Demo bantah program dwibahasa 25, 26 Mac
Penganjur kecewa selepas usaha untuk berunding dengan pihak kerajaan tidak mendapat gambaran yang lebih positif.
KUALA LUMPUR : Gerakan Mansuhkan Program Dwibahasa (DLP) untuk pengajaran mata pelajaran terpilih di sekolah akan membuat himpunan di seluruh negara pada 25 dan 26 Mac ini.
Pengerusinya Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad berkata, negeri yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu akan membuat himpunan pada 25 Mac manakala negeri yang bercuti pada Sabtu dan Ahad akan mengadakan himpunan itu pada 26 Mac ini.
“(Untuk di Kuala Lumpur) Kita akan adakan mohon kepada pihak pentadbir untuk mengadakan himpunan ini bermula di Sogo berarak ke Dataran Merdeka sekitar jam 2.30 petang.
“Manakala di negeri-negeri kita serahkan kepada wakil-wakil kita untuk memulakan tunjuk perasaan ini di ibu negeri masing-masing atau di bandar-bandar besar dan kita serahkan kepada merka untuk memulakan bantahan itu di mana dan berarak ke mana” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya di ibu pejabat Angkatan Belia Malaysia (ABIM) Pusat di sini hari ini.
Shaharir menambah, selepas himpunan pada 25 dan 26 Mac nanti, pihaknya turut akan mengadakan sekali lagi himpunan secara besar-besaran yang akan berpusat di Kuala Lumpur pada 9 April depan.
“Oleh kerana kerana permintaan rakan-rakan di setiap negeri menyatakan mereka juga mahu berdemonstrasi yang lebih besar tapi pada 25 Mac itu mungkin mereka tak sempat datang jadi kita pun bersetuju untuk berkumpul di Dataran Merdeka pada 9 April sekitar 2.30 petang,” katanya.
Beliau turut menyasarkan seramai 4,000 hingga 5,000 orang akan menyertai demonstrasi pada 26 Mac di ibu negara manakala pada 9 April pihaknya menyasarkan seramai 20,000 orang akan hadir.
Dalam pada itu, beliau turut ditanya mengenai pertembungan pihaknya dengan Gerakan Merah yang diketuai oleh Ali Tinju atau Mohd Ali Baharom yang turut akan berdemonstrasi pada 26 Mac ini di Dataran Merdeka bagi menunjukkan taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri.
“Kita tidak berhasrat untuk bertembung dengan sesiapa malah kita mengharapkan apa-apa demonstrasi pada hari itu akan bersama dengan kita,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment