Friday 27 May 2016

[Video Kabare!] LEBIH 80% BUKAN MELAYU & 'Harum Manis' Sg Besar akan sokong PH...Mahasiswa AMANAH ucapkan tahniah memartabatkan Mahkamah Syariah

Jumaat, 27 Mei 2016

4 hrsKajang
TERUS MARTABATKAN MAHKAMAH SYARIAH, BERHIKMAH DALAM MEMBAWA NAMA AGAMA
Semalam merupakan hari yang cukup penting dalam lipatan corak sistem perundangan dan badan kehakiman khususnya dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia. MP Marang iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas telah dibenarkan untuk membawa usul memohon usul persendirian beliau dibentangkan. Walaupun masih belum sampai tahap pertama pun dalam meluluskan suatu Rang Undang-Undang (RUU) iaitu belum pun lagi ke Bacaan Pertama apatah lagi Bacaan Kedua dan seterusnya, ia dilihat sebagai suatu usaha awal dalam membawa isu ini.
Penting untuk difahami bahawasanya RUU persendirian yang dibawa adalah berkaitan cadangan meminda Akta 355 Mahkamah Syariah. Pindaan yang dicadangkan ialah untuk membolehkan Mahkamah Syariah memberikan hukuman selain hukuman mati yang mana sekarang ini Mahkamah Syariah tertakluk pada hukuman 356 iaitu 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan. Sungguhpun RUU ini diluluskan kelak, hanya kesalahan sedia ada di bawah peruntukkan Mahkamah Syariah sahaja yang boleh didengari iaitu kesalahan Zina, Qazaf, Minum Arak dan prosedur keluar daripada Islam. Kesalahan hudud lain seperti mencuri dan hirabah masih bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Hasil usul yang dibawakan semalam oleh MP Marang, Mahasiswa AMANAH ingin mengucapkan tahniah atas usaha dalam memartabatkan Mahkamah Syariah di negara kita. Usaha ini sesungguhnya telah dimulakan oleh Tokoh Perundangan Islam Negara, Tan Sri Prof Emiritus Ahmad Ibrahim apabila Artikel 121(1A) telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Tan Sri Ahmad Ibrahim serta sekalian ramai para cendekiawan perundangan Islam telah lama berusaha menekan kerajaan untuk menaikkan martabat Mahkamah Syariah dengan memberikan kuasa menghukum yang lebih tinggi berbanding hukuman 356.
Namun begitu, Mahasiswa AMANAH ingin menegaskan bahawa agama jangan dijadikan barang atau bahan politik. Usah mempolitikkan perkara sebegini. Saranan Mahasiswa AMANAH khususnya Kluster Undang-Undang Mahasiswa AMANAH adalah seharusnya usul sebesar ini yang bakal memberikan impak yang amat besar khususnya dalam sistem perundangan negara perlulah dibawa terus oleh pihak kerajaan khususnya menteri yang terlibat iaitu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam perihal agama Islam iaitu Datuk Seri Jamil Khir Bahrom. Kami melihat bahawa jika kerajaan serius dalam menaikkan martabat Mahkamah Syariah, sewajarnya kerajaan lah yang membawa usul sepenting ini.
Kluster Undang-Undang Mahasiswa AMANAH merujuk kepada penulisan Dr. Zulqarnain Lukman mengenai kesalahan-kesalahan teknikal pada penggubalan RUU turut menggesa agar pihak yang berkenaan cakna akan pembetulan-pembetulan yang perlu dibuat. Pelajar dan pengamal undang-undang sedia maklum akan betapa pentingnya penstrukturan perkataan dan laras bahasa dalam mana-mana undang-undang yang mahu diperkenalkan. Kita gusar sekiranya kerana ketidakcermatan ini, maqasid yang terdapat dalam undang-undang jenayah Islam ini gagal dicapai kerana kelemahan dalam penguatkuasaan.
Akhirnya, Mahasiswa AMANAH berdoa supaya Islam akan terus dimartabatkan dalam negara selari dengan konsep Islam Rahmatan Lil-Alamin. Semoga kita dapat berhikmah dalam membawa nama dan mesej suci agama Islam. Syariah, seperti mana kata Ibn Qayyim, "Adil seluruhnya, rahmat seluruhnya, hikmah kebijaksanaan seluruhnya, serta maslahah seluruhnya."
Mohd Khalilullah Mohd Zaiddy
Ketua Kluster Undang-Undang
Mahasiswa AMANAH Nasional

0 comments:

Post a Comment

Theme images by konradlew. Powered by Blogger.
SILA LAYARI
Youtube.com/brigedkibaranbendera untuk paparan video yang lain
PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Brigedkibaranbendera. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Popular Posts

© 2011 Briged Kibaran Bendera, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena