Mungkinkah Alwi Meraung Pula Selepas Ini?
Shahbudin Husin,
Mengikut laporan sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Perdana Menteri, Najib Razak akan membuat pengumuman rasmi mengenai pendirian BN berhubung perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat selewat-lewatnya Selasa ini.
Bagaimanapun Tengku Adnan juga memberi bayangan, "saya tidak kata kami menentang hudud. Hukum tetap hukum. Tetapi seperti diketahui, hukum hudud mesti mengikut Perlembagaan negara".
Berdasarkan kenyataan Ku Nan ini, semua orang barangkali sudah boleh membayangkan apakah pendirian yang bakal diumumkan Najib nanti. Ia tidak lain menunjukkan Najib akan sekali lagi menolak perlaksanaan hukum hudud itu dan Ahli Parlimen UMNO akan diarahkan agar tidak menyokong usul persendirian yang bakal dibawa oleh Pas nanti.
Sebagaimana sebelum ini Najib pernah menyatakan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini serta berpegang kepada tafsiran maqasid syariah, beliau dijangka akan mengulangi pendirian yang sama dalam kenyataan yang bakal dikeluarkannya nanti.
Alasan perlaksanaan hudud bercanggah dengan Perlembagaan negara akan turut digunakan untuk menguatkan lagi hujah menolaknya.
Oleh kerana MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti di Sabah dan Sarawak turut menolak hudud serta mengancam untuk meninggalkan BN jika UMNO berpendirian menyokong usul Pas itu, Najib amat jelas tidak mungkin berani berpendirian sebaliknya.
Berbanding Pas, Najib sudah tentu jauh lebih sayangkan parti-parti komponen itu. Memahami pendirian yang bakal dinyatakan Najib nanti, Pas secara realitinya sudah boleh melupakan harapan untuk mendapatkan sokongan UMNO dalam usul persendirian yang bakal dibawanya nanti.
Sokongan yang seolah-olah mereka juga mahukan hudud, baik melalui kenyataan beberapa pemimpinnya atau melalui penubuhan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan negeri sebelum ini, tidak lebih hanyalah gula-gula pemanis muka untuk menunjukkan mereka juga memperjuangkan Islam.
Tetapi persoalan yang menjadi bualan ialah bagaimana pula dengan pendirian 12 Adun UMNO Kelantan yang sudah menyokong usul itu di Dun Kelantan, baru-baru ini.
Bagaimana UMNO negeri Kelantan boleh membuat sesuatu pendirian menyokong sedangkan Pusat belum ada pendirian rasmi mengenainya?
Jika pendirian yang dinyatakan Najib selewat-lewatnya Selasa ini tepat seperti jangkaan ramai iaitu tetap tidak menyokong hudud, apakah tindakan Adun Kelantan itu boleh dianggap bercanggah dengan disiplin parti?
Atau adakah Adun Kelantan, khususnya Alwi Che Ahmad akan meraung-raung menangis kecewa terhadap Najib kerana hukum Allah ditolak begitu saja oleh ketuanya sendiri? (SH 23/03/2015)
Posted by Kedah Lanie
0 comments:
Post a Comment