Sunday 20 September 2015

'Ketika Skandal 1MDB & Ringgit Lemah'...Siapa dapat faedah RM20 bilion dipam ke dalam ekonomi?

Isnin, 21 September 2015

Siapa dapat faedah RM20 bilion dipam ke dalam ekonomi? 
Pakar ekonomi ditemubual The Malaysian Insider juga tidak pasti kesan positif dari langkah-langkah tersebut terhadap pengilang, yang berdepan dengan kos lebih tinggi ketika ringgit lemah menjadikan harga bahan mentah import serta peralatan meningkat.
Walaupun pasaran saham memberi reaksi positif kepada langkah-langkah khas ini, ada yang mempersoalkan keperluan untuk mengaktifkan semula Valuecap, syarikat pelaburan Putrajaya di mana peranannya untuk menyokong saham yang di bawah nilai.
Sama seperti menambahkan jumlah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), tindakan seperti ini boleh membawa kepada campur tangan kerajaan dalam pasaran untuk membantu syarikat lemah dan menghalang syarikat kecil yang sah daripada berkembang, kata pakar ekonomi.
Terdapat juga persoalan kredibiliti, kata Yin Shao Loong daripada Institut Rakyat.
"Cadangan ini datang daripada orang yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan terbesar Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini masih belum diselesaikan dan masih menjadi beban kepada ekonomi negara."
Meningkatkan nilai
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan langkah khas ini pada 14 September.
Hari seterusnya, pasaran saham tempatan mencatatkan keuntungan terbesar dalam sehari selepas komuniti perniagaan memberi reaksi kepada langkah tersebut, terutamanya pengaktifan semula Valuecap dengan RM20 bilion.
Pakar ekonomi bebas Azrul Azwar Tajudin berkata Valuecap boleh menambah keyakinan pelabur dan mendapatkan lebih banyak warga asing untuk kembali ke pasaran saham tempatan.
"Selain daripada mengukuhkan pasaran dan keyakinan pelabur, harga aset yang berdaya tahan dalam pasaran utama, terutamanya ekuiti juga boleh memberi kesan positif kepada sentimen pengguna," kata Azrul Azwar kepada The Malaysian Insider.
Walaupun pakar ekonomi dari Institut Pulau Pinang setuju dengan penilaian ini, mereka mengatakan campur tangan kerajaan dalam pasaran adalah berisiko sekiranya wang Valuecap disalurkan ke arah yang salah.
"Terdapat risiko dalam syarikat yang tidak diuruskan dengan cekap, dan dibantu secara dibuat-buat oleh kerajaan, menghalang kemasukan baharu daripada berlaku, di mana merupakan proses semula jadi dalam menghidupkan semula perniagaan," kata kenyataan daripada pakar ekonomi institut tersebut,  Dr Lim Kim-Hwa yang mengetuai unit ekonomi, pegawai eksekutif kanan Tim Niklas Schoepp, dan penganalisis kanan Dr Lim Chee Han dan Ong Wooi Leng.
Lebih teruk lagi, kata Yin, adalah prospek Valuecap menyelamatkan syarikat tidak berprestasi baik disebabkan amalan kronisme.
Kekurangan dana
Satu lagi sasaran utama langkah khas itu adalah untuk membantu syarikat dan pengguna berdepan harga yang tinggi untuk barangan import akibat ringgit lemah.
Ini termasuklah pengecualian cukai import kepada pelbagai produk serta kedai harga murah yang semakin banyak seperti KR1M, Kedai Kain 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia.
Secara permukaannya, kedai seperti ini membenarkan golongan berpendapatan rendah dan pertengahan mendapatkan barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan, kata Azrul Azwar, namun persoalannya masih kekal tentang kualiti barangan dan sama ada ia benar-benar menghalang inflasi.
Ini memandangkan hanya sedikit rakyat Malaysia yang menggunakannya dan tidak banyak barangan itu termasuk dalam pengiraan kadar inflasi melalui Indeks Harga Pengguna, katanya.
"KR1M disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat. (Ia) mungkin tidak menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi dihadapi ramai golongan berpendapatan sederhana," kata Institut Pulau Pinang.
"Selain itu, dengan KR1M, kerajaan menjadi pengeluar barangan, persaingan secara tidak langsung dengan pengeluar sektor persendirian."
Azrul Azwar juga berkata pengecualian cukai import sepatutnya spesifik hanya ekpada industri berdasarkan eksport, yang terkesan secara negatif terhadap kejatuhan ringgit, seperti pembuat barangan elektrik dan elektronik, serta sarung tangan getah.
Yin berkata, kerajaan juga perlu berdepan dengan bagaimana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mewujudkan masalah saluran wang bagi syarikat kecil dan sederhana yang sudahpun bergelut dengan bahan import lebih mahal.
"Pada masa ini, GST sedang menghukum secara tidak sekata sektor SME yang kekurangan pendapatan untuk menampung syarat GST dan bayarannya," kata Yin.
Siapa yang dibantu wang tersebut?
Walaupun ringgit yang lebih lemah boleh menjadi manfaat kepada pelancongan, pakar ekonomi Institut Pulau Pinang kritikal terhadap cara Putrajaya membelanjakan wang untuk membantu sektor tersebut dengan memberi fokus kepada projek mega seperti Desaru Coast Destination Resort di Johor.
Dana untuk projek itu boleh dibelanjakan dengan lebih bijak di kalangan destinasi pelancong popular seperti di Sabah dan Pulau Pinang, kata institut tersebut.
"Menyalurkan dana tersebut kepada tempat tarikan pelancong di seluruh negara akan meningkatkan keluasan dan kedalaman daya tarikan Malaysia, menyebabkan lebih ramai pelancong," kata institut tersebut.
Manfaat daripada projek mega kata Azrul Azwar, mengambil masa lebih lama untuk direalisasikan dan tidak akan meningkatkan pendapatan pelancongan dalam jangka masa pendek atau sederhana.
"Sumber yang terhad boleh digunakan dengan lebih bijak untuk mempromosikan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan-kesihatan, pelancongan- ekosistem, pelancongan - pertanian, pelancongan - pendidikan dan membeli-belah serta aktiviti MICE."
Memberi begitu banyak perhatian dan dana ke dalam satu projek apabila sasarannya adalah untuk membantu ekonomi secara menyeluruh juga adalah mencurigakan, kata Yin.
"(Saya) ingin tahu mengapa Desaru daripada semua kawasan tempatan dipilih untuk keutamaan pelaburan? Siapa yang bermanfaat daripadanya? Ini mewujudkan keadaan yang membimbangkan, seolah-olah pelan pemulihan ekonomi negara sedang dicairkan dengan perkhidmatan untuk kepentingan peribadi." – 21 September, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adakah-langkah-ekonomi-khas-putrajaya-bantu-perniagaan-dan-pengguna#sthash.hW8WFrrL.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena