kalimah Allah dengan alasan, antara lain, kerana ia boleh menyebabkan umat Islam di negara ini keliru.

Tiga hakim yang mendengar rayuan itu berpendapat bahawa Allah bukanlah sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. Seorang daripada mereka menambah bukan saja orang Islam akan keliru tetapi orang Kristian pun boleh keliru sama.
Ini kerana konsep ketuhanan Allah dalam Islam sama sekali berbeza dengan konsep ketuhanan tiga serangkai — tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus — yang dianuti dalam Kristian.

Tetapi selepas membaca keputusan tiga hakim itu serta meneliti reaksi yang diberikan oleh pelbagai pihak dan meninjau pula rentetan episod polemik kalimah Allah ini sejak ia berbangkit pada 2007, ada beberapa hal yang boleh mendatangkan keliru.

Bukan saja orang Islam dan Kristian di negara ini yang keliru; daripada pelbagai reaksi yang terbit di media antarabangsa, kita boleh nampak masyarakat dunia pun keliru.

Pertama, isu ini mula berbangkit pada 1986 apabila Kementerian Dalam Negeri melarang beberapa perkataan dipakai dalam penerbitan bukan Islam. Selain Allah, tiga perkataan lain yang eksklusif untuk Islam ialah solat, Baitullah dan Kaabah.

Sebelum Menteri Dalam Negeri mengenakan syarat kepada Herald pada 2007 untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam edisi Bahasa Melayunya, penerbitan mingguan itu sudah beberapa kali menerima surat tunjuk sebab, teguran dan amaran.

Ada jarak masa hampir 23 tahun antara pekeliling asal pada 5 Disember 1986 sehingga KDN mengeluarkan syarat permit penerbitan pada 7 Januari 2009 — permit yang menjadi isu di mahkamah, isu yang umum kenal sebagai isu kalimah Allah. Tempoh antara pekeliling itu dengan teguran yang pertama pun ada jarak masa 12 tahun. Satu soalan: Kenapa lama sangat baru ambil tindakan sedangkan selama itupun orang Kristian Bumiputera sudah guna kalimah Allah?

Kita tentu keliru: Ada peraturan untuk apa? Adakah peraturan dijalankan seperti mana ia sepatutnya dikuatkuasakan atau adakah ia dikuatkuasakan berpilih-pilih ikut masa dan selera? Mahkamah Rayuan juga dalam keputusan kes itu membuat pemerhatian bahawa penguatkuasaan larangan itu tidak dijalankan dengan berkesan.

Ini membawa kita kepada pertanyaan seterusnya. Sebelum KDN mengenakan syarat permit tersebut, Herald mendapat tiga surat tunjuk sebab antaranya kerana menerbitkan tulisan mengenai politik. Satu lagi soalan: Adakah syarat permit yang dikenakan oleh KDN itu semata-mata kerana kalimah Allah atau ia kemudiannya ada kaitan dengan lidah pengarang yang meminta penganut Kristian berdoa memohon agar pilihan raya kecil Permatang Pauh — yang kemudiannya dimenangi oleh Anwar Ibrahim — berjalan dengan adil dan bersih?

Masyarakat harus jelas — ini isu langgar permit penerbitan atau keselamatan akidah atau keselamatan politik atau apa sebenarnya? Mesti jelas; nanti kita semua keliru.

Kedua, sejak selepas keputusan Mahkamah Rayuan itu dikeluarkan, ada usaha untuk meredakan keadaan dengan cuba membentuk pendapat umum bahawa keputusan mahkamah itu hanya terhad kepada penerbitan Herald.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan itu hanya undang-undang kes yang boleh untuk tidak dikuatkuasakan. Katanya, keputusan kabinet membenarkan penggunaan Al-Kitab iaitu Bible dalam Bahasa Melayu serta Bible dalam bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak — yang memakai kalimah Allah — masih sah. Kenyataan itu, seperti laporan media, boleh membawa maksud keputusan mahkamah tidak ada apa-apa makna berbanding keputusan eksekutif.

Dengan adanya keputusan Mahkamah Rayuan ini sekarang, bagaimanakah kedudukan warta kerajaan pada 1982 yang membenarkan orang Kristian memiliki, menerbit dan menggunakan Al-Kitab yang di dalamnya ada kalimah Allah?

Bagaimanakah pula kedudukan penyelesaian 10 perkara yang dipersetujui oleh kabinet menjelang pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 2011?

Sekali lagi, ini juga mengelirukan. Kalau Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, kenapa kalimah Allah boleh pula digunakan dalam Al-Kitab? Apakah orang Kristian tidak akan keliru dengan konsep ketuhanan itu?

Kalau kita seterusnya meneliti, membedah dan mengkaji tiga keputusan bertulis daripada tiga hakim itu, apa yang terlihat ialah kesan luas keputusan berkenaan — daripada segi undang-undang dan agama.

Apabila mahkamah itu memutuskan bahawa Allah bukan bahagian penting dalam kepercayaan Kristian, sesetengah daripada kita tentu keliru dan bertanya: Yang dikatakan agama samawi atau agama dari langit itu apa? Nabi-nabi yang disebut dalam Bible itu siapa; apakah mereka itu nabi-nabi yang lain daripada yang disebut dalam Al-Quran?

Keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin lepas bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan tetapi ia mungkin juga menyebabkan lebih banyak kekeliruan. Misalnya begini: Bagaimana dengan orang Sikh yang dalam kitab suci mereka juga menyebut Allah?
~ Astroawani/Posted by Anak Sungai Derhaka at Friday, October 18, 2013

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena