Monday, 21 September 2015

[Video] Kuning 500,000...Merah 50,000...kita tengok Hijau pula, agak-agak berapa ye? Baju merah berjaya mengumpulkan peserta yang disewa? Malulah woi!

Isnin, 21 September 2015

Himpunan baju merah bukan hal remeh

Perhimpunan rakyat di Kuala Lumpur sudah pun berlalu. Dianggarkan penyertaan Perhimpunan BERSIH 4 (baju kuning) pada penghujung 29 dan 30 hari bulan Ogos berjumlah 500,000 orang.
Mereka yang datang dari seluruh negara, sanggup membiayai sendiri, membeli baju kuning dan tidur di kaki lima semata-mata untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa negara kita makin runtuh dan dalam keadaan gawat.
Perhimpunan Maruah Melayu (Baju Merah) pada 16 hari bulan September pula menghimpunkan 50,000 orang walau pada mulanya dijanjikan 1,000,000 akan berhimpun di Kuala Lumpur.
Kumpulan baju merah itu hanya berjaya mengumpulkan peserta yang disewa, dengan biaya dan sokongan pucuk pimpinan Umno tertentu dan kerajaan Malaysia. Ramai tidak tahu menahu tujuan kehadiran mereka di Kuala Lumpur.
Mereka juga mengumpan masyarakat gelandangan di sekitar Kuala Lumpur untuk meramaikan lagi penghimpunan ini.
Pelbagai pandangan, fitnah dan tohmahan dilemparkan melalui media massa dan semasa perhimpunan tersebut agar membara lagi api perkauman.
Sekali gus ia melunakkan isu yang sebenarnya iaitu masalah ekonomi dan pemimpinnya.
Soalnya bagaimanakah masyarakat Melayu dan bukan Melayu yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan ini mahu menyokong pemimpin-pemimpin Melayu menjelang pilihan raya umum nanti.
Perhimpunan baju kuning inginkan pembangunan negara yang adil, saksama, demokratik dan tidak korup. Perhimpunan baju merah pula ingin kekalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kabinetnya walaupun sudah timbul dakwaan berlaku kecuaian, keraguan, salah guna kuasa dan penyelewengan wang.
Akhirnya rakyat terpaksa menanggung bebanan hutang piutang dan penipuan yang dilakukan atas nama rakyat walhal rakyat sendiri tidak mendapat nikmat kekayaan negara.
Isu penyelewengan ini tidak akan hilang begitu sahaja. Tidak mungkin masalah serius umpama bangkai gajah yang busuk ini boleh disorokkan dengan mudah.
Kita tidak boleh remehkan kejadian perhimpunan baju merah ini kerana implikasinya amatlah luas. Keadaan ini mendedahkan hakikat bahawa perkauman sungguh menebal dan segala usaha serta wawasan yang bertujuan menyatukan rakyat Malaysia tidak berkesan dan masih ketinggalan jauh di belakang.
Orang Melayu sudah hilang pedoman dan sanggup mempertahankan pemimpin Melayu yang korup.
Kesemuanya budaya songsang ini bermula daripada pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
Dengan bantuan media massa, pemimpin politik dan NGO, ramai kaum Melayu terpengaruh dengan hasutan yang membenci kaum dan agama tertentu seolah-olah tidak ada kaum lain yang lebih unggul daripada kaum sendiri.
Yang menghancurkan maruah Melayu berakar umbi daripada pentadbiran dan tingkah laku pemimpin-pemimpin Melayu sendiri.
Benih fasis ini sengaja ditanam dalam hati sanubari peserta perhimpunan baju merah dan hari demi hari matlamatnya terus bercelaru termasuk percanggahan pendapat antara pemimpin Umno, pembiaya dan penganjur perhimpunan ini.
Ada yang bersuara bahawa mereka ingin mempertahankan martabat dan maruah Melayu. Soalan yang timbul, siapakah yang mencabuli maruah dan memundurkan kaum Melayu.
Semenjak merdeka lagi, negara ini dikongkong dengan dasar yang memihak kaum Melayu. Institusi kehakiman, kewangan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya diketuai oleh pemimpin Melayu. Malahan semenjak Merdeka lagi, semua perdana menteri merupakan kaum Melayu.
Maka mengapakah kaum Melayu masih terpinggir dan terperangkap dalam budaya kebergantungan (culture of dependency) sehingga mewujudkan kaum pengemis dan melumpuhkan inisiatif dan semangat berdikari?
Ciri-ciri yang negatif ini dibela dan dibelai demi kepentingan kuasa politik, kedudukan dan membolot kekayaan. Melayu yang untung terdiri daripada kroni, keluarga mereka dan sesiapa jua yang mereka dapat beli. Rakyat biasa yang memerlukan bantuan untuk berdikari dipinggirkan dan diumpan dengan pelbagai janji manis.
Malangnya hari demi hari masalah ekonomi mengasak setiap keluarga miskin dan sederhana tidak kira kaum, warna kulit dan agama. Ada yang dihasut habis-habisan dengan hujah bahawa kaum lain yang mengakibatkan keadaan mereka begini.
Kerajaan terus memuja golongan kapitalis yang kaya raya dan diberi berbagai-bagai kelonggaran. Pada masa sama mereka membebankan rakyat, contohnya dengan pelaksanaan GST dan kenaikan harga barang.
Selain itu, keadaan ekonomi dibebankan dengan kejatuhan nilai ringgit, penyusutan harga minyak, rasuah yang bermaharajalela, hutang 1MDB yang berlipat ganda dan isu wang yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Kita juga bimbang denga MACC, pihak keselamatan; pejabat Peguam Negara yang rela mempertahankan dan membela pentadbiran Negara yang mencabuli hak rakyat.
Sistem pembangunan yang dianuti ini berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan hingga menghancurkan manusia dan kemanusiaan serta memusnahkan alam semula jadi.
Alangkah murninya semenjak merdeka lagi, pemerintah membangunkan Negara mengikut program menghapuskan kemiskinan tidak kira kaum atau agama.
Taraf kemiskinan dikaji semula pada masa ke semasa agar memastikan tiada sesuatu kaum pun tertinggal dalam usaha membasmi kemiskinan secara menyeluruh.
Andainya kaum Melayu masih tidak boleh berdikari semenjak merdeka lagi maka kesalahan ini adalah pada pucuk pimpinan Melayu yang berfoya-foya dengan kaumnya sendiri.

MOHD NASIR HASHIM pengerusi Parti Sosialis Malaysia.

Malaysiakini

1 comments:

Unknown said...

Himpunan hijau PAS mesti la ramai SEBAB hari tu diorang jemput Ustaz Azhar buat ceramah. Macam ayam-2 daging plak... nak suruh datang tuan dia bawak baldi DEDAK.. wekkk...

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena